Assalamualaikum dan
salam 1Malaysia,
Debaran calon-calon
yang akan menduduki Peperiksaan STPM Modular buat kali pertama bagi Semester 1
Tahun 2012 akan bermula esok dengan kertas Pengajian Am. Saya percaya debaran
ini bukan sahaja dirasai oleh pelajar-pelajar Tingkatan Enam Bawah malahan
guru-guru yang mengajar mereka sepanjang 5 bulan yang lalu. Sudah menjadi
lumrah, sesuatu yang baharu memang menimbulkan pelbagai persoalan dan teka-teki
yang tidak terjawab. Walau bagaimanapun, suka atau pun tidak kita harus
menerima hakikat perubahan kurikulum Tingkatan Enam yang bermula pada tahun
2012 harus diteruskan dan diterima baik oleh semua pihak.
BAHASA MELAYU 910/1
Bagi calon-calon yang
akan menduduki Bahasa Melayu 910/1, perkara utama yang menjadi perdebatan
sekarang ialah kekangan masa. Guru-guru yang prihatin selalu menyuarakan bahawa
pelajar tidak cukup masa untuk menjawab kerana masa yang diberikan hanyalah 2
jam sahaja. Berdasarkan laporan, rata-rata pelajar gagal menyiapkan salah satu
bahagian terutamanya Bahagian C iaitu Penulisan Esei Tidak Berformat. Saya
percaya, setiap komen dan keluhan para guru dan pelajar-pelajar sekalian sudah
sampai kepada pihak yang bertanggungjawab. Walau bagaimanapun, ketetapan masa 2
jam itu tidak boleh diubah dan kita kena akur. Yang penting, perancangan masa
harus betul. Itulah maknanya peperiksaan!
Walau bagaimanapun,
setelah berbincang dengan beberapa guru pakar, pembahagian masa menjawab
amatlah penting. Pelajar harus bersedia dari segi mental dan fizikal sepanjang
masa peperiksaan berlangsung. Masalah peribadi dan masalah kesihatan yang
datang tanpa diduga boleh menjejaskan prestasi dan pencapaian. Oleh sebab itu,
cubalah bertenang dalam tempoh masa ini. Jangan bebankan minda muda anda dengan
pelbagai permasalahan yang boleh menghancurleburkan masa depan. Perjalanan
meniti tangga kejayaan bukannya semudah memasang angan dan melayan mimpi di
malam hari, tanpa usaha dan pengorbanan daripada diri sendiri, adalah sukar
untuk mara kerana banyak liku-liku dan cabaran yang perlu dilalui.
Bahasa Melayu 910/1
terbahagi kepada 3 bahagian iaitu :
BAHAGIAN A
Soalan objektif
Markah : 20 %
Cadangan Masa : 20
minit sahaja
BAHAGIAN B
Soalan struktur
Pemikiran Kritis dan
Analitis
Markah : 30 %
Cadangan Masa : 30
minit sahaja
BAHAGIAN C
Penulisan Esei Tidak
Berformat
Markah : 50%
Cadangan Masa : 1 jam
10 minit
Secara peribadi, saya
mencadangkan pelajar-pelajar sekalian menjawab ketiga-tiga bahagian tersebut
mengikut keutamaan markah iaitu Bahagian C, B, dan akhir sekali barulah
menjawab bahagian A. Walau bagaimanapun,
sukacita saya mengingatkan bahawa anda haruslah menjawab kesemua soalan kerana
semua bahagian adalah penting. Hal ini demikian kerana jika calon tidak
menjawab salah satu bahagian, maka mereka akan kehilangan markah untuk bahagian
tersebut. Sebagai contohnya, jika seseorang calon tidak menjawab bahagian B,
maka calon tersebut akan kehilangan 30 markah.
Apabila kita
menduduki peperiksaan tujuan utama kita adalah untuk mendapat markah yang
tinggi dalam subjek tersebut. Oleh sebab itu, calon harus menjawab kesemua
soalan seperti yang diarahkan. Jangan berputus asa. Selagi masih ada masa,
teruskan berfikir dan menulis jawapan. Jangan sesekali berhenti sebelum tiba
masanya. Jika masa yang diberikan selama 2 jam maka gunakanlah masa itu dengan
sebaik-baiknya. Jangan sesekali membazir masa dengan duduk termanggu-manggu
tanpa melakukan apa-apa. Sebagai pelajar Tingkatan Enam, saya percaya anda
tidak mahu kegagalan kerana semua mempunyai keinginan untuk menjejakkan kaki ke
menara gading. Jadi, amalkanlah prinsip, “genggam bara api, biar sampai jadi
arang”. Anda boleh jika yakin pada diri sendiri.
Anda semua sudah
mencatat sejarah kerana andalah calon pertama yang memulakan sistem modular di
Tingkatan Enam. Oleh itu, berazamlah untuk mencatat sejarah peribadi dengan
keputusan yang cemerlang. Percayalah, anda mampu melakukannya. William J.
siegal pernah mengatakan “Manusia tidak merancang untuk gagal, mereka gagal
untuk merancang”. Ingatlah, kejayaan itu hak milik setiap insan yang gigih
berusaha. Jika anda sayangkan diri anda maka berusahalah untuk mencapai
kejayaan.
SELAMAT MENJAWAB
Daripada :
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sacred Heart, Sibu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan