JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



09 Mac 2011

ISU SOSIAL : SKIM RUMAH PERTAMAKU DILANCARKAN OLEH PERDANA MENTERI


Golongan muda yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan dan belum memiliki kediaman sendiri boleh menarik nafas lega apabila mereka berpeluang untuk membeli rumah melalui Skim Rumah Pertamaku yang dilancarkan pada 8 Mac 2011. Skim tersebut yang memberi kemudahan pinjaman 100 peratus kepada pembeli, tanpa perlu membayar wang deposit sebanyak 10 peratus seperti kebiasaan prosedur pembelian rumah, dilancarkan Datuk Seri Najib Tun Razak. Menurut Perdana Menteri, Skim Rumah Pertamaku yang berkuat kuasa mulai hari ini membenarkan golongan muda berumur 35 tahun ke bawah, memiliki rumah berharga antara RM100,000 hingga RM220,000. Skim ini merupakan inisiatif kerajaan yang dilaksanakan melalui Cagamas Berhad dengan kerjasama institusi-institusi kewangan. Ia bagi mengurangkan beban golongan muda yang menghadapi masalah kos sara hidup selain harga hartanah yang tinggi.

Langkah ini akan membantu golongan muda di Malaysia untuk memiliki rumah pertama mereka dengan lebih cepat, selari dengan objektif kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik. Ketika pembentangan Bajet 2011 yang lalu, Najib mengumumkan beberapa inisiatif berkaitan perumahan, antaranya Skim Rumah Pertamaku yang memberi kemudahan pinjaman 100 peratus kepada golongan muda yang berpendapatan kurang RM3,000. Selain itu, kerajaan juga meluluskan peruntukan sebanyak RM568 juta untuk membina 300 unit kediaman di bawah Projek Bantuan Perumahan Bandar, 79,000 unit (Program Perumahan Rakyat) dan 8,000 unit (Projek Bantuan Rumah Sewa). Semua inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat agar hasrat untuk muncul sebagai sebuah negara maju serta berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 tercapai.

Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata, pelancaran skim berkenaan merupakan salah satu bukti komitmen serta keseriusan kerajaan dalam merealisasi konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Sehubungan itu, beliau berharap melalui skim tersebut, ia akan menggalak pihak pemaju untuk membina lebih banyak rumah mampu milik dan tidak hanya memberi fokus kepada rumah kos mewah dan sederhana mewah semata-mata. Pada masa yang sama, Najib turut mempelawa bank yang belum menyertai Skim Rumah Pertamaku supaya melibatkan diri, bagi memastikan inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat dapat dijayakan sepenuhnya. Katanya, sehingga kini, skim tersebut berjaya menarik penyertaan lebih daripada 20 buah institusi kewangan termasuk institusi kewangan Islam antara CIMB Bank Berhad; Maybank Berhad; Bank Islam Malaysia Berhad dan Public Bank Berhad. Perdana Menteri berharap segala urusan pinjaman ini akan dipermudahkan oleh institusi kewangan dan bukan sebaliknya. Mungkin skim ini tidak berapa menguntungkan kepada pihak bank, tetapi bagi rakyat, mereka sangat memerlukan.

UTUSAN MALAYSIA
9 MAC 2011

Tiada ulasan: