18 Oktober 2012

ISU SOSIAL : HANYA MEMUDAHKAN BERPOLIGAMI, BUKAN MISI PENYELAMAT


Rencana ini ditulis oleh :
Fauziah Arof


Apabila bercakap pasal wanita yang lanjut usia tetapi masih belum berkahwin atau digelar andartu, nampaknya orang lelakilah yang paling sibuk atau suka sangat mengetengahkan isu ini, bukan wanita, tuan yang empunya badan. Kebanyakannya menyatakan kerisauan terhadap apa sudahnya nasib golongan wanita yang berusia 35 tahun ke atas yang belum bertemu jodoh ini. Ternyata orang lelaki amat bimbang. Dalam hal ini mereka cukup prihatin. Jadi bila membaca saja pendapat yang bertajuk ‘Longgarkan syarat berpoligami untuk bantu atasi masalah wanita lanjut umur belum berkahwin’ di ruangan Forum akhbar ini semalam tanpa melihat siapa penulisnya, saya sudah mengagak pendapat itu ditulis oleh seorang lelaki.

Maka menderulah wanita-wanita yang mengaku bukan ‘andartu’ menelefon marah-marah. Mempersoalkan kenapa perlu menyiarkan pendapat sebegitu. Kritikal sangatkah trend andartu di negara ini, sengsara sangatkah golongan ini sampai perlu melonggarkan syarat-syarat bagi lelaki untuk poligami? Ruangan Forum akhbar ini adalah tempat untuk menyatakan pendapat masing-masing dalam sesuatu isu untuk difikirkan bersama dan pada masa sama menyiarkan aduan-aduan daripada orang ramai untuk diambil tindakan oleh pihak berkaitan. Maka tiada salahnya jika pendapat melonggarkan syarat berpoligami itu disiarkan untuk renungan bersama dan kita boleh memberi respon untuk pendapat-pendapat yang disiarkan.

Membaca habis pendapat Syed Abdullah Syed Osman Jamululail itu, kita semua pasti setuju dan tak perlu disanggah pun, perkahwinan dalam Islam adalah sunnah Rasullulah SAW. Kita juga tidak menentang poligami, dalam Islam poligami itu boleh. Kita juga setuju perkahwinan adalah untuk dapat menyambung zuriat, meramaikan umat Nabi Muhammad SAW, mengelakkan diri daripada melakukan maksiat dan mengelakkan wanita hidup keseorangan di waktu tua nanti apabila tiada siapa untuk menjaganya. Bagaimanapun cadangan agar dilonggarkan syarat bagi lelaki untuk berpoligami untuk mengatasi isu andartu ini, itu yang menjadi persoalan. Perlukah? Ramai wanita di luar sana berpendapat, tidak semestinya melonggarkan syarat-syarat lelaki untuk berpoligami, isu andartu boleh selesai atau dapat mengurangkan trend hidup membujang sampai ke tua ini.

Kenapa perlu melonggarkan syarat tanpa surat akuan kebenaran isteri pertama dan tidak perlu diisyaratkan untuk mendapatkan salinan slip gaji atau pengesahan pendapatan? Adakah syarat-syarat itu terlalu ketat dan sukar untuk dipenuhi? Dalam Islam ada syarat lain yang lebih ketat untuk berpoligami perlu dipatuhi, iaitu berlaku adil. Antara aspek yang perlukan keadilan seperti pembahagian giliran, pembahagian nafkah dan sebagainya. Jika prosedur yang ringkas untuk berpoligami seperti itu pun tidak boleh diikuti, apatah lagi hal yang besar-besar. Kebanyakan andartu terdiri dalam kalangan wanita yang berkerjaya dan teguh ekonominya. Namun terdapat juga yang berpendidikan rendah tetapi sukar juga bertemu jodoh.

Bagi saya bukan soal mereka ini ego sangat atau terlalu memilih. Tetapi mereka berhak untuk mencari lelaki yang berkualiti untuk dijadikan pasangan sehingga akhir hayat mereka. Hingga akhir hayat - satu tempoh masa yang cukup lama. Mereka tidak mahu mencari jalan mudah. Mencari pasangan hidup bukan boleh dibuat secara main tangkap muat, asalkan ada pasangan tidak kiralah bujang, duda atau suami orang, asalkan tidak berseorangan di hari tua, itu sudah cukup. Sedangkan, perkahwinan kelak yang memberi warna-warni dalam hidup. Putih atau hitam, ia akan dilalui dalam tempoh yang panjang. Dan sudah pastinya, wanita lanjut usia ini bimbang dan amat berhati-hati, elok-elok semasa zaman bujangnya, tidak ada banyak masalah, apabila berpoligami timbul banyak masalah dari segi kewangan, perasaan dan lain-lain lagi. Kata orang, elok-elok tak ada pasal, cari pasal pula. Inilah yang mereka takut.

Mereka juga bimbang, ada segelintir lelaki yang hanya mengambil kesempatan, berkahwin dengan mereka untuk mendapatkan kesenangan. Maka terjebaklah menjadi isteri kedua yang terpaksa menanggung diri sendiri dan juga keluarga isteri pertama secara tidak langsung. Dan pada saya, soal yang dibangkitkan iaitu menjaga maruah diri dan keluarga, tidak semestinya perlu ditujukan kepada wanita lanjut usia yang belum berkahwin ini. Semua kategori wanita dan lelaki bertanggungjawab menjaga maruah diri dan keluarga. Tidak salah juga memilih untuk hidup membujang jika jalan itu lebih memberikan kebahagiaan dan tidak memudaratkan hidup sendiri dan orang lain.

Memegang status andartu bukan bermakna kehidupan mereka tidak normal. Mereka juga menjalani kehidupan yang normal seperti orang lain, malah adakalanya lebih bahagia, cuma mereka belum berkahwin. Dalam pada itu, statistik penceraian juga semakin meningkat di negara ini. Hari-hari ada saja orang yang bercerai. Tidak kiralah yang mengamalkan poligami atau tidak. Penderaan fizikal dan emosi, curang, penganiayaan, tidak bertanggungjawab antara faktor-faktor penceraian. Ini mungkin memberi rasa gerun pada wanita lanjut usia ini untuk berkahwin. Maka, cadangan melonggarkan syarat-syarat berpoligami ini tidak banyak membantu mengatasi masalah wanita lanjut usia lewat berkahwin di negara ini. Cadangan ini sekadar memudahkan urusan untuk berpoligami bukan bersifat misi penyelamat.

Sumber
Utusan Malaysia
18 Oktober 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails