TEMA Hari Habitat Sedunia 2010 - Better Cities, Better Life atau Bandar Lebih Baik, Kehidupan Lebih Baik mengetengahkan visi kelestarian bandar dunia yang memanfaatkan segala potensi dan kemungkinan, merapatkan ketidaksetaraan dan ketidakseimbangan serta menyediakan rumah untuk penduduk. Hari Habitat Sedunia mula disambut pada 1986 dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dunia mengenai keadaan penempatan manusia semasa, memastikan hak setiap individu dalam memiliki tempat tinggal yang selesa dan mengingatkan masyarakat dunia mengenai tanggungjawab masing-masing terhadap masa depan penempatan manusia.
Di Malaysia, usia sejarah pembandaran telah melewati tiga tahap, bermula dengan Pembandaran Awal, Pembandaran Pseudo dan Wilayah Pembandaran Mega Berdayahuni. Tahap pembandaran awal diwarnai dengan penglibatan penduduk setempat iaitu Melayu dan Bumiputera di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Pada tahap ini, kemunculan kawasan 'bandar' berasaskan kepada kaum Melayu. Pada zaman itu, orang-orang Melayu terlibat dengan perniagaan hebat, misalnya perdagangan rempah ratus hingga menjadi terkenal di seantero dunia. Namun, kejatuhan kerajaan Melayu Melaka menyebabkan berlakunya perubahan dalam komposisi kaum-kaum di bandar. Apabila kolonial British masuk membawa migran dari Selatan China dan Selatan India untuk bekerja di sektor perlombongan bijih timah dan seterusnya menghuni kawasan bandar, komposisi ini telah berubah yang akhirnya Melayu telah mengalami proses peminggiran keluar dari kawasan bandar disebabkan pelbagai faktor.
Kewujudan bandar-bandar moden di Malaysia pada hari ini adalah tinggalan kolonial Inggeris yang telah bertapak sejak 200 tahun lampau. Bandar-bandar moden ini didominasi oleh kaum Cina akibat dasar pecah dan perintah kolonial British. Kaum-kaum lain diasingkan dan dikenali mengikut ruang geografi negara iaitu Melayu di kampung dan India di estet getah. Keadaan ini berterusan sehinggalah Malaysia mencapai kemerdekaan. Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah menghidu ketidakseimbangan ini. Justeru, beberapa dasar yang berkait dengan hal ini diperkenalkan agar kesenjangan yang berlaku dapat dibetulkan. Setelah Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957, golongan migran dari desa bersesak-sesak berhijrah ke bandar untuk mencari ruang dan peluang pekerjaan demi meneruskan kehidupan. Pada ketika itu, desa tidak dapat menyediakan kemudahan yang diharapkan. Kini, setelah lebih lima dasawarsa berlalu, para migran dahulu telah menjadi penghuni bandar sepenuhnya.
Bandar kini telah menjadi kampung halaman mereka. Justeru, bandar yang lebih baik akan membawa kepada kehidupan lebih baik kepada mereka. Pembangunan bandar itu kini dilihat secara berterusan merebak sehingga menujah ke kawasan-kawasan pertanian, perkampungan malahan hingga ke kawasan yang dahulunya berhutan tebal telah berubah wajah menjadi sebuah kawasan kediaman, kegiatan komersial, industri dan rekreasi. Ia juga mampu menarik pelancong untuk mengunjungi kawasan bandar yang cantik, selamat, ceria, segar atau dalam erti kata mudahnya, bandar yang berdayahuni. Perkara utama yang diketengahkan dalam wacana dayahuni bandar kebelakangan ini adalah 'kualiti hidup' warga bandar. Konsep kualiti hidup dan penggunaannya menyerlah dalam imbasan pemikiran urbanisme baru. Perhatian diberi kepada 'kehidupan warga bandar' sama ada bandar itu boleh memenuhi tuntutan asas kehidupan, kemudiannya keupayaan bandar itu memberikan jaminan untuk memenuhi tuntutan ahli keluarga yang semakin dapat membina kemewahan.
Justeru, warga bandar akan berkebolehan untuk memikir hal-hal berkaitan keceriaan dan kesejahteraan hidup. Pada peringkat ini, dapatlah dikaitkan keadaan bandar itu dengan 'dayahuninya' (livability). Bandar berdayahuni pada konsepnya seharusnya memiliki kebolehan untuk memberi warganya pekerjaan, tempat tinggal selaras dengan kemampuan, ketersampaian kepada prasarana asas fizikal, sosial dan kewangan, dan kehidupan harian penuh ketenangan tanpa ganggu gugat besar, sejahtera, selamat, sihat dan penuh keriangan (vibrancy).
Lima strategi utama telah digariskan untuk diambil tindakan oleh pihak yang bertanggungjawab dalam mengurus penempatan manusia terutamanya di bandar. Di antaranya ialah meningkatkan kualiti kehidupan manusia terutamanya akses kepada keselamatan, kesihatan, kemudahan asas dan pendidikan bagi setiap individu yang menghuni kawasan bandar. Adakalanya akses tersebut terhalang oleh kebergantungan kepada kekurangan sumber ekonomi keluarga dan individu. Justeru, pelaburan dalam modal manusia tidak dapat diteruskan dengan sebaiknya. Pembangunan sosio-ekonomi warga bandar perlu diberikan penekanan utama bersama-sama dengan agihan ekonomi yang seimbang kerana ia akan membantu memakmurkan habitat bandar yang dihuni itu. Bandar juga merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampu membawa kepada peningkatan kekayaan penduduk untuk melonjakkan negara menjadi sebuah negara maju menjelang 2020. Pertumbuhan ekonomi yang mapan akan menjadikan bandar tersebut lebih berdaya saing dan kompetitif dalam mengharungi kepesatan arus globalisasi kewangan dewasa ini.
Selain itu, meningkatkan inklusif politik melalui usaha di peringkat bawahan hirarki masyarakat dan pihak berkuasa tempatan yang duduk semeja untuk berbincang dan berdialog berkait dengan sebarang permasalahan yang timbul terutamanya dalam hal ehwal yang menyentuh keselamatan, kesihatan dan kesampaian kepada maklumat penting di setiap kawasan. Mempromosikan inklusif budaya sejak sekian lama dilihat terabai dalam agenda pembangunan negara. Sejak akhir-akhir ini, terdapat usaha untuk membawa dimensi budaya dalam kehidupan bandar, misalnya modal sosial, tradisi kaum, simbol dan perasaan kebanggaan pada sesuatu tempat khususnya negara sendiri. Ini akan membantu di dalam mengintegrasikan pelbagai etnik, memelihara nilai yang dikongsi bersama, bahasa, agama dan memelihara warisan budaya serta alam semula jadi dan akhirnya membentuk jati diri yang unggul dalam masyarakatnya.
Oleh : Shaharudin Idrus
Institut Alam Sekitar dan Pembangunan
Universiti Kebangsaan Malaysia
Berita Harian
4 Oktober 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan