SHAH ALAM: Tan Sri
Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan meletakkan sasaran realistik bagi
membangunkan sistem pendidikan setaraf atau lebih baik daripada negara maju
dalam tempoh 10 hingga 15 tahun. Timbalan
Perdana Menteri berkata, usaha untuk mencapai tahap sistem pendidikan setaraf
negara maju bukan satu perkara yang mudah dan perubahan dalam pembangunan
sistem pendidikan negara tidak boleh dilakukan terlalu drastik. Walaupun begitu
perubahan tentu akan berlaku, tanggungjawab guru akan terus diperkukuhkan lagi,
institusi pendidikan sedia ada akan dapat kita diperlengkapkan. Beliau berkata
langkah penilaian semula sistem pendidikan negara adalah untuk meningkatkan
sistem pendidikan negara supaya setaraf dengan negara maju dan bukannya dengan
negara mundur atau ke belakang.
Muhyiddin berkata,
petunjuk sistem pendidikan Malaysia boleh dikatakan bagus tetapi masih belum
boleh dikatakan setaraf atau setanding pada peringkat antarabangsa. Banyak
orang kata sistem pelajaran kita baik, sudah pun dapat melahirkan generasi
Malaysia yang dapat membantu memajukan Malaysia pada hari ini. Tidak siapa yang
boleh menolak kejayaan Malaysia hari ini adalah antara lain atas sumbangan
menerusi sistem pendidikan kita. Namun
harapan masyarakat di negara ini juga tinggi dan rakyat mahukan sistem
pendidikan kita mesti setaraf atau lebih baik daripada sistem pendidikan di
negara maju. Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat akan bersama-sama
kerajaan untuk mencapai matlamat menjadikan sistem pendidikan negara antara
yang terbaik di dunia.
Katanya, mereka yang
berminat dalam soal pelajaran diminta tampil mengemukakan idea dan cadangan
bernas untuk digunakan sebagai asas pertimbangan dalam kajian semula sistem
pendidikan yang sedang dijalankan. Beliau
berkata memandangkan ruang dialog bagi menambah baik sistem pendidikan telah
disediakan, diharap tidak ada pihak yang cuba membangkitkan isu itu di luar
platform yang disediakan. Antara perkara
pokok yang diberi keutamaan dalam kajian semula sistem pendidikan ialah
mengenai kualiti guru, isu perguruan, tanggungjawab guru, beban tugas guru,
peranan guru di dalam dan di luar sekolah.
Sila berikan komen
anda. Terima kasih.
Sumber :
Berita Minggu
13 Mei 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan