JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



23 Ogos 2011

ISU BENCANA ALAM : SEBANYAK 2000 BUAH RUMAH DI MALAYSIA BERHADAPAN DENGAN RISIKO TANAH RUNTUH


Kira-kira 2,000 buah rumah di negara ini didapati berisiko terdedah kepada ancaman tanah runtuh kerana dibina berhampiran kawasan cerun dan tanah tinggi. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Wira Chor Chee Heung berkata, dalam kategori itu Selangor menduduki senarai teratas diikuti Sabah dan Pulau Pinang. Menurut beliau, tempat-tempat tersebut berada dalam kategori bahaya terutama jika hujan lebat untuk satu tempoh yang panjang. Sehubungan itu, beliau telah mengeluarkan arahan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melakukan kajian dan penganalisisan setiap tiga bulan sekali terutamanya ketika musim hujan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Tahap berisiko itu diperolehi hasil laporan kajian oleh 111 PBT di seluruh negara. Bagaimanapun kajian itu mendapati kawasan-kawasan itu masih selamat diduduki ketika ini. Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan tahap keseriusan lokasi-lokasi terbabit tetapi memberitahu bahawa pembangunan di kawasan berbukit yang mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa mempunyai kebarangkalian yang lebih rendah untuk berdepan dengan ancaman tanah runtuh. 


Sehubungan itu kata beliau, kementeriannya sedang mengkaji cadangan untuk mewajibkan pemaju perumahan di kawasan berhampiran cerun tinggi untuk melantik pemeriksa bebas daripada Lembaga Jurutera Malaysia bagi memastikan kawasan tersebut benar-benar selamat diduduki. Ini bermakna, selain jurutera dari Jabatan Kerja Raya (JKR), pemaju perlu mengemukakan satu lagi laporan kejuruteraan daripada pemeriksa bebas bagi mengesahkan kawasan tersebut benar-benar selamat.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
23 OGOS 2011

Tiada ulasan: