JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



08 Julai 2011

ISU ALAM SEKITAR : BEKERJASAMA RAPAT TANGANI PERUBAHAN IKLIM GLOBAL


Penggiat sains tulen dan sains sosial di Malaysia dinasihat bekerjasama rapat dalam menangani isu perubahan iklim global kerana ia turut memberi kesan kepada pembangunan negara. Menurut Profesor Penyelidikan Konflik Persekitaran Stony Brook Southampton, United Kingdom (UK), Prof. Dr. Nay Htun, kedua-dua golongan itu saling memerlukan dan hasil jalinan kerjasama antara mereka diyakini boleh menyelamatkan kehidupan alam untuk tempoh jangka panjang. Beliau memberitahu, berdasarkan kajian apabila wujud isu melibatkan persekitaran, ia akan membabitkan perkara lain yang berkaitan kehidupan manusia sejagat. Antara isu yang dijangka timbul ialah cabaran pemanasan global, gangguan dasar laut, krisis ekonomi dan sudah tentu berlaku krisis kewangan. Sehubungan itu, penggiat sains tulen dan sains sosial digalak bekerjasama mencari cara mengatasi isu itu.

Beliau  berkata demikian ketika memberi syarahan utama bertajuk Hubungan Sains Tulen dan Sains Sosial pada Kongres Profesor Negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 7 Julai 2011. Nay Htun berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kira-kira 30 tahun lalu turut mencadangkan perkara sama supaya Malaysia lebih berdaya tahan dalam menghadapi isu itu. Kata beliau, dengan mengekalkan pembangunan mapan juga membantu mengatasi isu perubahan iklim global. Katanya, kaedah tersebut telah diamalkan Malaysia sejak 20 tahun lalu dan ia diterima oleh sektor kerajaan dan swasta walaupun ia belum diaplikasikan secara keseluruhannya. Kekuatan untuk terus mengekalkan sistem persekitaran yang menjamin sistem ekonomi teratur dan struktur sosial yang baik mestilah bersandarkan kepada idea dan konsep yang berdaya tahan. Malaysia mampu menangani semua isu itu tetapi mestilah dengan adanya kurikulum yang terbaik dan kongres ini adalah permulaan yang memberangsangkan ke arah itu.

SUMBER :
UTUSAN MALAYSIA
8 JULAI 2011

Tiada ulasan: