15 Oktober 2009

BAHASA MELAYU DI LUAR NEGARA

SATU perkara yang membuka mata kita hasil daripada penubuhan dan persidangan pertama Majlis Bahasa Melayu Antarabangsa (MABM) bulan lalu ialah betapa banyaknya institusi di luar negara yang mula mengajarkan bahasa Melayu/Indonesia. Hal ini sungguh membanggakan, tetapi pada pihak yang lain pula wujud rasa tanggungjawab untuk menentukan langkah permulaan ini diberi sokongan dan dorongan agar terus berkembang dan maju. Dalam ruangan ini pada kali ini, akan dibincangkan dengan serba ringkas, suasana pengajaran bahasa Melayu di luar negara. Dari segi sejarah dua buah negara muncul sebagai negara yang mempunyai sejarah lama dalam penawaran kursus bahasa Melayu/Indonesia; bahkan yang ditawarkan bukan hanya bahasa tetapi pelbagai aspek kehidupan masyarakatnya, terutama sastera dan kebudayaannya. Dua negara ini ialah Belanda dan England. Sebabnya jelas, iaitu kerana kedua-dua negara ini pernah menjadi penjajah, iaitu Belanda di Indonesia dan Inggeris di Malaysia. Kerana hubungan sejarah ini, universiti utama masing-masing mula memperkenalkan jabatan pengajian Melayu/Indonesia, iaitu di Universiti Leiden di Belanda dan Universiti London di England. Image Mengikut Prof Jan van der Putten dari Universiti Leiden, sejarah pengajaran bahasa dan budaya Indonesia bermula sejak pertengahan abad ke-19, disebabkan orang-orang Belanda yang ingin dikirm berkhidmat di Indonesia dikehendaki belajar bahasa dan pelbagai budaya masyarakat Indonesia. Tradisi ini berterusan hingga ke hari ini, dengan taraf yang tinggi dan mantap di Universiti Leiden. Bahkan, baru-baru ini telah diwujudkan sebuah Kursi Pengajian di universiti tersebut, anjuran bersama kerajaan Malaysia dan Belanda sebagai tanda kejayaan bidang itu. Di negara tersebut, bidang pengajaran meliputi dua aspek; pertama sebagai bahasa, dan kedua dalam konteks bidang pengajian Melayu, pada peringkat universiti. Demikian juga halnya di England. Minat terhadap bahasa Melayu/Indonesia terdapat pada peringkat sekolah menengah, tetapi pengajian di peringkat universiti lebih mendalam. Dua universiti kini menawarkan kursus pengajian Melayu, iaitu Universiti Hull, dan School of Oriental and African Studies di Universiti London. Berbeza dengan keadaan di Belanda, pengajaran bahasa dan budaya Melayu bersifat Melayu Malaysia dan tidak Melayu Indonesia. Sebabnya ialah kerana negara Britain lebih dekat dengan Malaysia, sebagai bekas tanah jajahannya. Indonesia lebih maju dalam mempromosikan bahasa dan budaya mereka melalui kedutaan mereka. Maka bahasa Indonesia (dan seterusnya budaya dan sastera Indonesia) lebih diketahui dan dipelajari orang asing. Namun demikian, keadaan ini sedang berubah dan turut meningkat perkembangan bahasa kita, di samping bahasa Indoensia. Sebagai contoh, di negara China, mengikut Prof Wu Zongyu, daripada semata-mata mengajarkan bahasa Indonesia, kini tumpuannya telah berubah ke bidang Indonesia-Melayu, iaitu di Universiti Beijing dan Guangzhou Universiti yang ditubuhkan pada 1962. Terdapat jurusan bahasa Melayu, satu-satunya universiti yang menawarkan bahasa Melayu dan tidak bahasa Indonesia. Selain itu, pada tahun 1997, dengan sokongan daripada kerajaan Malaysia dan China, sebuah pusat Bahasa Melayu telah ditubuhkan di Beijing. Di Korea Selatan pula, mengikut laporan Prof Chung Young-rhim terdapat tiga perguruan tinggi dan empat kampus yang memberi pengajaran bahasa Melayu/Indonesia, iaitu Hankuk Universiti of Foreign Studies, di Kampus Seoul dan Wangsan, Pusan Univerisiti of Foreign Studies, dan Sungshin College of Foreign Studies. Mengikut Dr Tatiana Dorofeeva dari Rusia, pengajaran bahasa Melayu/Indonesia juga mempunyai sejarah lama, iaitu sejak tahun 1945, tahun kemerdekaan Republik Indonesia. Kini terdapat enam IPT yang menawarkan kursus bahasa Melayu/Indonesia atau bidang pengajian Melayu, misalnya Universiti St Petersburg, Universiti Negara Ilmu Kemanusiaan dan Institut Negara Moscow Hubungan Antarabangsa. Di samping itu terdapat juga Persatuan Nusantara, sebuah persatuan yang melibatkan diri dengan kegiatan pengembangan dan kajian bahasa dan budaya Melayu. Sarjana-sarjana di Rusia amat aktif dan banyak menghasilkan tulisan ilmiah mengenai bidang pengajian Melayu. Di Australia juga terdapat pengajaran bahasa Melayu/Indonesia. Mengikut Prof Adelaar, 19 pusat pengajian tinggi menawarkan program tersebut. Antaranya Griffith Universiti, Universiti of New South Wales, Universiti Sydney, Australian National Universiti, Universiti Melbourne, dan Universiti La Trobe Perlu diakui bahawa di Australia lebih banyak yang mengajar bahasa Indonesia daripada bahasa Melayu. Mengikut laporan beliau juga, sekolah menengah di Australia juga mula menawarkan bahasa Melayu/Indonesia sebagai salah satu daripada bahasa negara jiran yang perlu dipelajari. Daripada huraian ringkas di atas, dapat dilihat bahawa bahasa Melayu/Indonesia telah mula dipelajari di luar dunia Melayu. Perkara ini amat menggalakkan. Namun, salah satu keluhan yang disuarakan oleh wakil yang menghadiri persidangan Majlis Bahasa Melayu antarabangsa ialah beberapa kekurangan, misalnya guru penutur asli, bahan pengajaran, dan bahan rujukan. Yang jelas ialah pengajaran bahasa Melayu di luar negara memerlukan bantuan. Kita sebagai salah sebuah negara asal bahasa Melayu perlu mengambil langkah bagi membantu menyelesaikan masalah ini, jikalau kita mahu bahasa Melayu bertapak di luar negara. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah membuat langkah permulaan melalui pengiriman tenaga pengajar dan bahan bacaan. Kita juga patut ikut serta dengan usaha ini. Dengan demikian, bahasa kita akan tersebar luas.
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...