10 Oktober 2012

ISU EKONOMI : MERAMAIKAN USAHAWAN HEBAT


Rencana ini ditulis oleh :
ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan
Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) dan
Felo Penyelidik Institut Keusahawanan dan Koperasi Universiti Utara Malaysia


Pelaburan langsung domestik (DDI) mula mendapat tempat dalam struktur ekonomi Malaysia. Tidak sebagaimana 20 tahun lalu, negara kita terlalu bergantung pada pelaburan langsung asing (FDI) berasaskan kos buruh yang rendah yang akhirnya mengundang ketidakseimbangan ekonomi apabila krisis ekonomi melanda dunia. Sebagai contoh, krisis ekonomi Asia pada 1997/98, krisis subprima Amerika Syarikat (AS) dan krisis hutang zon Eropah menjadikan DDI begitu penting melestarikan ekonomi negara. Negara tidak boleh terlalu bergantung dengan FDI kerana jika krisis ekonomi dunia berlaku, ekonomi negara kita juga akan terjejas teruk. Maka antara strategi terbaik dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara pada masa kini dan mendatang adalah meningkatkan keupayaan sektor pelaburan swasta tempatan ke tahap global.

Bajet 2013 banyak menyentuh mengenai perkara ini. Umpamanya, kerajaan menyediakan Dana Strategik Pelaburan Domestik bernilai RM1 bilion bagi memanfaatkan aktiviti penyumberan luar dan pemerolehan teknologi untuk syarikat tempatan. Selain itu, Bajet 2013 memberi tumpuan khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan pelancaran Pelan Induk PKS (2012-2020) yang berasaskan inovasi dan produktiviti serta berimpak tinggi. Fokus PKS juga terarah dalam industri halal dengan Dana Industri Halal sebanyak RM200 juta disediakan bagi membiayai modal kerja PKS yang terlibat secara langsung dengan industri halal. Prospek industri halal amat cerah dengan pertambahan permintaan terhadap produk-produk halal di peringkat global. Lebih-lebih lagi negara kita mempunyai kekuatan tersendiri dalam mengeluarkan produk-produk halal berbanding negara-negara lain.

Satu perkara yang amat menarik dalam Bajet 2013 adalah golongan penjaja dan peniaga kecil tidak dipinggirkan. Tidak mustahil mereka ini juga bakal menjadi usahawan hebat suatu hari nanti, maka nasib mereka juga sewajarnya dibela. Skim perlindungan insurans berkelompok yang berjumlah RM16 juta setahun dibiayai oleh kerajaan bertujuan melindungi penjaja dan peniaga kecil jika sekiranya berlaku kemudaratan diri, hilang upaya serta kematian. Skim ini secara tidak langsung boleh merangsang kekuatan kepada para penjaja dan peniaga kecil untuk melipat kali ganda usaha mereka dalam perniagaan. Ada di antara mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, maka, dengan kewujudan skim begini, mengurangkan kerisauan mereka jika sekiranya berlaku malapetaka ke atas mereka.

Di samping itu, bagi membantu mereka dalam selok-belok perniagaan, program Business in Transformation dilancarkan bagi memberi bimbingan mengenai konsep perniagaan baru seperti kedai bergerak, kios dan perniagaan atas talian. Bimbingan seperti ini memberi satu pendedahan baru kepada mereka mengenai kepentingan teknologi maklumat terbaru dan strategi peniagaan moden. Ini kerana kebanyakan penjaja dan peniaga kecil masih mengekalkan perniagaan cara tradisional yang sukar untuk mengaut keuntungan yang lebih lumayan. Umpama mereka mungkin tidak menyedari mengenai pemasaran atas talian yang skop pasaran lebih luas, murah, cepat dan mudah. Dengan cara ini, produk-produk mereka berkemungkinan besar boleh mendapat tempat bukan sahaja dalam pasaran tempatan tetapi juga boleh memasuki pasaran global.

Dari sudut kewangan pula, kerajaan telah menyediakan dana melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) yang boleh dipohon oleh usahawan kecil. Dana ini banyak membantu usahawan kecil memulakan dan memajukan peniagaan mereka. Walaubagaimanapun, satu aspek yang perlu diambil kira oleh mereka adalah kemahiran mengurus kewangan. Ramai di antara usahawan kecil dan sederhana bahkan usahawan besar sekalipun telah gagal mengurus kewangan mereka sebaik mungkin. Sebagai contoh, masih ramai usahawan kecil yang tidak mengetahui cara-cara merekodkan kewangan mereka secara sistematik. Rekod-rekod kewangan perniagaan mereka tidak teratur sehingga memberi implikasi besar terhadap perniagaan seharian mereka. Perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana mengurus kewangan perniagaan tidak sebagaimana mengurus kewangan peribadi dan jika tersilap langkah boleh memudaratkan perniagaan tersebut dalam tempoh jangka masa panjang.

Satu lagi komponen yang begitu penting dalam perniagaan selain pemasaran dan kewangan adalah kualiti produk dan perkhidmatan. Maka, para peniaga kecil dan sederhana yang inginkan kejayaan sebagai usahawan hebat perlu fokus kepada kualiti produk dan perkhidmatan mereka. Sering kali mereka ini tersilap caturan dalam menjaga kualiti produk dan perkhidmatan mereka. Sebagai contoh, kegagalan peniaga makanan untuk mengekalkan kelazatan makanan yang dijual boleh menyebabkan pelanggan tetap mereka tidak lagi mengunjungi gerai mahupun restoren mereka. Begitu juga, sekiranya makanan tersebut gagal disediakan dengan segera boleh menyebabkan pelanggan 'lari' ke gerai mahupun restoran lain. Kegagalan ini berkemungkinan besar meniti dari mulut ke mulut pelanggan lain dan jika tiada tindakan pembetulan dilakukan, lebih ramai lagi pelanggan tidak mengunjungi gerai mahupun restoren tersebut.

Ini baru melibatkan pasaran tempatan belum lagi melibatkan pasaran luar negara yang lebih rumit prosedurnya. Sebab itulah kita lihat banyak produk Malaysia sukar menembusi pasaran global seperti Jepun hanya kerana tidak menepati piawaian dan kualiti yang ditetapkan oleh pihak berkenaan. Oleh itu, bagi meramaikan usahawan tempatan yang hebat, tiga perkara ini iaitu pemasaran, kewangan dan kualiti produk perlu diberi perhatian oleh semua pihak yang terlibat dalam perniagaan.

Sumber
Utusan Malaysia
10 Oktober 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails