Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia
(WHO), Kemalangan jalan raya membunuh seseorang setiap 24 saat dengan
keseluruhan 1.35 juta kematian trafik direkodkan di seluruh dunia pada setiap
tahun. WHO berkata, angka korban tahunan melambung kepada kira-kira 100,000
orang dalam tempoh hanya tiga tahun, manakala kemalangan jalan raya kini pembunuh
utama kanak-kanak dan belia berusia antara lima tahun hingga 29 tahun. Kematian
ini adalah harga yang tidak patut dibayar untuk pergerakan manusia. “Tiada
alasan untuk tidak bertindak,” kata ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam
satu kenyataan.
Menurutnya, Laporan Status Global
Keselamatan Jalan Raya WHO yang diterbit berdasarkan data dari tahun 2016
menunjukkan situasi menjadi semakin teruk. Dalam laporan terakhirnya,
berdasarkan data dari tahun 2013, bilangan kematian akibat kemalangan jalan
raya dianggarkan seramai 1.25 juta orang setahun. Menurut WHO, korban
kemalangan di Benua Afrika agak tinggi merangkumi 26.6 kematian trafik setiap
tahun untuk setiap 100,000 penduduk berbanding 9.3 kematian di Eropah, rantau
yang mencatatkan kadar kematian trafik paling rendah di dunia.
Laporan WHO yang diterbitkan semalam itu
turut menunjukkan sikap tidak peduli pemilik kenderaan terhadap golongan paling
lemah di jalan raya dengan lebih separuh daripada mereka yang terkorban dalam
nahas trafik merupakan sama ada pejalan kaki atau penunggang dan pembonceng
kenderaan dua roda seperti motosikal serta basikal. Pejalan kaki dan penunggang
basikal merangkumi 26 peratus daripada keseluruhan kematian trafik, manakala
angka tersebut mencecah 44 peratus di Afrika. Sementara itu, penunggang dan
pembonceng motosikal merekodkan 28 peratus daripada keseluruhan korban di jalan
raya tetapi angka itu melonjak kepada 43 peratus di Asia Tenggara, demikian
menurut laporan WHO.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan