JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



22 November 2018

FAKTA TERKINI : RAMAI HILANG KERJA 2025?



SUMBER : AFP (18 SEPTEMBER 2018)

Menjelang 2025, robot akan melakukan 52 peratus daripada tugas yang ada di seluruh dunia iaitu dua kali ganda daripada yang dilakukan sekarang, menurut kajian Forum Ekonomi Dunia (WEF). Peningkatan mendadak itu memberi kesan kepada peranan manusia dalam tugas terbabit kerana mereka kini perlu memantapkan kemahiran. Ini bagi memastikan manusia tidak ketinggalan ekoran ‘pertukaran gelombang’ berhubung cara manusia mengendali kerja menggunakan program komputer dan mesin. Menjelang 2025 lebih separuh daripada tugas-tugas di tempat kerja sekarang akan dilakukan oleh mesin yang hari ini melakukan 29 peratus daripada tugas itu.

Secara beransur-ansur, perubahan mendadak proses mesin dan algoritma atau komputer yang direka untuk menyelesaikan masalah boleh mencipta sebanyak 133 peranan baharu di 75 juta tempat yang akan diganti, antara sekarang dan 2022,” lapor kajian tersebut. WEF yang beribu pejabat di Geneva terkenal melalui pe­nganjuran mesyuarat tahunan dalam kalangan individu kaya, ahli politik dan pemimpin perniagaan di Davos, Switzerland. Melalui laporannya, The Future of Jobs 2018, forum itu meramalkan robot akan pantas menggantikan manusia dalam bidang perakaunan, pengurusan pelanggan, industri, pos dan kesetiausahaan.

Kerja-kerja yang memerlukan kemahiran manusia seperti jualan, pemasaran dan perkhid­matan pelanggan termasuk e-dagang dan media sosial akan mewujudkan permintaan tinggi. Kajian itu mendapati, cabaran utama ialah untuk me­latih semula pekerja yang akan ditekan agar meningkatkan kemahiran terutama dalam bidang kreativiti, pemikiran kritikal dan pujukan. Kajian tersebut dilakukan terhadap pengarah kakitangan dan eksekutif kanan daripada pelbagai syarikat di seluruh dunia yang mewakili 70 peratus pengeluaran global.

Antara hari ini dan 2022, mereka percaya sektor pelancongan, pengembaraan dan penerbangan perlu melatih semula pekerja dan mengenal pasti trend keseluruhan ke arah pembelajaran sepanjang hayat dan adaptasi. Kerajaan di seluruh dunia juga dinasihatkan untuk menyediakan jaringan keselamatan bagi pekerja dan masyarakat yang diancam oleh ‘anjakan penting’ dalam kualiti dan pengekalan kerja baharu.

Tiada ulasan: