JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



01 April 2012

ISU KENEGARAAN : MALAYSIA YANG TERBAIK


Generasi muda di negara ini bertuah kerana mendapat pendidikan lebih baik berbanding pelajar di negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain dan Jerman. Menurut Laporan Daya Saing Global 2011/2012 dikeluarkan Forum Ekonomi Dunia (WEF), daripada segi kualiti pendidikan, Malaysia di tempat kedua selepas Singapura di kalangan negara Asean dan tangga ke-14 keseluruhan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini pencapaian membanggakan dan kejayaan itu pastinya hasil usaha kerajaan dan rakyat dalam meningkatkan kualiti pendidikan, kualiti modal insan dan daya saing negara. “Kita bersyukur kerana usaha kita untuk meningkatkan daya saing negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini mula menampakkan hasil,” katanya.

Laporan berkenaan turut meletakkan Malaysia di tangga ke-21 daripada 142 negara iaitu naik lima anak tangga daripada kedudukan ke-26 dalam laporan sebelumnya. Menurutnya, dalam memilih institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menyambung pengajian anak, pilihan utama ibu bapa ialah memastikan IPT terbabit ternama dan tinggi kualitinya sama ada daripada segi kemudahan infrastruktur, program pengajian ditawarkan dan sistem pembelajaran. Akses kepada pendidikan tinggi berkualiti dijamin dengan kewujudan 20 institusi pengajian tinggi awam, 58 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bertaraf universiti, kolej universiti dan kampus cawangan luar negara, 409 IPTS bukan bertaraf universiti dan lebih 300 Institusi Latihan Kemahiran (ILK) yang menawarkan pelbagai bidang pengajian.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Karnival Pengajian Tinggi Negara 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 31 Mac 2012. Terdahulu, ketika mempengerusikan Mesyuarat Agung Maktab Polis Diraja Malaysia ke-19 di Cheras, Muhyiddin berkata, sejak pelaksanaannya pada Januari 2010, Hasil Keberkesanan Utama Negara (NKRA) Pengurangan Jenayah menunjukkan hasil positif dengan penurunan 11.1 peratus dalam jenayah indeks dan penurunan hampir 50 peratus jenayah jalanan. Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berkata, Laporan Indeks Keamanan Global (GPI) 2011 mengiktiraf Malaysia sebagai negara paling selamat di Asia Tenggara dan ke-19 di dunia. Sebanyak enam Anugerah Emas disampaikan kepada balai polis cemerlang iaitu Balai Polis Taman Johor Jaya, Johor; Balai Polis Sea Park, Selangor; Balai Polis Panching, Pahang; Balai Polis Sungai Bakap, Pulau Pinang; Balai Polis Tambunan, Sabah dan Balai Polis Sentral Sibu, Sarawak. Penerima anugerah akan dihantar ke Hong Kong untuk mengikuti penempatan dalam perkhidmatan bersama polis Hong Kong dan ia akan dibiayai sepenuhnya oleh MCPF.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Berita Minggu
1 APRIL 2012

Tiada ulasan: