JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



07 September 2011

ISU SOSIAL : TREND KEMATIAN PENGGUNA MOTOSIKAL MENINGKAT SEJAK TIGA DEKAD

Oleh AHMAD ZAKI MOHD. HASSAN


Perkataan 'kemalangan' menjadi sinonim menjelangnya sesuatu musim perayaan. Di dada-dada akhbar akan terpampang berita tentang perkataan keramat ini. Di negara-negara perindustrian mahupun di negara yang sedang membangun, secara purata dapati, 1 dari 10 katil di hospital-hospital adalah merupakan mangsa kemalangan jalan raya. Ia juga merupakan penyumbang terbesar kecederaan di kebanyakan negara di dunia ini. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan dalam terbitannya bertajuk Injury: A Leading Cause of the Global Burden of Disease, kecederaan kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kematian adalah di kalangan mangsa berumur 15-44 tahun. Daripada 28.1 juta kematian non-communicable diseases setahun pada 1990 dijangka meningkat kepada 49.7 juta menjelang tahun 2020, kemalangan jalan raya adalah punca utamanya. Kemalangan jalan raya juga dijangka akan mengambil tempat ketiga dalam senarai penyebab kematian di dunia menjelang 2020. Fenomena yang sama juga berlaku di negara kita. Kemalangan jalan raya antara masalah utama.

Hampir 6,000 kematian disebabkan kemalangan yang menyebabkan kerugian lebih RM6 bilion dilaporkan setiap tahun. Pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dianggarkan sebanyak 1.4 juta kenderaan menggunakan lebuh raya, masing-masing dengan destinasinya tersendiri. Sehubungan dengan itu pergerakan kenderaan banyak berlaku di dalam tempoh dua minggu musim perayaan ini. Situasi ini sudah semestinya mengundang kepada kemalangan seperti musim perayaan yang lalu. Kajian menunjukkan trend kematian melibatkan penunggang motosikal dan pengguna jalan raya selain motosikal bertambah sepanjang tiga dekad. Di awal tahun 1980-an sehingga 1992, kematian pengguna jalan raya selain motosikal adalah melebihi daripada kematian penunggang motosikal. Pengguna jalan raya selain motosikal melebihi 2,000 kematian setahun manakala kematian penunggang motosikal pula mencecah 1,200 kematian setahun. Namun keadaan ini berubah, berlaku satu lompatan yang besar dari segi angka kematian melibatkan penunggang motosikal berbanding pengguna jalan raya lain.

Bermula dari tahun 1993-1994 ( dari 2,416 ke 2,946 kematian), dari tahun 1994-1995 (dari 2,946 ke 3,362 kematian) dan dari tahun1995-1996 (dari 3,362 ke 3,778 kematian). Ketiga-tiga tempoh tersebut menunjukkan peningkatan 22 peratus (%), 12% dan 14%. Untuk sepuluh tahun bermula dari tahun 2000 sehingga 2010 juga angka kematian terus meningkat dan ia mencapai purata kenaikan sebanyak 2% setiap tahun. Banyak kajian menunjukkan yang penunggang atau pembonceng motosikal merupakan risiko paling tinggi terbunuh atau tercedera dalam kemalangan jalan raya. Dengan bilangan motosikal yang berdaftar sebanyak 894,0230 pada tahun 2009, sebanyak 11,3962 terlibat dengan kemalangan manakala dari 9,441,907 bilangan motosikal berdaftar pada tahun 2010, sebanyak 120,156 terlibat dengan kemalangan. Kajian bermula dari 2000 sehingga 2010 menunjukkan bahawa lebih kurang 1% daripada motosikal setiap tahun mungkin terlibat dengan kemalangan. Pada tahun 2009, seramai 3,640 penunggang 430 pembonceng menemui ajal akibat kemalangan jalan raya manakala pada tahun 2010 seramai 3,614 penunggang dan 422 pembonceng menerima nasib yang sama.

Fenomena ini tidak menampakkan akan berlakunya penurunan memandangkan bilangan motosikal yang kian bertambah dari tahun ke tahun. Masalah ini menjadi lebih kronik kerana ia melibatkan mereka yang masih muda iaitu di awal usia. Pada usia ini negara memerlukan akan khidmat tenaga dan kepakaran mereka. Daripada 2,899 sampel yang diambil dari 3,640 kematian penunggang motosikal pada tahun 2009, purata umur mangsa adalah 36 tahun, 25% daripadanya di bawah umur 20 tahun, lebih dari 50% daripada mereka di bawah umur 29 tahun ke bawah. Manakala dari 400 sampel yang diambil dari 430 kematian pembonceng motosikal pada tahun 2009, purata umur mangsa adalah 28 tahun, 50% daripadanya di bawah 21 tahun. Terdapat banyak faktor yang dikenal pasti menyumbang pada keadaan ini, antaranya ialah keadaan motosikal, kelakuan dan kesalahan manusia, kualiti jalan raya dan reka bentuk, pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang, persekitaran dan keadaaan cuaca. Faktor-faktor di atas memerlukan kepada komitmen daripada banyak pihak demi melihat pengurangan dari segi bilangan kemalangan mahupun kematian. Namun mengikut kajian dan pemerhatian Jabatan Pengangkutan Jalan dan Polis Diraja Malaysia, 95 peratus kemalangan jalan raya di negara ini disebabkan kecuaian manusia. 


Rakyat Malaysia secara keseluruhannya perlu prihatin akan isu ini dan bersama dalam menyahut kempen keselamatan jalan raya yang dijalankan oleh semua pihak khususnya mereka yang terlibat secara langsung dengan usaha ini. Diharap Petua Keselamatan Jalan Raya yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) boleh dijadikan panduan agar jika anda sebagai penunggang atau pembonceng perlu lebih berhati-hati. Anda Mampu Mengubahnya.


SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
7 SEPTEMBER 2011

Tiada ulasan: