Seramai 6.2 juta penduduk negara ini berusia 30 tahun ke atas menghidap dua penyakit tidak berjangkit (NCD) utama, iaitu diabetes dan darah tinggi yang menjadi penyebab utama kematian pramatang. Mengikut Tinjauan Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi (NHMS) 2006, seramai 1.4 juta penduduk Malaysia dianggarkan menghidap diabetes dan selebihnya 4.8 juta darah tinggi atau hipertensi. Malah, rekod NHMS menunjukkan kes diabetes di kalangan penduduk Malaysia dewasa berusia 30 tahun ke atas meningkat 79 peratus, iaitu daripada 8.3 peratus pada 1996 kepada 14.9 peratus pada 2006. Kes darah tinggi turut mencatat meningkat kepada 42.6 peratus pada 2006, berbanding hanya 32.9 peratus yang direkodkan 10 tahun sebelum itu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai. Angka itu adalah sekadar anggaran dan kami menjangka jumlah sebenar sekarang jauh lebih tinggi memandangkan rekod terkini hanya berdasarkan tinjauan pada 2006.
Justeru, bagi tempoh empat tahun akan datang, Kementerian Kesihatan akan memberikan tumpuan khusus kepada usaha menangani NCD yang turut mengisi kedudukan teratas senarai 10 penyebab utama kemasukan dan kematian di hospital kerajaan. Sementara itu, Liow berkata, dalam usaha memastikan rekod yang lebih terkini, Kementerian Kesihatan memutuskan untuk menjalankan NHMS secara lebih kerap, iaitu empat tahun sekali, berbanding 10 tahun sekali seperti sekarang. Jika NHMS dilakukan lebih kerap, kita berupaya mengenal pasti perkembangan serta trend penyakit dengan lebih cepat, sekali gus memudahkan tindakan diambil untuk mengatasinya. Mengenai denggi, Liow berkata, sejak Januari lalu 7,362 kes dikesan di seluruh negara dengan 12 kematian. Jumlah itu, walaupun menurun berbanding 17,296 kes dengan 56 kematian yang direkod tempoh sama tahun lalu, masih dianggap membimbangkan.
BERITA HARIAN
11 MEI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan