Kes jenayah berat di negara ini menurun empat hingga 17 peratus dalam tempoh 2007 hingga 2010, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Katanya, sebanyak 1,405 kes jenayah berat direkodkan pada 2006 tetapi jumlah itu merosot enam peratus kepada 1,321 kes pada 2007, 1,264 (2008), 1,096 (2009) dan 912 (2010). Kejayaan PDRM (Polis Diraja Malaysia) menurunkan jumlah jenayah berat itu dicapai menerusi operasi dijalankan terhadap kumpulan penjenayah yang hasilnya mereka dihadapkan ke muka pengadilan. Hishammuddin berkata, jenayah berat ditakrifkan sebagai jenayah yang boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan kes lain membabitkan nyawa serta harta benda seperti bunuh, samun bersenjata api, penyeludupan senjata api, culik dan kes lain.
Sementara itu, pada sidang media kemudian, beliau berkata, kerjasama strategik antara PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan meliputi penggunaan kem tentera untuk melatih dan merekrut anggota polis, mengadakan rondaan bersama serta menyerap bekas anggota tentera ke dalam perkhidmatan polis. Katanya, kerjasama itu menggunakan modul latihan polis, sekali gus membantu menjimatkan kos kerana mengguna kemudahan sedia ada tanpa perlu membina pusat latihan polis baru. Projek perintis dimulakan di Kem Kluang, Johor, dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dijangka melawat kem itu pada 26 Mac ini. Tidak pernah dalam sejarah polis dan tentera, ada fungsi pertindihan yang dikongsi bersama supaya penjimatan kos dapat dilaksanakan. Ini antara beberapa inisiatif dilakukan tahun ini yang akan diumumkan kemudian, untuk mencari jalan mengurangkan kadar jenayah, terutama jenayah berat bagi memenuhi sasaran NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) kementerian.
BERITA HARIAN, 10 MAC 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan