10 Ogos 2012

ISU GLOBAL : NASIB ROHINGYA UMPAMA ETINK BOSNIA


Rencana ini ditulis oleh :
NURUL ANUAR KARI


Penindasan yang dihadapi etnik Rohingya bukannya sesuatu yang baru dan telah diketahui dunia sejak sekian lama, termasuk di Malaysia yang telah menerima berpuluh ribu pelarian Myanmar sejak beberapa dekad lalu. Etnik Rohingya yang memohon suaka politik di Malaysia jauh lebih bernasib baik berbanding saudara mereka di Myanmar yang masih diserang dan dihalau dari tempat tinggal mereka tanpa sebarang pembelaan. Walaupun masyarakat Rohingya telah hidup sebagai pelarian selama beberapa generasi di negara ini dan beberapa negara anggota ASEAN lain, hak kerakyatan etnik minoriti itu masih disekat kerajaan Myanmar kerana dikatakan tidak termasuk dalam 130 etnik asal. Sekitar 750,000 warga Rohingya yang tinggal di kawasan barat negeri Rakhine diklasifikasikan kerajaan Myanmar sebagai masyarakat Islam Bengali yang masuk dari Bangladesh tetapi tiada negara sendiri.

Bangladesh pula dilaporkan menolak pelarian Rohingya yang ingin menyelamatkan diri daripada penindasan di Myanmar dan terbaru telah menghalang pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa menyampaikan bantuan kepada pelarian berkenaan. Kesal dengan sikap masyarakat antarabangsa menangani isu tersebut, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan meminta kebenaran kerajaan Myanmar bagi menghantar misi pencarian fakta ke negara itu untuk mencari penyelesaian terbaik. Dengan jumlah kematian yang semakin meningkat dan lebih 100,000 etnik Rohingya kehilangan tempat tinggal, masyarakat Islam seluruh dunia tertanya-tanya apakah agenda kerajaan Myanmar dan mengapa tragedi melibatkan masyarakat Islam sering dipandang enteng masyarakat antarabangsa.

Walaupun sistem pemerintahan di Myanmar kini dikatakan semakin baik tetapi mampukah perubahan ke arah demokrasi yang dilaung-laungkan itu menyelesaikan masalah penindasan etnik yang telah berpuluh tahun berlarutan? Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan menjelaskan, masalah Rohingya telah lama berlarutan sejak zaman junta tentera sehingga di bawah kerajaan awam kini. "Apa pun, Myanmar tidak mahu dan tidak akan mengiktiraf etnik Rohingya, yang datang dari Bangladesh, sebagai rakyat mahupun pelarian. Ini berlaku sejak negara itu dikenali sebagai Burma dahulu lagi. "Kini di bawah kerajaan baru, etnik asal Myanmar mempunyai motivasi baru untuk menghapuskan etnik minoriti itu tanpa sekatan daripada pihak pemerintah," katanya.

Menurut beliau, Myanmar sememangnya dalam proses ke arah demokrasi tetapi dalam hal ini, pihak pemerintah dan pembangkang termasuk Aung San Suu Kyi sendiri sepakat untuk tidak mengiktiraf etnik Rohingya. Tambahnya, masalah tidak akan selesai selagi dibiar Myanmar menguruskan situasi itu sendirian sementara Amerika Syarikat (AS) dan Eropah pula melihat perkembangan tersebut sebagai sesuatu yang tidak penting. Oleh itu, beliau menganggap langkah OIC menghantar pasukan sendiri sebagai langkah terbaik untuk campur tangan bagi mengelakkan situasi semakin melarat. "OIC badan terbaik untuk campur tangan memandangkan ASEAN tidak boleh diharap kerana memegang pendirian tidak campur tangan politik dalaman anggotanya sementara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pula dikawal AS dan Eropah. OIC dapat memberi pendedahan dan membuka mata dunia terhadap penindasan berterusan etnik Rohingya serta situasi mereka yang ditolak oleh Bangladesh dan negara ketiga," ujarnya.

Jelasnya, etnik Rohingya yang dilihat tiada kemahiran untuk menyumbang kepada ekonomi sesebuah negara menjadi punca mereka ditolak semua pihak termasuk negara asal dan kerajaan Myanmar sendiri. Tegasnya lagi, setelah berpuluh tahun ditindas, situasi mereka tidak diendahkan lagi dunia kerana ia tidak memberi keburukan kepada geopolitik antarabangsa. Menurut Azmi, berbeza dengan situasi rakyat Palestin yang memberi impak kepada dunia, apa yang berlaku kepada warga Rohingya kini tiada kesan besar kerana jumlah mereka kecil dan tiada negara sendiri. "Cara terbaik dalam jangka pendek adalah untuk memaksa Myanmar sekurang-kurangnya mengiktiraf etnik minoriti ini sebagai pelarian dan melalui konvensyen khas pelarian PBB, kerajaan negara itu perlu membantu warga Rohingya. Malaysia dan Thailand selaku penerima pelarian Rohingya terbanyak boleh menunjukkan contoh baik layanan adil kepada pelarian terbabit sebagai satu langkah simbolik dalam ASEAN," jelasnya.

Namun, beliau secara peribadi merasakan campur tangan OIC itu tidak akan membawa penyelesaian mahupun kesan kesan positif dalam jangka pendek. "ASEAN sendiri perlu campur tangan tetapi masalahnya mereka tidak mahu merencatkan proses demokrasi di Myanmar. Persoalannya kini, yang mana lebih penting - Rohingya atau demokrasi," soal beliau. Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Proffesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak juga bersetuju ASEAN sendiri yang sepatutnya menyelesaikan masalah di depan 'halaman' mereka itu. "Ini bukannya campur tangan politik dalaman, ini tragedi kemanusiaan yang menjejaskan imej ASEAN sendiri kerana selama ini mereka paling banyak membela Myanmar daripada campur tangan Barat. ASEAN tidak boleh cuci tangan dan membiarkan OIC membuat kerja mereka. Jika terus berdiam diri, tiada bezanya ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) yang membiarkan Serbia menyembelih etnik Bosnia dahulu," tegasnya. Beliau juga tidak bersetuju dengan tindakan ASEAN terlalu 'menghormati' Myanmar dan mengekalkan dasar tidak campur tangan sedangkan pelanggaran hak asasi manusia dan mungkin juga pembersihan etnik sedang berlaku di depan halaman mereka sendiri.

Tambahnya, pemerintah Myanmar juga memang dikenali berkeras dalam mengawal tindak-tanduk etnik asal negara itu, inikan pula terhadap etnik-etnik minoriti lain yang ingin disingkirkan seperti masyarakat Rohingya. Beliau turut mempersoalkan motif penindasan etnik minoriti itu memandangkan masyarakat Rohingya tidak menuntut wilayah sendiri mahupun memberontak tetapi hanya mahukan perlindungan dan keadilan. "Motif keganasan terbaru ini kurang jelas tetapi mungkin kerana mereka takut dengan sokongan etnik minoriti akan cenderung kepada penentang kerajaan serta pejuang demokrasi. Sudahlah hidup serba kekurangan dalam kedaifan dan kini penindasan sistematik oleh kerajaan yang mahu singkirkan mereka. Apabila Bangladesh dan negara ketiga juga menolak mereka, Rohingya mungkin berhadapan dengan pembersihan etnik pula," katanya. Beliau berharap ASEAN segera mencari jalan untuk membantu atau kredibiliti mereka akan terjejas kerana membiarkan etnik Rohingya seperti mana EU mengabaikan etnik Bosnia. "Persoalannya kini, adakah ASEAN akan terus berdiam diri dan melihat pembersihan etnik seperti mana EU lakukan dalam perang Bosnia dahulu," ujarnya.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Jumaat, 10 Ogos 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails