JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



07 April 2012

ISU SOSIAL : SENSITIVITI AGAMA JAMIN KEHARMONIAN KAUM

Oleh Muhamad Razak Idris
Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)


Sikap sensitif ialah antara etika bagi menjamin kerukunan dan keharmonian hidup beragama. Kita sedih dengan beberapa kes yang terjadi di negara kita sejak akhir-akhir ini apabila ada sebahagian daripada penganut agama tidak menunjukkan sikap dan rasa sensitif terhadap perasaan penganut agama lain dengan mengeluarkan pernyataan umum atau menganjurkan kegiatan tertentu, bersifat keagamaan atau kependidikan. Pernah beberapa waktu sebelum ini, perasaan penganut agama Islam terganggu apabila satu kumpulan agama lain memberi komentar terbuka ketidakpuasan hati mereka terhadap penganjuran ibadah korban pada musim perayaan Aidiladha. Komentar itu ialah antara contoh dan gambaran tahap kerendahan sensitiviti agama oleh sesetengah pihak terhadap amalan keagamaan penganut agama yang lain yang wujud dalam negara kita.

Banyak faktor membawa kepada timbulnya sikap kurang sensitiviti keagamaan. Antaranya ialah kerana 'kejahilan' atau tiada pendedahan yang berterusan mengenai amalan dan budaya beragama oleh penganut yang berlainan. Kesannya, beberapa perkara yang dianggap mulia dan suci oleh pandangan penganut agama tidak dirasai demikian oleh penganut yang lain Sikap tidak sensitif yang sama juga wujud dalam kalangan penganut agama Islam sendiri. Ini boleh diperhatikan dalam kes penganjuran seminar pendidikan keagamaan oleh sebuah agensi kerajaan baru-baru ini. Dari segi kandungan, seminar itu penting kerana ia cuba untuk menjelaskan cabaran pemikiran dan kepercayaan yang sedang dialami oleh penganut agama Islam dalam usaha mereka menjaga keutuhan kepercayaan atau akidah mereka.

Namun, dari segi pemilihan tajuk seminar, ia menunjukkan sikap tidak sensitif terhadap penganut agama lain apabila menyatakan secara terbuka dalam bentuk tulisan dan hebahannya nama agama tertentu sebagai ancaman kepada kepercayaan agama Islam. Seminar ini mengundang perdebatan yang luas sehingga membawa kepada campur tangan jawatankuasa keharmonian agama di bawah Kabinet yang memohon pengubahsuaian tajuk seminar. Begitulah beberapa contoh semasa bagi menggambarkan tahap kerendahan sensitiviti keagamaan dalam masyarakat kita.

Dalam hubungan ini, kita ingin mengambil perhatian kepada semua penganut agama di negara ini untuk menjaga sensitiviti keagamaan dalam sebarang bentuk kegiatan yang bersifat pengucapan dan kependidikan. Malah, dari beberapa kes yang sudah terjadi ini, ia memberi iktibar betapa keutamaan harus diberikan pada masa kini oleh semua pihak bagi memupuk etika perhubungan keagamaan yang kukuh antaranya dari segi menjaga sensitiviti antara sesama penganut agama. Hal ini harus diberi perhatian yang tinggi kerana kita semua sedia ketahui kesan dan akibat sekiranya permusuhan agama berlaku dalam sesebuah masyarakat. Kita tidak boleh menggadaikan kerukunan hidup masyarakat seluruhnya hanya disebabkan oleh perbuatan leka dan tidak sensitif sesetengah pihak terhadap agama orang lain.

Sekiranya diteliti, banyak faktor yang membawa kepada timbulnya sikap kurang sensitiviti keagamaan ini. Antaranya ialah kerana ‘kejahilan’ atau tiada pendedahan yang berterusan mengenai amalan dan budaya beragama oleh penganut yang berlainan. Kesannya, beberapa perkara yang dianggap mulia dan suci oleh pandangan penganut agama tidak dirasai demikian oleh penganut yang lain. Ini membawa kepada perbuatan sikap tidak menghormati dan menghargai amalan dan budaya keagamaan oleh penganut agama. Kes yang terjadi di Afghanistan baru-baru ini boleh dijadikan contoh bagaimana sikap jahil atau kurangnya pendedahan mengenai kesucian al-Quran membawa kepada perbuatan membakar kitab itu oleh tentera Amerika Syarikat. Kesannya, berlaku protes besaran oleh masyarakat Muslim atas kekecewaan sikap tidak sensitif itu dan ini telah menambahkan lagi rasa kebencian terhadap AS secara berterusan di dunia Islam.

Persoalan kurangnya pendedahan mengenai amalan dan budaya keagamaan ini perlu diatasi dengan kadar segera. Di negara kita, pengajian mengenai agama lain belum berkembang secara terbuka. Ia cuma terhad pada peringkat pengajian tinggi menerusi subjek Tamadun Islam dan Asia. Sudah wajar untuk pemikiran khusus mengenai persoalan ini dibincangkan seperti kefahaman amalan dan budaya beragama pelbagai masyarakat di negara ini diperkenalkan pada peringkat pendidikan menengah dan rendah. Ia bertujuan bagi memupuk sikap hormat menghormati terhadap amalan dan kebudayaan agama lain bermula seawal mungkin.

Pengenalan mengenai pengajian berkenaan amalan dan budaya agama yang pelbagai ini harus disertakan dengan perbincangan soal etika perhubungan antara agama. Dalam kata lain, subjek dialog antara agama harus dibangunkan secara lebih sistematik. Masyarakat dan generasi muda harus didedahkan dari awal lagi mengenai realiti kemajmukan agama yang wujud dan bagaimanakah pendekatan dialog ialah terbaik bagi mendepani kepelbagaian ini. Dari perspektif dialog, agama difahami sebagai sumber kekuatan kepada kehidupan dan peradaban. Untuk itu, kekuatan yang positif yang dimiliki oleh setiap agama harus digembleng secara objektif demi kerukunan dan keharmonian bersama. Dalam kata lain, masyarakat harus dididik supaya melihat kemajmukan agama bukan sebagai satu bentuk ancaman sehingga membawa mereka berpandangan negatif atau melarikan diri daripada kemajmukannya yang sudah tidak boleh dielakkan lagi dalam kehidupan pada hari ini.

Ini tidak bermaksud pula kita menganjurkan konsep kesatuan kebenaran dalam beragama. Kefahaman yang ingin kita hebahkan ialah setiap agama memiliki sistem kepercayaan, amalan dan kebudayaan yang tersendiri dan semua penganut agama harus saling hormat menghormati keunikan dan kepelbagaian ini serta saling memanfaatkan kekuatan yang tidak menyalahi atau bertentangan dengan ajaran dan kepercayaan agama masing-masing.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Berita Harian
7 APRIL 2012

Tiada ulasan: