Nilai kerugian akibat bencana pada 2011 adalah yang tertinggi dalam sejarah, ditaksirkan mencapai sekurang-kurangnya AS$380 bilion (RM1.15 trilion), khususnya disebabkan gempa bumi di Jepun dan New Zealand, kata utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 6 Mac 2012. Wakil Khas Bagi Pengurangan Risiko Bencana PBB, Margareta Wahlstrom, berkata angka itu adalah dua pertiga lebih tinggi berbanding rekod sebelumnya pada 2005 apabila Taufan Katrina melanda wilayah selatan Amerika Syarikat. Selain kerugian disebabkan gempa bumi, Wahlstrom berkata banjir besar di Thailand dan negara lain memburukkan keadaan. Mesej utama ialah keadaan ini adalah satu trend yang semakin biasa dan menyebabkan kerugian ekonomi meningkat, kata Wahlstrom. Walaupun kerugian semakin besar, kadar kematian akibat bencana menurun kerana negara terbabit mempunyai sistem amaran awal dan mengambil langkah persediaan rapi, katanya. Permasalahan ekonomi menjadi satu ancaman besar terhadap sesetengah negara. Pada hari ini, 50 peratus penduduk dunia terdedah kepada risiko bencana kerana mereka tinggal di kawasan yang mudah terdedah,” kata Wahlstrom.
Wahlstrom berkata, Jepun paling terdedah kepada masalah ekonomi dan kedua tertinggi bagi penduduk terhadap potensi bencana. Beliau memuji Jepun kerana usaha awal menghadapi kesan bencana namun turut berkata ada pengajaran perlu diambil selepas gempa bumi dengan kekuatan 9.0 skala Richter dan tsunami melanda, 11 Mac lalu. Ketika bangunan secara umumnya bertahan daripada gempa bumi besar itu, tsunami yang menyusul menyerang kawasan timur laut, meranapkan keseluruhan bandar dan menenggelamkan loji jana kuasa nuklear Fukushima, mencetuskan masalah nuklear terburuk sejak Chernobyl pada 1985. Wahlstrom berkata, risiko bencana meningkat secara global kerana perubahan cuaca, pengurangan sumber semula jadi, penggunaan tanah tidak teratur dan masalah alam sekitar semakin teruk. Sebagai contoh, katanya menjelang 2050, dunia akan memerlukan 50 peratus lebih banyak makanan, 45 peratus lebih banyak tenaga dan 30 peratus lebih banyak air untuk penduduk yang semakin meningkat sedangkan sumber itu sudah terancam dan menjadi pencetus bencana. – AP
Sila berikan komen anda. Terima kasih.
Sumber
Berita Harian
7 Mac 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan