JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



08 September 2011

ISU PENYAKIT : VAKSIN MERAWAT DEMAM DENGGI DIJUMPAI


Ancaman demam denggi yang dihidapi hampir 100 juta orang dan menyebabkan 22,000 kematian setiap tahun di seluruh dunia, dijangka akan berakhir berikutan penemuan vaksin untuk merawatnya.  Vaksin itu yang sudah menjalani ujian klinikal fasa terakhir membabitkan kira-kira 40,000 pesakit dari 10 negara di Asia dan Amerika Syarikat dijangka memasuki pasaran menjelang 2014 atau 2015. Vaksin itu boleh membentuk antibodi bagi pesakit untuk melawan penyakitnya dengan menguatkan sistem imuniti badan melawan penyakit berkenaan yang dibawa nyamuk jenis Aedes Aegypti. Pengarah Program bagi Penemuan Penyakit Berjangkit di Institut Perubatan Dune-NUS di Singapura yang juga bekas Pengarah Bahagian Penyakit Berjangkit di Pusat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit di Amerika Syarikat, Profesor Duane Gubler, berkata syarikat Amerika Syarikat, Sanofi Pasteur dilesen untuk mengeluarkan vaksin itu. Buat permulaan hanya 100,000 vaksin akan dikeluarkan setiap tahun.  Vaksin ini dijangka dijual pada harga mahal di peringkat permulaan, sebelum berkurangan apabila banyak lagi vaksin baru ditemui dan diuji.

Ketika ini beberapa vaksin masih diperingkat awal kajian dan dijangka memasuki pasaran dalam tempoh 10 tahun lagi.  Vaksin itu sesuai digunakan ke atas kanak-kanak dan orang dewasa, malah ia boleh digunakan seawal umur 12 bulan diikuti program vaksinasi pada peringkat umur seterusnya. Gubler berharap penemuan vaksin baru itu tidak dijadikan alasan oleh mana-mana pihak untuk berhenti menjalankan kajian pengawalan nyamuk, malah perlu melipatgandakan usaha memerangi nyamuk Aedes Aegypti yang menjadi punca demam denggi.  Jika ditanya apakah kaedah yang paling berkesan bagi menangani denggi di Malaysia, kita tidak mempunyai jawapan yang spesifik, tetapi sesebuah negara tidak boleh bergantung hanya pada satu usaha saja.  Malaysia perlu ada usaha sendiri membangunkan Program Pengawalan Penyakit Bersepadu yang khusus bagi menangani semua jenis wabak penyakit, termasuk dibawa nyamuk.  Setiap wabak perlu dipantau sejak awal dan bukannya selepas penyakit berjangkit dan menyebabkan kematian. Setiap kes yang berlaku dalam komuniti perlu diberi perhatian serius.

SUMBER
BERITA HARIAN
8 SEPTEMBER 2011

Tiada ulasan: