16 April 2011

ISU SOSIAL : KURANG MEMBACA MERUPAKAN PENYUMBANG KEPADA KECICIRAN PELAJAR


Budaya membaca yang rendah di kalangan pelajar selain kegagalan menguasai kemahiran menulis, membaca dan mengira (3M) dikenal pasti sebagai antara faktor penyumbang kepada masalah keciciran pelajar yang agak membimbangkan. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, analisis kementerian mendapati secara purata keciciran murid di peringkat sekolah rendah iaitu mereka yang keluar dari sistem persekolahan di bawah kementerian dari 2006 hingga 2010 adalah sekitar 0.3 peratus bagi murid lelaki dan 0.2 peratus bagi murid perempuan. Di peringkat sekolah menengah pula, masalah keciciran adalah sekitar 4.5 peratus bagi pelajar lelaki dan 2.9 peratus pelajar perempuan. Mohd. Puad berkata, kegagalan pelajar menguasai aspek asas pembelajaran dan kemahiran 3M turut menjadi punca mereka hilang minat untuk belajar malah lebih memburukkan keadaan apabila kegagalan itu dibawa ke sekolah menengah menyebabkan sebahagian besar pelajar berhenti sekolah. Bagi mengatasi masalah kegagalan pelajar menguasai 3M, kementerian telah memperkenalkan program Literasi dan Numerasi (Linus) sejak awal tahun lalu yang berperanan bukan sahaja bagi mengukuhkan tahap celik huruf pelajar, malah ia mampu mengenal pasti pelajar yang  menghadapi masalah menguasai kemahiran 3M.

16 April 2011
UTUSAN MALAYSIA
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails