JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



18 Mac 2011

ISU EKONOMI : HAD KELAYAKAN PEMILIK KAD KREDIT DINAIKKAN DARI 18,000 KEPADA 24,000 SETAHUN


Bank Negara Malaysia (BNM) menyemak semula syarat kelayakan pendapatan minimum bagi memohon kad kredit kepada RM24,000 setahun daripada RM18,000 setahun berkuat kuasa serta-merta. Bagi pemohon atau pemegang kad yang memperoleh RM36,000 setahun atau kurang, mereka akan boleh memiliki kad kredit daripada dua pengeluar kad sahaja, kata Timbalan Gabenor BNM, Nor Shamsiah Mohd Yunus. Bagi pemegang kad sedia ada yang memiliki kad kredit lebih daripada dua pengeluar kad, mereka diberikan tempoh sehingga 31 Disember, 2011 untuk menentukan pengeluar kad pilihan masing-masing. Pada masa ini, 50 peratus daripada 3.2 juta pemegang kad kredit mempunyai pendapatan di bawah RM36,000. Nor Shamsiah berkata, pemegang kad juga diberikan sekurang-kurangnya dua tahun bagi menyelesaikan baki tertunggak mereka untuk kad-kad yang dibatalkan bagi tujuan memenuhi keperluan itu. Had maksimum kredit yang diberikan kepada pemegang kad juga tidak boleh melebihi dua kali ganda pendapatan bulanan pemegang kad bagi setiap pengeluar kad. 

PANDANGAN PERIBADI CIKGU ZUL

Sehingga ke hari ini, Cikgu Zul masih tidak memiliki kad kredit dan tidak berniat untuk menggunakannya. Cikgu Zul hanya mempunyai kad debit yang mempunyai fungsi yang sama dengan kad kredit. Cikgu Zul tidak berpandangan negatif tentang orang yang menggunakan kad kredit sebab Cikgu Zul tidak berpengalaman menggunakannya. Pengalaman hanya diperoleh daripada pembacaan di surat khabar, majalah, berita, dan rencana. Walau bagaimanapun, nasihat Cikgu Zul kepada mereka yang sudah terperangkap dengan penggunaan kad kredit yang melampau, silalah kembali ke pangkal jalan. Selesaikan semua hutang-hutang kad kredit tersebut dan setelah hutang dilangsai, tutup terus akaun kad kredit tersebut. Kemudian, beralihlah menggunakan kad debit. Saya percaya penggunaan kad debit lebih terjamin kerana setiap perbelanjaan tidak boleh melebihi pendapatan kita, bak kata pepatah, "ukur baju di badan sendiri". Kendatipun demikian, ini semua hanyalah pendapat peribadi Cikgu Zul sahaja. Setiap orang ada cara sendiri untuk mengurus kewangan masing-masing. Cara kita mungkin berbeza, cuma diharapan ialah kesejahteraan dan bebas daripada tekanan yang boleh memporak-perandakan kehidupan. 

Tiada ulasan: