21 November 2015

ISU KEGANASAN PERSEPSI


NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Utusan Malaysia, 18 November 2015

Ini adalah zaman persepsi. Masyarakat melihat semua perkara dalam persepsi masing-masing lantas membuat rumusan dan keputusan yang lebih banyak dipengaruhi oleh elemen emosi berbanding fikiran yang waras dan adil. Akibatnya keadaan menjadi kelam kabut dan mencetuskan pelbagai situasi panik. Hakikatnya, sama ada persepsi baik mahupun negatif ia perlu melalui satu proses pertimbangan dan penilaian yang sewajarnya agar kita tidak membuat keputusan yang terburu-buru mahupun salah. Apa yang dimaksudkan keganasan persepsi? Keganasan persepsi sering dirujuk kepada tindak tanduk pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menaburkan pelbagai fitnah terutamanya dalam media baharu seperti media sosial yang lebih banyak menjurus kepada unsur negatif terhadap sesuatu isu, sesebuah organisasi mahupun individu seperti pemimpin negara.

Ringkasnya, ia membabitkan usaha untuk memburukkan, mencemarkan atau menjatuhkan seseorang individu, kumpulan ataupun sesebuah organisasi untuk tujuan tertentu dengan mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat. Oleh sebab media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan blog mula menjadi medium utama masyarakat dewasa ini maka pihak yang melakukan keganasan persepsi ini menggunakan media baharu ini untuk melakukan aktiviti tidak bermoral seperti ini dan percayalah mereka berjaya melakukannya kerana pengaruh media sosial yang cukup kuat. Pelbagai berita, maklumat, gambar, data dan fakta yang berbentuk andaian mahupun fitnah yang jelas belum tentu kesahihannya disebarkan dalam media sosial untuk mempengaruhi dan meracuni pemikiran dan minda masyarakat kita secara keseluruhannya.

Keadaan menjadi semakin parah dan kritikal apabila pengguna media sosial dengan pantas menyebarkan ataupun viralkan maklumat yang mereka terima itu tanpa usul periksa. Ini menyebabkan fitnah yang dicetuskan itu tersebar luas dan menjadi viral dalam kalangan pengguna media sosial. Oleh kerana ia tersebar luas akhirnya pengguna media sosial merumuskan fitnah ataupun maklumat palsu tersebut adalah benar dan sahih. Keganasan persepsi seperti ini jelas boleh merosakkan dan menghancurkan negara dan masyarakat kita. Ia membuka peluang untuk kita memandang serong kepada semua perkara tanpa menilai dengan sewajarnya.

Pertimbangan akal yang longgar dari pengguna media sosial terutamanya golongan muda cukup merisaukan dan memudaratkan. Buktinya pada hari ini kita boleh melihat dalam media sosial yang popular seperti Facebook betapa pengguna media sosial berdebat, menzahirkan pandangan dan pendapat masing-masing mengenai sesuatu isu yang dibangkitkan berdasarkan persepsi masing-masing. Rata-rata menjatuhkan hukuman sebelum sesuatu isu mahupun individu itu dibuktikan benar mahupun bersalah. Akibatnya perasaan benci dan marah yang dicetuskan oleh emosi yang terganggu mula mengambil tempat. Kalau kita mengkaji secara mendalam seolah-olah dewasa ini wujud satu sindiket yang menangguk di air yang keruh apabila dengan mudah mengambil kesempatan untuk meraih populariti serta sentiasa berusaha untuk menanamkan persepsi yang buruk terhadap sesuatu perkara dalam kalangan masyarakat.

Ini dapat dilihat apabila satu demi satu isu dibangkitkan seolah-olah membabitkan suatu perancangan yang cukup teliti bagi memburukkan seseorang individu mahupun organisasi.
Hakikatnya kita tidak boleh lari dari kenyataan betapa kebanyakan daripada keganasan persepsi yang berlaku adalah bermotifkan kepentingan politik. Ini jelas dapat dilihat apabila adanya usaha-usaha untuk membunuh karakter mahupun memburukkan imej individu tertentu. Malah mutakhir ini kita dapat lihat betapa organisasi tertentu juga terus menjadi mangsa keganasan persepsi ini. Jelas keganasan persepsi mula mencetuskan keadaan panik dan huru hara dalam kalangan masyarakat. Masyarakat pada hari ini serba salah sama ada mahu percaya ataupun tidak apa yang disebarkan dan diperdebatkan secara meluas dalam media sosial. Kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap seseorang individu mahupun organisasi juga dilihat semakin terhakis yang sekali gus membuktikan keganasan persepsi berjaya memainkan peranan yang efektif dalam mempengaruhi minda, emosi dan pemikiran masyarakat.

Maka berdasarkan kerosakan yang dicetuskan oleh keganasan persepsi ini adakah wajar perkara seumpama ini dibiarkan terus berleluasa? Apakah ini kos yang perlu dibayar untuk menikmati kebebasan bersuara? Atau adakah ini ciri-ciri masyarakat negara maju yang kita idamkan selama ini? Walau apapun jawapannya keganasan persepsi mesti ditangani secara berhemah supaya tidak terus menjadi duri dalam daging mahupun menjadi racun dan virus yang sukar diubati kelak. Kita mungkin sukar untuk menghukum pengganas moden dan bijak ini kerana mereka mudah berselindung dan pandai menyembunyikan diri di sebalik kecanggihan teknologi maklumat yang ada. Namun satu perkara yang boleh kita lakukan ialah mendidik dan menyedarkan masyarakat tentang sindrom keganasan persepsi ini. Masyarakat perlu disedarkan betapa bahayanya keganasan persepsi sehingga boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat, mencetuskan huru hara, mengganggu gugat kestabilan, keamanan dan keselamatan negara.


Untuk itu, masyarakat perlu dididik untuk menilai sesuatu maklumat itu secara bijak, profesional, waras dan adil sebelum membuat keputusan mahupun menjatuhkan hukuman. Masyarakat juga perlu dididik bagaimana untuk mengurus dan mengawal persepsi dan emosi masing-masing. Benar kita sedang menuju untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi namun itu bukanlah alasan untuk kita menaburkan pelbagai fitnah dan persepsi yang boleh menghancurkan negara secara keseluruhannya. Kebebasan bersuara juga ada had dan batas-batasnya. Negara ini ada undang-undang dan kita perlu akur dan mematuhi undang-undang tersebut supaya keamanan, kestabilan dan keselamatan yang sedia ada dapat terus diperkukuhkan dan dipertahankan. Walaupun keganasan persepsi dilihat satu terminologi baharu dalam kamus hidup masyarakat kita namun percayalah ia sudah lama bertapak dan cuma mutakhir ini dilihat semakin mengganas untuk tujuan dan kepentingan pihak-pihak tertentu yang jelas ada agenda tersembunyi. Maka penulis sangat berharap agar pihak berwajib dapat memikirkan kaedah yang bersesuaian untuk menangani isu keganasan persepsi secara berhemah sebelum keadaan menjadi semakin parah dan sukar dikawal.
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails