08 Mac 2015

APABILA CIKGU ZUL MENULIS : SUSAHNYA BELAJAR DI TINGKATAN 6. BENARKAH PERNYATAAN INI?


Ali Sastroamijoyo pernah berkata keinginan belajar adalah benih kemajuan, tetapi keinginan belajar sahaja tanpa tenaga membangun adalah seumpama baling-baling, tiada mempunyai kemudi. Maknanya, jika kita ingin meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi selepas SPM, kita harus sedar bahawa jalan itu semakin sukar dan berliku. Semua tahap pembelajaran, bukan Tingkatan 6 sahaja, tahap kesukarannya adalah sama. Pembelajaran di Tingkatan 6 berasaskan corak STPM Baharu amatlah menguntungkan pelajar. Pensyarah-pensyarah Tingkatan 6 di seluruh negara sentiasa aktif memainkan peranan untuk membantu pelajar mendapatkan keputusan yang terbaik. Merekalah ibu, merekalah ayah, merekalah abang, merekalah kakak yang mendidik dan menasihati tanpa mengira waktu. Kegagalan pelajar merupakan perkara yang amat merisaukan mereka. Oleh itu, mereka sanggup mengadakan kelas tambahan dan melaksanakan penambahbaikan Kerja Kursus dengan tujuan keputusan STPM pelajar-pelajar mereka cemerlang di penghujung Penggal 3.


Sebenarnya, jika pelajar-pelajar yang belajar di Tingkatan 6 bersikap rajin dan tekun dalam masa setahun setengah, insyallah keputusan STPM mereka akan cemerlang malahan mungkin mereka akan mendapat keputusan yang di luar jangkaan iaitu mendapat semua A dalam semua subjek! Hal ini bukanlah mustahil kerana bimbingan guru amat padu dan jitu. Situasi ini tidak boleh dijumpai di mana-mana kolej mahupun universiti. Kegagalan seseorang sebenarnya berpunca daripada sikap malas dan cuai yang sukar dikikis daripada diri mereka. Atas alasan itu, golongan ini mengambil jalan mudah dengan menuduh “mereka gagal dalam peperiksaan STPM disebabkan skop pembelajarannya luas dan sukar untuk dikuasai”. Tuduhan melulu ini akhirnya berjangkit dari satu bibir hingga ke ribuan bibir yang lain wahal berdasarkan STPM Baharu, tidaklah sesusah yang dijangka! Anak-anak didik kita hari ini sebenarnya terlalu manja, apabila berhadapan dengan sedikit kesusahan mereka akan mudah berputus ada dan membuat keputusan untuk memilih jalan lain yang lebih senang tanpa membuat pertimbangan tentang baik dan buruknya pilihan itu.


Pilihlah laluan untuk meneruskan pelajaran di Tingkatan 6 demi masa depan yang lebih baik. Percayalah, laluan kerjaya dan masa depan akan lebih tersuluh dan cerah jika anda mendapat keputusan yang cemerlang dalam STPM. Sesungguhnya, selama ini kita terlalu leka dengan godaan sekeliling sehingga tidak nampak sinar nilam di sebalik terangnya neon yang memancar di siang hari. Suatu ketika, apabila kita sedar, kita menoleh lagi, sinar nilam itu telah pun malap kerana ketulan nilam itu telah dikutip oleh orang lain yang tajam pengelihatannya. Kita tercari-cari namun pencarian itu hanya menemukan kita dengan jalan buntu yang acap kali menyebabkan kita berasa kehilangan sesuatu. Itulah kita. Itulah sikap kita. Ubahlah pemikiran. Pilihlah untuk masuk ke Tingkatan 6.

Cetusan hati seorang guru,
Zulkarnain Farihin
SMK Sacred Heart

Sibu, Sarawak. 


Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails