09 Mac 2015

APABILA CIKGU ZUL MENULIS : KERJA KURSUS TINGKATAN ENAM MEMBANTU PELAJAR UNTUK LULUS CEMERLANG

Kerja Kursus yang diperkenalkan dalam STPM Baharu banyak keistimewaannya kepada pelajar-pelajar Tingkatan 6. Pada mulanya, kita mendengar pelbagai keluhan daripada pelajar dan guru tentang Kerja Kursus terutamanya pelajar-pelajar dan guru-guru subjek Bahasa Melayu yang terpaksa melaksanakan dua Kerja Kursus iaitu Bahasa Melayu Kertas 4 (Penulisan Esei Berformat) dan Bahasa Melayu Kertas 5 (Penulisan Esei Ilmiah). Walau bagaimanapun, sebaik sahaja keputusan penuh STPM Kohot 1 dikeluarkan pada tahun 2013, ramai guru dan pelajar mula sedar bahawa Kerja Kursus banyak membantu pelajar mendapatkan gred yang lebih cemerlang. Niat murni pihak Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), memperkenalkan elemen Kerja Kursus atau nama lamanya Pentaksiran Berasaskan Sekolah memang tepat pada masanya!



Pelaksanaan Kerja Kursus di peringkat Tingkatan 6 berdasarkan konsep ajar, pantau, dan bimbing. Mula-mula cikgu akan mengajar dan berbincang dengan pelajar tentang sesuatu kerja kursus. Dari semasa ke semasa,  selepas penyemakan, pelajar diberi peluang untuk melakukan penambahbaikan supaya pencapaian mereka dapat ditingkatkan. Oleh itu, jurang antara pelajar pandai dan pelajar sederhana tidak jauh bezanya. Semua pelajar diberikan peluang yang sama rata untuk mendapatkan markah terbaik sesuai dengan kemampuan dan kebolehan mereka. Kemudian, di penghujung penggal 3, markah Kerja Kursus akan dikira bersama-sama dengan markah ujian bertulis. Impaknya, ramai pelajar yang lemah dalam ujian bertulis mampu tersenyum bangga kerana markah keseluruhan yang mereka peroleh bagi sesuatu subjek amat baik.

Kesungguhan guru membantu pelajar untuk mendapatkan markah penuh dalam kerja kursus wajar diberikan pujian. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka sanggup menghabiskan banyak masa untuk membimbing pelajar menyiapkan kerja kursus. Tidak ada seorang pun pelajar yang tersisih daripada dibimbing. Terdapat guru yang sanggup berkejar ke sana dan ke mari semata-mata untuk memujuk pelajar kesayangan mereka melakukan penambahbaikan kerja kursus. Situasi ini amat berbeza dengan pelaksanaan kerja kursus di institusi pengajian tinggi atau kolej. Pensyarah hanya perlu memberikan tajuk tugasan dan pelajar dibiarkan bersendirian melaksanakan tugasan tersebut sehingga tarikh tutup. Betul atau salah, tidak ada yang memperbetul dan menegur. Yang penting tugasan tersebut dihantar tepat pada masanya, dan markah akan diberikan selepas itu! Pelajar-pelajar Tingkatan Enam amatlah beruntung kerana mereka dibimbing dari A hingga Z untuk menyiapkan kerja kursus.

Sedarlah bahawa dengan adanya kerja kursus keputusan STPM pelajar-pelajar akan menjadi lebih baik. Keputusan yang baik menjamin peluang lebih cerah untuk masuk ke menara gading. Percayalah, pembelajaraan di Tingkatan Enam menjadi lebih mudah dengan adanya kerja kursus. 

Cetusan hari seorang guru
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sacred Heart, Sibu
Sarawak
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails