10 November 2012

ISU IPT : USAH MENGHUKUM TAPI BERI SOKONGAN


Rencana ini ditulis oleh :
Oleh Ruhaiza Rusmin


Imej mahasiswa yang terjejas dengan pelbagai isu, kini dipersoalkan lagi dengan kehadiran ragam mahasiswa berperwatakan lembut yang dilihat semakin ketara sejak akhir-akhir ini. Biarpun bukan ancaman, kehadiran mereka ada kalanya kurang disenangi mahasiswa lain hingga wujud 'pergeseran' dalam diam. Ditambah lagi dengan sikap mahasiswa berkenaan yang dikatakan boleh berlagak 'selamba', bermulut laser dan tidak kisah dengan pandangan serong orang sekeliling, ia dikhuatiri boleh menimbulkan konflik berpanjangan. Namun, benarkah golongan mahasiswa itu mengganggu pandangan serta mengusik perasaan mahasiswa lain? Atau, adakah ada penyebab lain mengapa mereka tidak selesa dengan kehadiran golongan berkenaan?

Pengarah Pusat Inovasi Keusahawanan dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, kehadiran golongan itu tidak wajar dijadikan isu kerana mereka juga berhak memperoleh pendidikan. Beliau berkata, penampilan individu menjadi hak eksklusif diri sendiri yang tidak boleh dipersoalkan dan masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk menampilkan diri. "Walaupun kehadiran mahasiswa begini kurang disenangi pihak tertentu, mereka masih mempunyai hak memperoleh pendidikan atau apa saja kebebasan selagi masih menuruti undang-undang. Jadi, jangan anggap kehadiran mereka sebagai gangguan biarpun ada yang tidak suka. Kita tidak berhak memberi label atau penarafan berpandukan fizikal semata-mata. Malah institusi pengajian tinggi juga bersikap terbuka dan menganggap mereka sama seperti mahasiswa lain. Asalkan masih mengikut peraturan, tiada diskriminasi untuk menuntut ilmu, " katanya.

Senario mahasiswa berperwatakan lembut yang kian membanjiri pelbagai institusi pengajian tinggi hari ini bukan janggal malah sudah lama wujud. Namun, sikap kurang terbuka masyarakat untuk menerima kehadiran mereka menjadi antara punca golongan terbabit seolah-olah dipinggirkan. Lebih menyedihkan apabila wujud suara sumbang mengatakan mereka antara punca terjadinya gejala sosial di kalangan generasi muda. Beliau yang menjalankan kajian mengenai permasalahan berkenaan pada 2008, bagaimanapun menafikan mahasiswa lembut adalah golongan bermasalah. "Memang tidak dinafikan, secara luaran, kehidupan mereka nampak 'bermasalah' kerana meniru perwatakan gender berlawanan namun keseluruhannya bukan begitu. Hanya segelintir terbabit dan mereka terdorong melakukannya kerana beberapa faktor tertentu seperti pengaruh rakan, didikan keluarga juga persekitaran. Boleh disimpulkan mereka sama seperti mahasiswa normal lain yang menjalani kehidupan biasa biarpun secara fizikal, masyarakat melihatnya sebagai sesuatu yang kurang wajar," katanya.

Beliau turut tidak menafikan kehidupan mahasiswa itu cukup mencabar dalam mengharungi dunia kehidupan di kampus. "Ini kerana mereka berdepan dengan diskriminasi atau penolakan hanya kerana penampilan digayakan. Tanpa memberi ruang golongan terbabit menunjukkan kebolehan diri, mereka ditafsirkan memang bermasalah. Sebenarnya, mahasiswa ini sangat memerlukan sokongan bagi memperbetulkan keadaan.  Malangnya, masyarakat menolak mereka menjadikan mahasiswa berperwatakan lembut ini tiada pilihan selain mendapat sokongan kumpulan senasib," katanya. Bagaimanapun, sesuatu yang istimewa ialah biarpun berdepan penolakan itu, jiwa mereka kental dan kebanyakan mereka tergolong dalam kategori pelajar cemerlang. "Hanya kerana penampilan fizikal yang sedikit berbeza, masyarakat terus memberi penilaian serta menjadikannya sebagai sasaran pengecualian interaksi sosial. Golongan ini seolah-olah tidak mendapat keadilan kerana hanya dinilai secara luaran sedangkan mungkin mereka ada niat berubah tapi tidak mendapat kekuatan sokongan orang lain. Sikap masyarakat yang suka menghukum tanpa memberi peluang atau menunjukkan jalan yang betul juga adalah antara penyebab mereka tidak mahu berubah malah boleh berpaling pada jalan salah," katanya.

Ditanya mengenai pendirian institusi, katanya institusi berperanan menjalankan tanggungjawab utama iaitu memberi pendidikan sama rata kepada mereka yang memenuhi syarat tanpa prejudis. Menurutnya, tiada diskriminasi dalam memberi ilmu kepada sesiapa yang ingin belajar dan institusi tidak pernah memberi syarat atau melabel mahasiswa tertentu. "Yang penting setiap mahasiswa tertakluk pada peraturan. Sesiapa saja jika melakukan kesalahan akan dihukum dan dikenakan tindakan selaras peraturan sedia ada. Bagaimanapun, adalah sesuatu yang sangat baik jika mereka mahu mengubah penampilan. Ini juga satu proses pembelajaran berterusan untuk membina masa depan. Apapun, ini hak setiap individu dan institusi tidak boleh campur tangan sewenangnya. Walaupun mungkin salah pada pandangan kita, namun mungkin tidak pada orang lain," katanya.

Sumber
Harian Metro
5 November 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails