09 September 2012

ISU UMUM : 1 KILOMETER 4 EKOR BUAYA DI SARAWAK



Oswald Braken Tisen termenung seketika apabila diajukan soalan berapakah jumlah buaya yang mendiami semua sungai di Sarawak pada masa ini. "Saya rasa ada kira-kira 10,000 hingga 15,000 ekor buaya di Sarawak, ini anggaran kasar sahaja kerana sukar untuk tentukan jumlah yang tepat,"  Ketua Bahagian Pemuliharaan Kawasan Terlindung dan Biodiversiti, Sarawak Forestry Corporation (SFC) itu berkata, anggaran berkenaan adalah berasaskan data kepadatan relatif buaya di 22 lembangan sungai negeri itu yang menunjukkan peningkatan memberangsangkan. Berdasarkan kajian pertama yang dilakukan di Sarawak pada 1985, hanya terdapat 0.054 ekor buaya kelihatan bagi setiap satu kilometer (km) kawasan sungai yang ditinjau.

"Ini bermakna secara purata hanya terdapat 5.4 ekor buaya dikesan bagi jarak 100 km kawasan sungai,"

Jumlah yang rendah itu berpunca daripada pemburuan dan pembunuh buaya yang tidak terkawal kerana tiadanya undang-undang yang melindungi buaya di Sarawak. Data mengejutkan itu mendorong Kerajaan Negeri Sarawak menyenaraikan buaya sebagai spesies dilindungi di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1990. Data itu juga menyebabkan buaya di Sarawak tersenarai dalam Apendiks 1, Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES) yang menyaksikan reptilia itu tidak boleh diperdagangkan di peringkat antarabangsa. Hasil daripada dua perundangan itu menyaksikan populasi buaya mula menunjukkan peningkatan bermula 1995. Kata Oswald Braken, antara sungai yang mencatatkan peningkatan ialah Batang Lupar, Batang Sadong, Sungai Sarawak, Batang Lingga (Seterap dan Klauh), Sungai Seblak, Sungai Niah, Sungai Likau, Sungai Sibuti, Sungai Tinjar dan Sungai Bako.

Memperincikan peningkatan itu, beliau berkata, siri kajian pada 2007 dan 2008 menunjukkan Batang Saribas-Sungai Spaoh mencatatkan kepadatan relatif buaya tertinggi iaitu sebanyak 2.16 ekor buaya (tidak termasuk yang baharu menetas) bagi setiap km sungai. Ia diikuti Sungai Santubong (1.4 ekor/km), Sungai Bako (1.2 ekor/km), Sungai Sibuti (1.13 ekor/km) dan Kuching Wetlands (0.9 ekor/km).

"Secara purata bermula 2003 hingga 2009 pula, kepadatan relatif buaya di seluruh Sarawak berada 
pada kadar 0.09 ekor hingga 4.42 ekor buaya bagi 
setiap satu km kawasan yang ditinjau. Ia tidak 
bermakna semua sungai ada buaya kerana 
habitatnya bertumpu ke arah kawasan pantai,"

Mengulas lanjut, Oswald Braken berkata, data semasa menunjukkan Sarawak kini dalam proses pemulihan populasi buaya dan ia dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang. Katanya, ia ditunjukkan oleh peningkatan ketara jumlah anak buaya yang baharu menetas melalui satu kajian pada 2008, sebagai contoh di Sungai Bako sebanyak 60 ekor dikesan bagi jarak 12.5km dan 55 ekor bagi jarak 20km (kajian kedua).

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
08 September 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails