22 Jun 2012

ISU KESIHATAN : TUBUH UNIT KAUNSELING SAKIT MENTAL ONLINE


Rencana ini ditulis oleh :
DR. AHMAD ZAHARUDDIN SANI SABRI
Penyelaras/pensyarah kanan di Universiti Utara Malaysia


Jika disoroti sejak kebelakangan ini, masyarakat dikejutkan pelbagai kes bunuh diri dan cubaan membunuh diri. Lebih terkejut, apabila ada golongan profesional seperti doktor dan peguam yang mengambil keputusan membunuh diri, ramai yang tidak dapat memahami kenapa jalan terakhir itu yang dipilih. Belum lagi dikira dengan kes terminum racun dan terjatuh bangunan. Jika orang dewasa yang matang tidak dapat mengawal perasaan, apatah lagi remaja dan kanak-kanak. Semuanya dikaitkan dengan tekanan dan konflik hidup sebagai puncanya. Masalah mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik.

Kini, masalah mental menjadi salah satu ancaman utama kepada seluruh penduduk dunia dan penduduk Malaysia khususnya. Tinjauan Kesihatan Mobiliti dan Kesihatan 2011 menunjukkan 12 peratus rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 60 tahun berhadapan pelbagai jenis penyakit mental. Statistik ini amat menakutkan, iaitu satu angka yang tinggi kerana menunjukkan seorang daripada enam (1:6) rakyat negara ini ada penyakit mental. Pada masa kini, masyarakat menganggap mereka yang mengalami masalah mental sebagai satu ancaman kepada keselamatan awam kerana akhbar sering melaporkan pelbagai kes amuk, bunuh dan gangguan-gangguan yang dilakukan oleh mereka yang mengalami masalah mental. Keadaan ini menyebabkan masyarakat membuat tanggapan negatif kepada mereka yang mengalami masalah mental ini tanpa mengkaji sebab mereka berkelakuan sedemikian.

Ironinya kita tidak didedahkan secara sepenuhnya mengenai penyakit mental ini. Masyarakat hanya memandang pesakit mental adalah orang 'gila'. Tetapi jika diperhatikan kembali hanya terdapat segelintir masyarakat yang mempunyai pengetahuan mengenai masalah mental sahaja yang dapat menerima serta membantu pesakit mental. Saya ingin mengusulkan, melihat kepada perkembangan semasa ini, mungkin pendedahan boleh diberikan di peringkat sekolah memandangkan sekolah merupakan medium terbaik dalam penjanaan ilmu pengetahuan serta memupuk sikap para pelajar dan masyarakat. Pesakit mental tidak seharusnya dipinggirkan oleh masyarakat kerana mereka yang mengalami masalah mental mempunyai peluang untuk pulih semula dan menjadi sebahagian daripada masyarakat.

Mereka sepatutnya diberi perhatian kerana ada dalam kalangan mereka mengalami tekanan dalam hidup yang berat sehingga mereka cenderung menghidap masalah mental. Oleh itu, setiap individu perlu mengubah perspektif negatif mereka terhadap pesakit mental dan memberikan sokongan-sokongan yang diperlukan agar mereka tidak merasa terpinggir daripada kelompok masyarakat. Bagi saya wujudnya 45 jabatan psikiatri di seluruh negara di samping empat buah hospital mental untuk pesakit mental menjalani rawatan pemulihan dengan sebaik mungkin tidak memberi erti jika sikap prejudis masyarakat menghalang pesakit untuk mendapatkan rawatan. Di samping itu, saya menyarankan Klinik Mental 1Malaysia perlu diwujudkan di setiap DUN dan Parlimen. Ketika ini kita hanya ada 233 pakar sakit jiwa seluruh Malaysia untuk jumlah penduduk hampir 30 juta. Nisbahnya ialah 0.8 pakar untuk 100,000 penduduk. Satu angka yang tidak masuk akal. Sesuatu perlu dilakukan segera.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Negeri sebagai tunggak pengurusan orang Islam di negara ini perlu proaktif dengan menubuhkan unit kaunseling berteraskan online di setiap kariah, daerah dan negeri. Tapi perhatikan saja laman web mereka, ada yang tidak pernah dikemas kini berbulan-bulan lamanya. Saya bukan seorang yang anti-agama lain namun jika dibuat perbandingan dengan NGO lain seperti Befriender, mereka nampaknya lebih ke hadapan menangani isu ini sedangkan mereka hanya bergerak menerusi dana-dana 'sedekah'. Saya amat menekankan perkhidmatan kaunseling dan psikoterapi kerana ia berperanan menyediakan ruang untuk mangsa tekanan mental meluahkan isi hati mereka. Kaunseling juga dapat memberikan nasihat agar membantu individu tersebut menyelesaikan masalahnya.

Kaunseling juga perlu diberikan kepada keluarga penyakit mental supaya mengurangkan tekanan mereka yang terpaksa menjaga pesakit. Dengan itu, jelaslah bahawa kaunseling dan perkhidmatan psikoterapi merupakan satu langkah yang penting dalam mengelakkan tekanan mental. Bukan semua individu dapat menangani tekanan hidup dengan baik. Cara dan tahap seseorang menerima sesuatu tekanan adalah berbeza. Mungkin bagi individu A, masalah dihadapi individu B dianggap remeh, tetapi tidak bagi individu B. Begitulah juga sebaliknya. Harus disedari bahawa prinsip suka menyendiri akan cenderung ke arah sakit mental. Ini kerana menyendiri akan menyebabkan kita mudah mengikut rasa dan nafsu, apatah lagi kita akan mudah mengikut telunjuk syaitan. Justeru dalam hidup ini, kita perlu mempunyai hubungan yang akrab dengan keluarga dan rakan-rakan. Sedarlah kita perlu hidup bermasyarakat, dan tidak perlu kita menjadi 'kera sumbang' kerana siapalah kita tanpa masyarakat. Marilah kita belajar hidup bermasyarakat.

Pohon bersandar, pohon cemara,
Menderu angin, bergoyang dahan,
Jangan sekadar, membaca sahaja,
Tulislah komen, berilah cadangan.

Sumber
Utusan Malaysia
22 Jun 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails