15 Mei 2012

ISU UMUM : TUN DR MAHATHIR IKON MEMBACA KEBANGSAAN


Oleh NURUL ANUAR KARI


Program Galakan Membaca merupakan satu usaha kerjasama pelbagai pihak yang diselia Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bersama jabatan dan agensi kerajaan. Turut memberi kerjasama, syarikat-syarikat swasta, persatuan penulis, penerbit, institusi pengajian tinggi (IPT), sekolah serta orang perseorangan dalam melaksanakan bermacam program secara berterusan. Secara bersama, tidak kurang daripada 8,000 program dijalankan setiap tahun di seluruh negara sejak 2009 dengan penglibatan 1.7 juta peserta pada 2009, lebih 600,000 peserta pada 2010 dan lebih 2 juta peserta pada 2011. Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia juga menunjukkan program galakan membaca yang bermula pada 2006 meningkatkan trend pembacaan rakyat dari dua buku setahun pada 2005 kepada lapan hingga 12 buku setahun pada 2010.

Bagi memenuhi kehendak membaca 'Generasi Y' pula, pembacaan menggunakan medium selain buku seperti portal dan pangkalan data elektronik turut dibangunkan dengan 21.61 juta akses perkhidmatan atas talian pada 2010 berbanding 5.74 juta pada 2008. Ini akan terus ditingkatkan PNM selaras dengan kemunculan pelbagai gajet elektronik yang canggih di pasaran seperti komputer tablet dan telefon pintar yang mempunyai aplikasi untuk mengakses bahan bacaan seperti e-book. Untuk terus menggalakkan amalan membaca, PNM juga akan meneruskan program Ikon Membaca sebagai kaedah menarik minat umum terhadap kempen tersebut melalui aura tokoh dan idola ternama negara. Ketua Pengarah PNM, Datuk Raslin Abu Bakar menjelaskan, sebelum ini Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie dan Datuk Michelle Yeoh dipilih sebagai ikon bagi menggalakkan dan membudayakan amalan membaca.

"Seorang angkasawan negara, seorang lagi pelakon terkenal yang kedua-duanya berjaya kerana mereka membudayakan membaca dalam mengejar cita-cita dan memenuhi tanggungjawab kerjaya masing-masing. Melihat kesan nyata hasil penyertaan dua tokoh itu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mencadangkan negarawan kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad diangkat sebagai Ikon Membaca Kebangsaan," katanya. Tambahnya, selepas berjumpa dan menjelaskan tentang program itu, Dr. Mahathir akhirnya bersetuju demi menarik minat membaca di kalangan rakyat. Walaupun cadangan tersebut dikemukakan pada 2010, beliau memaklumkan tarikh 14 Mei 2012 (hari ini) dipilih untuk perasmian Ikon Membaca Kebangsaan kerana menunggu masa sesuai untuk semua pihak yang terlibat. "Dr. Mahathir mempunyai serba serbi bakat hasil pembacaan perkara kecil hingga yang besar, ringan dan berat, membolehkan beliau membuka kedai roti dan pertukangan. Beliau membuat apa yang dibacanya. Jika tidak, sukar untuk beliau menguruskan krisis ekonomi negara dahulu," katanya.

Katanya lagi, Dr. Mahathir pasti akan mengunjungi kedai buku ketika melawat negara lain dan mampu menghabiskan bacaannya dalam penerbangan pulang sebelum buku itu disimpan di perpustakaan di rumahnya. Beliau berharap latar belakang serta sejarah Dr. Mahathir yang membudayakan membaca buku, kadang kala sehingga tiga buku sehari, dijadikan teladan untuk semua termasuklah kebolehannya membaca dengan pantas . "Walaupun sudah ada peningkatan amalan membaca, kehadiran Dr. Mahathir sebagai ikon akan menarik lebih ramai lagi penyertaan, seterusnya menambah kesedaran tentang pentingnya membaca di kalangan rakyat negara ini. Raslin menjelaskan, penting untuk meluaskan lagi amalan membaca, bukan sekadar amalan hidup malahan demi menjayakan konsep pembelajaran sepanjang hayat.

Menurut beliau, selaku negarawan dan bekas pemimpin yang dihormati, kedudukan Dr. Mahathir sebagai idola juga penting agar boleh dijadikan contoh individu yang berjaya melalui membaca, oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka. "Kita mahu menerapkan konsep pembelajaran sepanjang hayat dalam jiwa setiap rakyat dan tingkatkan pemikiran, minda serta nilai-nilai murni melalui bahan-bahan bacaan berkualiti. Tetapi, jika bahan bacaan di luar tidak berkualiti, pemikiran umum juga akan menyusul sama. Tiada guna meningkatkan amalan membaca jika tidak dapat meningkatkan pemikiran rakyat," katanya. Oleh itu, beliau berharap pihak penerbit juga memberi kerjasama dalam kempen tersebut melalui pengeluaran bahan ilmiah ataupun separa ilmiah dan bukan sekadar mencari keuntungan melalui bahan bacaan ringan semata-mata.

Tambahnya, gerakan pembelajaran sepanjang hayat juga tidak mahu seseorang itu kekal di takuk lama sebaliknya perlu ada peningkatan walau dalam bidang apa sekalipun. "Jika seorang petani, kita tidak mahu kekal petani biasa sahaja. Cuba baca bagaimana untuk menjadi petani moden seperti petani di Jepun. Amat sukar mencapai taraf tinggi jika malas membaca. Kita tidak boleh bergantung kepada pengalaman semata-mata. Kerana itu kita memilih Dr. Mahathir sebagai ikon kerana mahu pemikiran rakyat juga maju menjelang Malaysia mencapai status negara maju pada 2020," tegasnya. Beliau menjelaskan, peluang tersebut akan digunakan sebaik-baiknya secara berterusan kerana Dr. Mahathir boleh menjadi ikon untuk tempoh yang panjang serta dikenali semua, di dalam dan luar negara.

Menurut Raslin, program Ikon Membaca Kebangsaan itu dimulakan tahun lalu dengan pertandingan esei berkaitan Dr. Mahathir di kalangan murid sekolah dan orang ramai yang akan diumumkan pemenangnya pada hari ini. "Kita juga telah sediakan banyak bahan promosi untuk kempen kali ini melalui rakaman klip video dan dokumentari khas, rencana iklan, bahan cetakan dan sebagainya. Semua ini akan diedarkan kepada umum dan juga pertubuhan bukan kerajaan bagi menyampaikan mesej mempromosi amalan membaca," ujarnya. Beliau menjelaskan medium seperti klip video akan dijadikan bahan promosi di seluruh negara kerana tidak mahu membebankan kesihatan Dr. Mahathir jika membawanya ke merata tempat. Tambahnya, di samping mengambil aura ikon membaca itu melalui bahan promosi, wacana membaca melalui Bicara Perdana juga akan dibawa sehingga ke luar bandar bagi membincangkan budaya membaca amalan Dr. Mahathir.

"Kita juga akan mengadakan pameran khas selama satu minggu di Perpustakaan Negara mulai 14 Mei, memaparkan buku-buku yang pernah dibaca Dr. Mahathir, ada antaranya ditanda dan ditulis nota berkaitan maklumat terpilih. Ini termasuk draf buku beliau yang ditulis menggunakan tangan. Jika diizinkan, kita mungkin akan membawa koleksi peribadi beliau ini untuk dipamerkan di seluruh negara kelak," katanya. Dengan itu, Raslin turut menjemput orang ramai menghadiri program Ikon Membaca Kebangsaan di Perpustakaan Negara dari pagi hingga ke majlis perasmian pada sebelah petang. "Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan merasmikan program ini dengan anugerah berbentuk jubah khas akan disampaikan kepada Dr. Mahathir sebagai penghargaan dan pengiktirafan intelek beliau," jelasnya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

Sumber :
Utusan Malaysia
14 Mei 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails