02 Februari 2012

ISU EKONOMI : MALAYSIA ALAMI KERUGIAN RM900 JUTA SETAHUN AKIBAT PEMBALAKAN HARAM


Malaysia dianggarkan mengalami kerugian antara RM800 dan RM900 juta setahun akibat kegiatan pembalakan hutan secara haram di seluruh negara. Menurut Presiden Transparency International Malaysia (TIM), Datuk Paul Low Seng Kuan, walaupun jumlah itu masih dianggap terkawal, Jabatan Perhutanan perlu mengambil serius perkara itu bagi membendung kegiatan itu daripada terus berleluasa. Sehubungan itu, beliau menggalakkan orang ramai menjadi ‘mata dan telinga’ dengan melaporkan kegiatan pembalakan hutan secara haram kepada pihak berkuasa. Masyarakat dan sektor swasta perlu melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai pembalakan secara haram di negara ini kerana kita mahu terus memelihara kawasan hutan. Melalui pindaan Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313), kegiatan pembalakan hutan secara haram menunjukkan penurunan yang ketara iaitu daripada 419 kes pada 1993 kepada 24 kes pada tahun lalu.

Beliau sebelum itu berucap di majlis Projek Hutan dan Kesedaran Awam Kempen Pemuliharaan Hutan di Sunway Pyramid hari ini. Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Dr. Abd. Rahman Abd. Rahim dan Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mustafar Ali. Tambah Paul, walaupun telah berjaya mengurangkan bilangan kes, namun usaha masih perlu diteruskan bagi memelihara hutan negara ini supaya tidak dicerobohi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Orang ramai boleh melaporkan sekiranya mereka mengetahui kegiatan pembalakan haram dengan melayari laman web kami www.timalaysia-forestwatch.org.my. Sementara itu Mustafar berkata, pihaknya menerima sebanyak 88 aduan mengenai pembalakan haram di negara ini sepanjang tahun lalu. Bagaimanapun, masih terdapat banyak kes dan kejadian yang tidak dilaporkan kepada SPRM.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
2 FEBRUARI 2012

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails