JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



13 Januari 2012

ISU UMUM : PERMULAAN 2012 YANG BAIK

Oleh
MOHD. ALI MUHAMAD DON
Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam,
UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.


Datuk Nicol David bergambar bersama sebahagian peminat setianya 
di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang

Permulaan tahun baharu 2012 menampakkan bibit-bibit kecemerlangan dan kegemilangan buat seluruh rakyat Malaysia. Ini dapat dilihat dengan pelbagai pencapaian di peringkat antarabangsa mahupun kebangsaan yang berjaya diraih oleh beberapa tokoh terkenal tanah air sekali gus mengharumkan nama negara di mata dunia. Kejayaan Datuk Lee Chong Wei mengalahkan musuh tradisinya Lin Dan dari China pada Pertandingan Badminton Terbuka Korea jelas menunjukkan di mana ada usaha di situ ada jalan yang terbuka luas buat sesiapa sahaja yang ingin maju dan meningkatkan potensi diri. Selain itu kejayaan Datuk Nicol Ann David menjuarai pertandingan akhir Skuasy Siri Dunia Akhir di London berjaya membuka mata dunia betapa di sebalik Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang membangun terdapat sebutir intan yang tidak ternilai harganya. Kejayaan demi kejayaan yang berjaya diraih oleh atlet sukan negara di persada dunia seperti ini seharusnya menjadi contoh kepada komuniti pelajar untuk berjuang bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan dalam pelajaran, apatah lagi dengan musim persekolahan yang baharu sahaja bermula.

Malah ia boleh dijadikan sumber inspirasi oleh pelajar semua peringkat sama ada sekolah rendah, menengah mahupun di institusi pengajian tinggi untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada aktiviti pembelajaran. Untuk tujuan itu, golongan pelajar dinasihat supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti negatif dan kurang sihat seperti berpeleseran tanpa tujuan, terlibat dengan aktiviti jenayah seperti mencuri juga aktiviti yang boleh mengancam keharmonian dan kestabilan negara. Akibatnya masa depan mereka tergadai dan maruah keluarga tercalar. Masyarakat pelajar juga diingatkan supaya sentiasa menjaga sahsiah dan jati diri walau di mana mereka berada demi maruah agama, bangsa dan negara tercinta. Selain itu, masyarakat Islam secara umumnya turut diseru memperdalami ilmu dan pengetahuan bagi meningkatkan martabat dan ketinggian Islam. Dalam hal ini tokoh-tokoh ilmuwan Islam terkemuka seperti Ibnu Sina, al-Khawarizmi, al-Farabi dan lain-lain lagi patut dicontohi. Malah tidak salah jika dikatakan pencapaian umat Islam dalam bidang ilmu dan pengetahuan pada masa itu merupakan hadiah bernilai buat Eropah dan negara Barat sehingga mereka berjaya keluar daripada kepompong zaman kegelapan yang menyiksakan. Lalu tanpa menoleh ke belakang Barat terus mengorak langkah ke hadapan dan meraih pelbagai kemajuan dalam pelbagai bidang sedangkan umat Islam masih lena dibuai kenangan indah sejarah silam yang mengagumkan.

Di sudut pandang lain, kemenangan Dr. Ezani Farhana Md. Monoto dalam pertandingan Master Chef Malaysia yang pertama juga jelas menampakkan betapa air tangan wanita masih berbisa apabila di dapur. Walaupun dunia masakan dan kulinari biasanya didominasi oleh golongan chef lelaki, kemenangan Dr. Ezani membuktikan betapa gelaran sebagai seorang doktor tidak menghalang wanita untuk berjaya di dapur. Malah kesediaan isteri untuk menyediakan juadah kepada suami dan anak-anak boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan yang kemungkinan renggang akibat kesibukan dengan kerjaya masing-masing. Usahlah semuanya diserahkan bulat-bulat kepada kepada pembantu rumah yang biasanya hanya berharap upah dan ganjaran semata-mata. Begitu juga walau setinggi mana pangkat dan jawatan yang disandang kesediaan isteri untuk ke dapur tidak sedikit pun merendahkan martabat dan kedudukan mereka di mata masyarakat. Sementara itu, penguatkuasaan Akta Perdagangan dan Pensijilan Halal pada 1 Januari 2012 yang lalu merupakan kejayaan buat seluruh umat Islam khususnya di Malaysia dalam usaha mencari yang halal. Kesungguhan dan keprihatinan pihak kerajaan, juga pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi merealisasikan tuntutan halalan tayyiba seperti ini wajar diberi sanjungan dan penghormatan memandangkan masyarakat Islam di Malaysia adalah golongan pengguna yang terbesar.

Sungguhpun demikian kesedaran dan keprihatinan pengeluar dan pengguna terhadap logo halal juga perlu dipertingkatkan. Apalah gunanya penguatkuasaan logo halal Jakim terutama pada produk yang berasaskan makanan jika masyarakat Islam khususnya masih berselera menjamah makanan yang tidak dipastikan aspek halalnya. Golongan pengeluar juga disaran menyumbang kepada amalan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat pengguna dengan berusaha untuk memastikan produk yang dikeluarkan adalah halal dan berkhasiat, bukan semata-mata mengejar keuntungan yang kemungkinan memudaratkan orang lain. Malah dengan penguatkuasaan Akta Perdagangan dan Pensijilan Halal 2012 yang lalu mana-mana syarikat yang didapati bersalah menggunakan sebarang perbahasan halal terdedah kepada hukuman denda sehingga RM100,000 bagi individu dan RM250,000 bagi pertubuhan atau perbadanan atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali. Badan perundangan dan kehakiman negara turut menempa sejarah dengan penghakiman ahli politik negara yang tidak lekang dengan cerita-cerita panas dan sensasi. Tanggal 9 Januari 2012 sudah pasti hari yang sangat gembira buat Datuk Seri Anwar Ibrahim, keluarga dan juga penyokongnya apabila disabitkan tidak bersalah akibat kekurangan bukti atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya.

Ia sekali gus mencerminkan ketelusan dan kebebasan badan perundangan negara yang berpaksikan kepada amalan perundangan sedia ada. Keputusan ini juga patut menjadi iktibar kepada semua golongan masyarakat dengan sentiasa berusaha untuk berlaku adil dalam membela kebenaran dan menghapuskan kebatilan. Jika tidak keamanan dan kestabilan negara yang dinikmati hari ini akan hancur dan musnah dalam sekelip mata dan bukan mudah untuk membangunkannya semula. Namun di sebalik semua kejayaan itu terdapat hikmah terbesar yang kadang-kala lekang daripada ingatan manusia. Kejayaan untuk mengabdikan diri kepada Tuhan Yang Esa sehingga mampu merubah corak dan gaya hidup seharian mula dipandang remeh. Ramai yang leka berfoya-foya sedangkan masa semakin pantas berlalu dan usia semakin meningkat tua. Marilah semua berusaha untuk berbakti kepada Ilahi demi mengharap kejayaan yang kekal lagi abadi.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
13 Januari 2012

Tiada ulasan: