JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



06 Januari 2012

ISU SOSIAL : REALISASIKAN 1 MALAYSIA 1 KOMUNITI SELAMAT

TAN SRI LEE LAM THYE
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH)


Utusan Malaysia melaporkan pada 1 Januari ketika seluruh negara menantikan detik menyambut Tahun Baru 2012, satu nahas ngeri meragut nyawa tujuh remaja berlaku di kilometer 9.6 Jalan Sitiawan-Teluk Intan dekat Seri Manjung, Perak. Kemalangan ngeri tersebut betul-betul menyayat hati kita. Sebelum tragedi tersebut juga telah berlaku beberapa kamalangan tragik baik pun di jalan raya atau di tempat kerja. Biarlah Tahun Baru 2012 bermula dengan setiap rakyat berazam untuk menjadikan Malaysia tempat yang lebih selamat untuk semua - selamat bukan sahaja daripada pengganas, jenayah dan keganasan tetapi juga daripada tragedi yang terhasil daripada tingkah laku kita sendiri sama ada di jalan raya, di kawasan kediaman ataupun di tempat kerja. Hakikatnya bahawa tanah runtuh, banjir kilat dan jalan-jerlus termasuk jalan berlopak adalah kejadian yang kerap berlaku kerana kegagalan kita untuk membudayakan penyelenggaraan dan keselamatan sebagai satu cara hidup.

Kita juga perlu sedar bahawa apa-apa tindakan yang mengakibatkan kepincangan dan kemusnahan alam sekitar akan memberi kesan yang amat buruk. Apa yang perlu diberi perhatian segera ialah kebimbangan terhadap rekod kemalangan jalan raya di Malaysia yang menggambarkan tahap keselamatan jalan raya yang dahsyat berdasarkan 6,000-7,000 kes kematian di jalan raya setiap tahun. Jelas sekali ia adalah pembuka mata kepada semua, pengusaha pengangkutan awam, pemandu bas, pengguna jalan raya dan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan dan tanggungjawab sepenuhnya demi menjadikan jalan raya dan lebuh raya kita lebih selamat. Marilah kita semua berusaha ke arah merealisasikan 1 Malaysia 1 Komuniti Selamat di mana budaya keselamatan tersemai dalam setiap kehidupan rakyat Malaysia. Takrif "Komuniti Selamat" ialah orang ramai hidup, bekerja dan bermain dalam persekitaran yang selamat.

Membangunkan budaya selamat boleh dicapai melalui pewujudan Komuniti Selamat. Pendekatan Komuniti Selamat menjadi titik penentu bagi pihak berkuasa, majikan dan pekerja sama ada perusahaan kecil atau besar, para pengamal keselamatan dan orang ramai yang berminat dalam hal ehwal kemasyarakatan, untuk membina sebuah komuniti yang selamat di mana mereka bekerja atau tinggal. Persekitaran yang selesa dan selamat untuk sekolah-sekolah akan meningkatkan keselamatan terhadap kanak-kanak sekolah. Mengamalkan budaya keselamatan jalan raya akan membantu menyelamatkan lebih banyak nyawa di jalan raya kita. Masyarakat yang membudayakan keselamatan akan memberi faedah kepada negara dalam pelbagai cara. Program "Komuniti Selamat" adalah merujuk kepada pendekatan pembangunan dan capaian kemasyarakatan. Ia merupakan pembangunan bersepadu membudayakan keselamatan dalam komuniti yang meliputi keselamatan jalan raya, keselamatan di tempat kerja, keselamatan sekolah, keselamatan rekreasi, pencegahan jenayah dan sebagainya. Program yang berkesan boleh dicapai melalui sinergi inisiatif keselamatan dan kesihatan kumpulan-kumpulan masyarakat yang berbeza, syarikat-syarikat tempatan, perniagaan, organisasi, persatuan, sekolah-sekolah, penyedia penjagaan kesihatan, agensi-agensi kerajaan dan kumpulan perkhidmatan yang lain.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
6 JANUARI 2011

Tiada ulasan: