13 Januari 2012

ISU ICT : MENJAGA ADAB AMAT PENTING KETIKA MELAYARI FACEBOOK


Facebook (FB) sudah menjadi satu kebiasaan bagi golongan yang celik teknologi maklumat (IT), terutama di kalangan generasi muda. Memang banyak kelebihan dinikmati jika seseorang memiliki akaun FB. Melalui laman sosial internet itu, pemiliknya boleh saling berhubungan dengan keluarga dan sahabat handai serta berkongsi maklumat dengan mereka, tidak kira di mana mereka berada. Apa yang lebih menarik ialah perkhidmatannya percuma. Berikutan itu, tidak hairanlah FB mempunyai 800 juta pengguna aktif di seluruh dunia dengan 50 peratus daripada mereka menggunakan laman sosial itu setiap hari. Di Malaysia saja, FB mencatatkan 10.2 juta pengunjung unik setiap hari. Walaupun diakui boleh memberi manfaat, FB tidak kurang mempunyai pengkritiknya. Antara kerap menjadi kritikan terhadap FB ialah isu berkaitan privasi dan keselamatan kanak-kanak. Dalam isu privasi, sesetengah negara mendapati laman sosial itu melanggar undang-undang privasi kerana secara bebas membolehkan akses kepada maklumat peribadi di antara pengguna.

Berhubung keselamatan kanak-kanak pula, ada kebimbangan orang yang tidak bertanggungjawab melayari FB untuk mencari mangsa kalangan kanak-kanak yang mudah terpedaya. Kritikan terhadap FB turut kedengaran di negara Islam. Baru-baru ini, seorang ulama Iran menetapkan FB bercanggah dengan ajaran Islam, sekali gus berdosa menjadi ahlinya kerana menggalakkan perilaku tidak bermoral. Menurut ulama itu, hanya penggunaan laman web yang menekankan kriteria agama dan tidak membawa kepada sebarang perilaku atau etika tidak bermoral yang tiada masalah. Di negara kita, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin kelmarin, berkata hukum mempunyai akaun FB adalah dosa besar dan dilarang dalam Islam jika digunakan atas tujuan memudaratkan, termasuk melemparkan fitnah, mencaci serta memburukkan orang.

Sebaliknya jika digunakan untuk menyebarkan maklumat benar dan digunakan untuk berinteraksi secara berhemah, ia diharuskan. Kedua-dua ulama ini nampaknya bersetuju bahawa FB atau mana-mana laman sosial lain tidak bercanggah dengan agama Islam. Apa yang menjadi masalah ialah jika ia disalah guna untuk tujuan yang memudaratkan. Sama juga dengan penggunaan alat komunikasi yang lain, pengguna laman sosial seperti FB atau blog harus sentiasa menjaga adab serta nilai sensitiviti agar tidak menimbulkan sebarang masalah kepada diri masing-masing atau orang lain. Penggunaan laman sosial itu untuk menyebarkan fitnah mahupun mengaibkan orang lain secara melampaui batas seperti mengedar gambar dengan aksi tidak senonoh bertujuan memalukan seseorang mesti dihentikan. Sebaliknya, kesempatan berinteraksi menerusi FB sebaik-baiknya digunakan bagi tujuan baik seperti menyebarkan maklumat berunsur ilmu, memberi nasihat serta panduan kepada orang lain.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
Ruangan Minda Pengarang
Berita Harian
13 Januari 2012

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails