21 Disember 2011

ISU BAHASA : SIKAP JADI PENENTU KEDUDUKAN BAHASA KEBANGSAAN DI NEGARA KITA

MOHD. AYOP ABD RAZID
Penolong Pengarah di Bahagian Penerbitan Dasar Negara,
Jabatan Penerangan Malaysia.


Di negara kita, bahasa Melayu atau juga dikenali sebagai bahasa Malaysia dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan sejak 1957. Ia termaktub di dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Kedudukannya diperkukuhkan lagi melalui Akta Bahasa Kebangsaan 1967 yang menetapkan bahasa itu sebagai bahasa rasmi tunggal. Pindaan dalam Akta Perlembagaan 1971 pula menetapkan status Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh dipersoalkan. Mereka yang berbuat demikian boleh didakwa di bawah Akta Hasutan 1984. Bahasa rasmi negara ini juga tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar ilmu pula diwartakan dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Akta Pendidikan menetapkan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama sistem pendidikan negara. Seksyen 17(1) akta itu menyebut, "Bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah Seksyen 28 atau institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini".

Pengecualian penggunaan bahasa Malaysia di institusi pendidikan yang bahasa pengantar utamanya bukan bahasa kebangsaan pula disebut di bawah Seksyen 17(2). Namun, bahasa Malaysia hendaklah diajar sebagai mata pelajaran wajib. Bahasa kebangsaan juga telah menjadi bahasa rasmi dalam urusan pentadbiran awam serta majlis-majlis rasmi kerajaan. Ia turut digunakan secara rasmi di Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri. Cuma di peringkat mahkamah ia belum dimartabatkan sepenuhnya. Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1967 (Akta 32) menetapkan BM sebagai bahasa yang terpakai dalam segala prosiding dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah adalah dengan bersyarat, iaitu Mahkamah boleh memerintah supaya prosiding itu dijalankan sebahagiannya dalam BM dan sebahagiannya dalam bahasa Inggeris (BI). Negara juga mempunyai badan perancangan bahasa, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sejak ditubuhkan pada 1956, DBP memainkan peranan penting terhadap kemajuan dan pembangunan bahasa kebangsaan. Demikian juga peranan penulis dan sasterawan Melayu. Sejak sebelum merdeka lagi pelbagai persatuan penulis dan sastera di negara ini gigih memperjuangkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

Malah, kewujudan akhbar-akhbar Melayu sebelum merdeka turut menyemarakkan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa penyaluran maklumat yang berkesan. Akhbar Utusan Melayu yang kini dikenali sebagai Utusan Malaysia adalah contoh akhbar Melayu yang terus memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sehingga kini. Namun, di mana silapnya setelah lebih 50 tahun merdeka, penggunaan bahasa kebangsaan masih menjadi isu dan polemik yang tidak berkesudahan. Paling menyedihkan apabila ada kajian menunjukkan terdapat generasi muda kaum Cina yang tidak tahu berbahasa Melayu. Tidakkah ini sesuatu yang ganjil dalam masyarakat kita yang mahu memupuk perpaduan kaum melalui penggunaan bahasa kebangsaan? Sikap mengagungkan bahasa Inggeris turut merendahkan martabat penggunaan bahasa kebangsaan. Wujudnya 'trend' penggunaan bahasa yang seolah-olah berasaskan 'stratifikasi sosial' di mana bahasa kebangsaan seolah-olah digunakan oleh kelompok berpendidikan rendah dan rakyat biasa, manakala kelompok atasan, elit, profesional, komuniti korporat dan mereka yang berpendidikan tinggi dari luar negara lebih mesra menggunakan bahasa Inggeris.

Demikian juga kebanyakan ahli politik kita lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris atau 'bahasa campuran' termasuk ketika diwawancara media tempatan. Sememangnya, kita wajar menguasai bahasa Inggeris kerana ia diperlukan untuk menghubungi dunia luar. Malah, wajar sekali rakyat digalakkan menguasai bahasa lain seperti bahasa Jepun, Korea, Mandarin dan Arab. Namun, elemen patriotisme terhadap bahasa kebangsaan sebagai 'Bahasa Jiwa Bangsa' perlu ada di setiap sanubari rakyat. Sepatutnya selepas lama kita merdeka, penggunaan bahasa kebangsaan menjadi semakin mantap dan bukan lagi menjadi isu yang memeningkan kita. Hakikatnya, ia bertitik tolak daripada sikap dan persepsi kita terhadap bahasa kebangsaan. Dalam bidang sosiolinguistik, sikap kita terhadap bahasa adalah pendorong kepada keupayaan kita menguasai dan menggunakan sesuatu bahasa itu. Justeru, usaha kerajaan untuk membudaya kembali penggunaan bahasa kebangsaan perlu disokong sepenuhnya oleh seluruh lapisan masyarakat. Ada banyak usaha dilaksanakan kerajaan untuk memartabatkan kembali kedudukan bahasa kebangsaan. Pada 2009, kerajaan memperkenalkan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) dengan matlamat memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia.

Menurut portal rasmi DBP, BKK adalah lanjutan kepada kempen bahasa terdahulu. Ia bermula dengan panggilan Minggu Bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan sepanjang dekad 60-an. Ia kemudiannya dikenali pelbagai nama seperti Gerakan Cintailah Bahasa Kita (GCBK, 1987-1996), Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS,1996-2005) dan Minggu Sastera (1987-1998). Pada 1999 ia dinamakan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) dan kini dikenali sebagai BBK. Satu lagi usaha konkrit kerajaan ialah memansuhkan sepenuhnya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PSMI) pada 2016 bagi sekolah rendah dan 2021 bagi sekolah menengah. Ia akan diganti dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Dasar baru ini bukan sahaja akan memartabatkan kembali kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu tetapi dapat memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar kita. Usaha Kementerian Pengajian Tinggi untuk memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu di institusi pengajian tinggi juga akan mampu mendaulatkan semula martabat bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu.

Ia akan dilaksanakan melalui empat strategi iaitu mengukuh bahasa Malaysia dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P), mengukuh BM dalam penyelidikan dan penerbitan, meningkatkan pengiktirafan akademia BM dalam pelbagai disiplin ilmu dan meningkatkan pengantarabangsaan bahasa Malaysia. Selain itu, agensi kerajaan turut diarahkan menggunakan sepenuhnya bahasa kebangsaan dalam apa jua urusan dan acara-acara rasmi. Usaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan menubuhkan Unit Pembudayaan Bahasa di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) adalah usaha murni untuk membantu kerajaan membudayakan penggunaan bahasa Malaysia melalui aktiviti kesenian dan kebudayaan. Unit itu juga akan bekerjasama dengan DBP serta Kementerian Pelajaran bagi merangka program-program berkaitan aktiviti bahasa supaya ia mencapai matlamat membudayakan penggunaan bahasa kebangsaan secara betul. Kesimpulan, penggunaan bahasa kebangsaan secara meluas adalah bergantung pada sikap kita terhadap bahasa terbabit. Kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai usaha memperkukuh bahasa kebangsaan yang bukan sahaja perlu disokong oleh semua lapisan rakyat tetapi juga perlu disokong oleh pihak swasta.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
21 DISEMBER 2011
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails