Followers

20 November 2011

KARANGAN STPM


KES PENYELUDUPAN MANUSIA
Fokus : Kesan kepada negara dan langkah-langkah untuk mengatasi.


Sedasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru negara kita tentang kes penyeludupan manusia  Oleh itu, sebagai warganegara yang berwawasan dan berpandangan jauh ke hadapan, kita hendaklah prihatin dengan isu yang semakin hangat dibincangkan ini. Secara konseptualnya, kes penyeludupan manusia merupakan satu kegiatan jenayah yang boleh menjejaskan keselamatan negara dan juga integriti kedaulatan negara ini. Kes penyeludupan manusia ini tidak wajar berlaku kerana jenayah sebegini adalah melanggar hak asasi manusia ke atas individu yang diperdagangkan. Oleh itu, kesan-kesan kes penyeludupan manusia kepada negara dan langkah-langkah untuk mengatasi jenayah ini akan dibincangkan demi kepentingan bersama.

Pada pendapat saya, kes-kes penyeludupan manusia ke negara ini atau ke luar dari negara ini jika tidak dibendung dengan segera akan menyebabkan integriti keselamatan negara dipertikaikan oleh pelbagai pihak. Dunia antarabangsa akan melihat aspek keselamatan negara kita begitu lemah. Masyarakat negara ini pula akan mula hilang kepercayaan dengan keupayaan pasukan-pasukan penguatkuasaan untuk membenteras kegiatan penyeludupan manusia ini daripada terus berleluasa. Golongan yang berkepentingan mengaut keuntungan daripada kegiatan jenayah ini juga akan meremehkan tindakan penguat kuasa kerana menyedari tindakan mereka sukar untuk dikesan. Jelaslah bahawa kewibawaan negara akan dipersoalkan oleh banyak pihak jika kita gagal mengekang jenayah penyeludupan manusia di negara kita. Secara tidak langsung, imej negara juga turut terjejas di peringkat antarabangsa.

Di samping itu, kegiatan penyeludupan manusia juga akan meningkatkan masalah sosial dalam negara kita. Sebagai contohnya,  kegiatan pelacuran melibatkan warga asing yang diseludup masuk akan meningkat. Tambahan lagi, kes-kes orang hilang juga akan meningkat, terutamanya melibatkan kanak-kanak atau golongan remaja untuk dieksploitasi oleh golongan yang cuba mengaut keuntungan. Kegiatan jenayah terancang juga boleh bertambah jika manusia yang diseludup masuk merupakan penjenayah-penjenayah yang bermatlamat untuk mengembangkan kegiatan haram mereka. Keadaan ini menyebabkan penduduk tempatan akan berasa keselamatan mereka tidak terjamin. Mereka seolah-olah menjadi tebusan atau tawanan hidup di negara sendiri. Sudah terang lagi bersuluh, jenayah penyeludupan manusia menyebabkan masalah sosial di negara kita semakin berleluasa.

Kes penyeludupan manusia hendaklah dibendung kerana banyak membawa implikasi buruk kepada rakyat dan negara kita. Bagi membendung masalah ini, pihak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) perlulah bersama-sama memainkan peranan. Ahli-ahli pertubuhan sukarela ini boleh membantu pihak berkuasa mengenal pasti sektor-sektor pekerjaan yang menjadi tumpuan tenaga buruh atau manusia yang diseludup masuk ke negara ini. Mereka juga boleh menggembleng tenaga untuk melancarkan kempen-kempen yang melibatkan majikan di seluruh negara bagi memberikan kesedaran agar tidak bersaubahat dengan penyeludup manusia dengan menggaji orang yang diseludup sebagai pekerja. Memang tidak dapat dinafikan penglibatan aktif NGO dalam mengatasi masalah ini amatlah dituntut kerana golongan ini sentiasa mendekati masyarakat setempat melalui pelbagai program yang dirancang.

Langkah lain yang tidak boleh dikesampingkan dalam usaha mengatasi masalah ini ialah penguatkuasaan pencegahan perlulah dilakukan secara berterusan oleh pihak berkuasa. Serbuan-serbuan di pusat-pusat hiburan, kawasan perladangan, dan sektor-sektor industri perlu dilakukan secara kerap untuk mengesan buruh-buruh yang digaji secara tidak sah. Di samping itu, kawalan sempadan juga perlu dipertingkatkan dan laluan hijau di sempadan dan semua pintu masuk perlu dimansuhkan jika kemudahan ini didapati sebagai penyumbang kepada peningkatan kegiatan penyeludupan manusia. Dalam pada itu, akta dan undang-undang yang berkaitan dengan kes  penyeludupan manusia hendaklah dikaji semula. Pihak yang ditangkap dan disabitkan dengan kesalahan kes penyeludupan orang hendaklah didakwa dan dikenakan hukuman yang setimpal untuk memberikan amaran kepada orang lain supaya tidak terlibat dengan jenayah sebegini.

Selanjutnya, peranan media massa sama ada media cetak mahupun media elektronik perlulah diperhebat dalam mengatasi masalah ini. Media elektronik seperti televisyen, radio dan internet perlu menyalurkan maklumat mengenai kes penyeludupan manusia secara berterusan untuk memberikan kesedaran kepada penduduk di negara ini mengenai bahaya jenayah sebegini. Dengan adanya peringatan yang berterusan sebegini, mereka akan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak mudah terperdaya dengan penipuan yang dilakukan oleh penjenayah yang terlibat dengan kes penyeludupan manusia. Dokumentari dan filem berkaitan dengan kes penyeludupan manusia hendaklah ditayangkan kepada orang awam supaya mereka melihat kesan-kesan dan cara-cara untuk menghindari diri daripada menjadi mangsa kes penyeludupan manusia. Dengan adanya pengetahuan yang mencukupi, masyarakat dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah yang tidak berperikemanusiaan ini.

Kesimpulannya, kes penyeludupan manusia merupakan jenayah terancang yang memerlukan komitmen semua pihak untuk mengatasinya. Untuk keselamatan negara dan keharmonian negara, jenayah penyeludupan manusia ini perlulah dicegah dengan perundangan  dan ketegasan. Dalam pada itu, masyarakat kita hendaklah mempunyai kesedaran untuk membantu pihak berkuasa untuk mengatasi masalah ini dengan melaporkan kes penyeludupan manusia yang berlaku dan tidak bersaubahat dengan penjenayah. Jika semua pihak bersatu padu, kes penyeludupan manusia tidak akan berlaku di negara kita. Mudah-mudahan, negara yang kita cintai ini akan bebas daripada kes penyeludupan manusia yang tidak berperikemanusiaan dan melanggar hak asasi manusia ini. 


3 comments:

ShA_aRenizz said...

ayat yang cukup memberangsangkan minda dalam menulis karangan...terima kasih....

ShA_aRenizz said...

ayat yang cukup memberangsangkan minda dalam menulis karangan...terima kasih....

ShA_aRenizz said...

AYAT YANG BAGUS DAN MEMBERANGSANGKAN MINDA UNTUK MENULIS KARANGAN............

Related Posts with Thumbnails