Followers

30 September 2011

PENDAPAT PERIBADI CIKGU ZUL : ISU PELAJAR DIHALANG MENDUDUKI UPSR


PONTIAN 29 Sept. – Kementerian Pelajaran akan mengambil tindakan terhadap guru besar dan pengetua sekolah sekiranya terbukti mereka terlibat melarang murid daripada menduduki peperiksaan yang diadakan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, guru besar atau pengetua yang didapati bersalah dalam hal seumpama itu hanya akan memberi kesan negatif kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) mereka. “Tindakan menghalang murid daripada menduduki peperiksaan adalah salah kerana ia melanggar hak murid tersebut. “Justeru, seandainya kita dapati guru besar atau pengetua menghalang murid daripada mengambil peperiksaan semata-mata untuk memastikan prestasi sekolah mereka tidak menurun, kita akan mengambil tindakan,” katanya mengulas laporan sebuah akhbar tempatan hari ini yang menyiarkan lima murid Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Sira di Baling, Kedah tidak dibenarkan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), baru-baru ini.

Beliau yang ditemui selepas menghadiri Majlis Jalinan Mesra Rakyat di pekarangan Masjid Jamek Kampung Sungai Bunyi dekat sini, hari ini memaklumkan belum menerima laporan mengenai kejadian tersebut. Muhyiddin berkata, beliau akan mengarahkan Jemaah Nazir Sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah untuk menyiasat perkara itu dan murid-murid berkenaan akan dibenarkan menduduki semula peperiksaan tersebut. Lima murid berkenaan iaitu Mohd. Zulidham Yusof, Mohd. Fazli Md. Isa, Mohd. Hakim Hasan, Zulhilmi Abd. Mizan dan Mohd. Zulfikar Mohd. Fauzi dilaporkan telah diminta oleh guru mereka supaya tidak menghadiri peperiksaan itu. Sebelum ini, akhbar turut melaporkan tiga murid SK Bandar Bintangor, Sarawak tidak dibenarkan menduduki UPSR atas alasan akan menjatuhkan prestasi sekolah berkenaan.

SUMBER
BERITA HARIAN
30 SEPTEMBER 2011

PANDANGAN PERIBADI CIKGU ZUL

Saya melihat perkara ini dari satu aspek yang lain iaitu kenapa semua yang dilarang menduduki UPSR itu pelajar lelaki? Senario ini ada kaitannya dengan kemerosotan bilangan pelajar lelaki di IPT pada masa sekarang. Jika diperhatikan kebanyakan pelajar lelaki ini masih tidak matang dan tiada kesedaran untuk berubah sehingga guru mati akal untuk membantu. Lantas, ada segelintir guru yang tergamak menghalang mereka daripada menduduki peperiksaan.

Pihak KPM mahupun JPN tidak boleh menyalahkan guru dan guru besar dalam hal ini. Sistem pendidikan di negara kita yang terlalu mementingkan pencapaian pelajar dalam peperiksaan perlu dilihat, ditelusuri dan diperhalusi semula. Kita kena kaji kenapa dan mengapa guru dan pihak sekolah sanggup bertindak sedemikian. Pada orang lain mungkin pihak sekolah itu bersalah kerana menghalang mereka menduduki peperiksaan. Akan tetapi, ibu bapa kepada pelajar-pelajar terbabit, tiadakah kesalahan yang boleh disandarkan ke bahu mereka?

Jika kita melihat kepada punca yang menyebabkan pelajar lembap dan galus, ibu bapa menyumbang lebih kurang 70% sebagai puncanya. Guru hanya mendidik dan menyampaikan ilmu. Namun begitu, ibu bapa kena ingat guru bukannya tiada perasaan dan kesabaran. Jika bebalnya setinggi langit dan diimbangi oleh tuntutan NKRA yang setinggi gunung, guru jualah yang terhimpit dan tersepit. Pernahkah kita terfikir bagaimana peritnya hati guru apabila ditunding jari, dikecam, dan disindir sehingga habis kain diselak apabila prestasi pelajar merundum dalam peperiksaan?

PANDANGAN SEORANG RAKAN GURU

dalam sistem pendidikan tak da perkeliling yang menyatakan kita berhak menghalang pelajar daripada menduduki peperiksaan...sedangkan pelajar sekolah pun kita tidak boleh buang sebarangan apalagi menghalang daripada menduduki peperiksaan..bukan murid yang bodoh..cikgu dan guru besar dia yang BODOH!!@!!! balik kampung tanam jagung jangan jadi cikgu beri malu saja.....

PANDANGAN PERIBADI CIKGU ZUL

Kalau pun kita benar-benar marah kepada pihak guru dan guru besar sekolah terbabit, tidak wajar kita mengatakan mereka bodoh atau meminta mereka berhenti kerja. Kita tidak payah malu dengan isu-isu sebegini. Kita harus tahu sejak kecil sehingga menjadi orang intelektual dan berkerjaya, kita dibesarkan dan didewasakan dengan didikan guru. Sekiranya bukan guru yang mencurahkan ilmu dan berkorban untuk mendidik dan mengasuh kita, tidak mungkin akan lahir ramai golongan profesional yang disanjung dan dihormati pada hari ini. Guru mungkin “bodoh” pada pandangan sesetengah masyarakat yang terlalu bermegah dan meninggi diri dengan kemewahan dan keistimewaan yang mereka miliki, namun bagi yang menghargai dan tahu menilai erti pengorbanan seorang guru, sudah tentu mereka tidak mengecop guru mereka “bodoh”. Kadang-kala kita terlalu emosional dengan perkara-perkara seperti ini. Kita boleh salahkan sesiapa sahaja dalam hal ini bermula dari KPM, JPN, PPD dan Sekolah itu sendiri. Dalam pada itu, janganlah sesekali terdetik di hati kita mengatakan guru itu “bodoh” kerana kita mengenal A, B, C hingga Z hanyalah dari seorang guru. 

No comments:

Related Posts with Thumbnails