Pengikut

29 Oktober 2010

ISU KEBUDAYAAN : PELIHARA BUDAYA MALAYSIA

Warga New Zealand, Victor Ronald Johnson, 67, pernah bertugas di Malaysia pada tahun 1963 hingga 1965 ketika Konfrontasi Malaysia-Indonesia. Pada waktu itu beliau menganggotai angkatan Tentera British Negara-Negara Komanwel dan ditugaskan di Pontian, Johor serta Sarikei, Sarawak. Bagi beliau kenangan yang tidak dapat dilupakan ketika berkhidmat di Malaysia ialah sewaktu berada di Sarawak. ''Di Sarawak saya berpeluang bergaul dengan kaum Dayak dan menyaksikan pelbagai keunikan budaya dan cara hidup mereka. Semua itu sangat menarik bagi saya," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Kementerian Pelancongan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ditanya pengalaman bertugas pula, Johnson menyifatkan bertugas di Pontian dengan sebahagian dari kawasannya dipenuhi hutan bakau agak mencabar. Namun selepas berjaya membiasakan diri dengan kawasan hutan beliau tidak menghadapi banyak masalah. ''New Zealand juga mempunyai kawasan hutan dan pengalaman di negara sendiri membantu saya untuk menyesuaikan diri dengan hutan di Malaysia. ''Ketika terlibat dalam konfrontasi tersebut keadaan hutan banyak membantu saya. Dengan hanya mendengar dan mengamati keadaan hutan saya boleh mengagak pergerakan musuh," jelas beliau. Tambah Johnson dalam konfrontasi tersebut, pihak Indonesia tidak begitu profesional berbanding pasukan Tentera British terutamanya dari segi logistik dan koordinasi.

''Kelemahan pihak Indonesia yang kurang berkemahiran memberikan kelebihan kepada kami. Tentera British sentiasa mengutamakan intergrasi dan koordinasi ketika berhadapan dengan mereka dalam konfrontasi tersebut," katanya. Johnson merupakan salah seorang dari lapan veteran perang dari New Zealand, Australia dan United Kingdom yang dijemput Kementerian Pertahanan untuk menerima Pingat Jasa Malaysia pada 30 Ogos, baru-baru ini. Pingat berkenaan sebagai menghargai pengorbanan dan sumbangan yang mereka berikan sehingga membantu Malaysia mencapai kemerdekaan. Kesemua mereka berkhidmat di Malaysia antara 1957 hingga 1963 iaitu ketika darurat dan Konfrontasi Malaysia-Indonesia.

Selain menerima pingat, veteran perang berkenaan turut diberi peluang menyaksikan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-53 di Stadium Putra, Bukit Jalil, melawat Tugu Negara dan Kem Terendak, Melaka. Konfrontasi Malaysia-Indonesia berlangsung dari 1963 sehingga 1966. Ia timbul apabila Indonesia tidak bersetuju dengan pembentukan Malaysia pada tahun 1963 yang melibatkan kemasukkan Borneo Utara iaitu Sabah, Sarawak dan Singapura. Presiden Soekarno menganggap bahawa penubuhan Malaysia sebagai satu percubaan kolonial Inggeris untuk meneruskan kekuasaaan di Asia Tenggara dan melancarkan gerakan Ganyang Malaysia pada 27 Julai 1963. Sepanjang konfrontasi berkenaan banyak peristiwa serang menyerang berlaku di antara tentera kedua-dua negara sehinggalah konfrontasi ditamatkan secara rasminya pada 28 Mei 1966 dalam sebuah persidangan di Bangkok, Thailand.

Johnson yang pernah bercuti di Pulau Pinang beberapa kali selepas meninggalkan negara ini pada tahun 1965 melahirkan rasa gembira dan kagum dengan pembangunan yang dikecapi Malaysia pada hari ini selepas 53 tahun kemerdekaannya. ''Pembangunan Malaysia pada hari ini begitu menyeluruh terutamanya di bandar raya Kuala Lumpur. Bidang industri, bangunan tinggi dan infrastruktur lain membangun dengan begitu pesat dan moden.  ''Saya sentiasa mengharapkan Malaysia akan kekal harmoni, masyarakatnya mengekalkan cara hidup yang lama dan menjadi sebuah negara yang kaya-raya pada masa akan datang," katanya.

Seorang lagi veteran perang warga New Zealand yang turut menerima Pingat Jasa Malaysia ialah James Broughton, 70 yang bertugas di Kem Terendak dan Borneo dari 1963 hingga 1965.  ''Saya tertarik dengan masyarakat Malaysia yang begitu bersopan-santun dan kaya dengan pelbagai budaya. Saya berharap masyarakat Malaysia memelihara budaya mereka supaya tidak menjadi seperti masyarakat New Zealand yang sudah kehilangan sebahagian besar daripada budaya dan tradisi kami. ''Saya gembira melihat Malaysia membangun dengan begitu pantas sejak konfrontasi dulu dan semoga Malaysia terus berjaya pada masa depan," jelasnya.


Oleh
ROHANI IBRAHIM
Utusan Malaysia
3 September 2010

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails