Rencana ini ditulis oleh :
Prof. Madya Mohamad MD Yusoff
Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian
Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM)
Industri iklan negara semakin pesat
berkembang dan menjana pendapatan hampir RM10 bilion pada 2012 dan menyumbang 1
peratus (%) kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK). Sejajar dengan kepesatan
industri iklan dan media negara ini, agensi iklan menjadi pemangkin dan
penggerak industri media dan sekali gus menjanakan pertumbuhan industri hiliran
dan sokongan seperti penerbitan filem animasi. Bahkan dengan adanya Dasar
Industri Kreatif, agensi iklan Melayu sewajarnya semakin lestari sifatnya dan
semakin kukuh wawasan dan hala tujunya. Namun, isu besar yang dihadapi sekarang
ialah sejauh manakah agensi iklan kita mampu bernafas dan melestarikan kelangsungan
hidup mereka? Mampukah agensi iklan Melayu bersaing di persada global jika soal
kelestarian pelanggan/klien yang 'kritikal' menghantui agensi iklan kita dan
dihambat pula oleh hala tuju syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang kian kurang
jelas ke arah membantu keusahawanan agensi iklan Melayu dan sekali gus media
berbahasa Melayu khususnya industri persuratkhabaran.
Permasalahan industri iklan kita tanpa
kementerian yang memayunginya juga menjadi cabaran besar pada 2013? Apakah
Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Kesenian (KPKK) sudah cukup lagi mampu
menangani isu dan cabaran industri iklan? Persoalan yang besar ialah industri
iklan begitu luwes menerima kemasukan pemain luar dan asing sehingga kemelut
MNCs (syarikat besar asing) mudah bertapak dalam industri yang sudah menjadi
satu fait accompli. Industri iklan tidak dilindungi mahupun dikawal selia? Globalisasi
sebagai satu wajah, wadah dan wahana mahupun instrumen perdagangan luar,
seolah-olah memangkinkan industri iklan berkembang dan hidup segar. Dalam
konteks ini, soal teknologi, kepakaran dan saiz pelanggan serta jaringan tidak
menjadi masalah besar kepada MNCs selagi dasar liberalisasi dan pintu terbuka
menjadi pegangan negara. Hal ini menjadi masalah kepada agensi iklan Melayu? Justeru,
kementerian yang bertanggungjawab terhadap industri iklan keseluruhannya perlu
memastikan satu Dasar Periklanan Negara digubal segera demi memelihara
kepentingan Melayu dalam industri ini yang serba berpotensi menjana pendapatan
yang besar.
Menerusi suruhanjaya industri
periklanan negara, isu dan cabaran sistem teknikal dan sosial diharap mampu
ditangani seperti:
1. Kemampuan modal.
2. Perlindungan berterusan dalam
konteks affirmative action'.
3. Dasar sokongan lestari.
4. Keantarabangsaan dan kepakaran.
5. Pengiklan dan agensi penguat
kuasa/pelaksana yang tidak tulus, ikhlas dan amanah.
6. Akauntabiliti dan etika.
7. Pendidikan periklanan dan IMC yang
lemah dan tidak membantu jihad ekonomi Melayu-Islam.
8. Kegiatan tidak tersusun menjayakan
dasar pembinaan nusa bangsa menerusi pengisian Wawasan 2020.
Sesungguhnya industri iklan merupakan
industri strategik negara dalam membentuk identiti, budaya dan komunikasi
berkiblatkan tempatan sepenuhnya. Sekali gus, ia menjadi instrumen dan wadah
membantu perekonomian bumiputera yang sama rata sambil membina nusa bangsa
menerusi pembangunan modal insan dan sosial dalam memupuk kelestarian budaya
dan tamadun Malaysia yang holistik. Jika Dasar Periklanan Negara digubal pada
2013, maka industri iklan akan dapat mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara
menerusi kerancakan iklan pembangunan sambil mempertingkatkan kesejahteraan
negara menerusi pengagihan sumber kekayaan negara secara saksama.
Amalan industri periklanan dengan
pintu terbuka dapat diregulisasikan sesuai dengan sistem sokongan dan bantuan
yang lestari ke arah penstrukturan semula industri iklan negara berpaksikan
slogan, Act Local, Think Global. Yang penting Dasar Periklanan Negara mesti
berpandukan prinsip Rukunegara, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Pendidikan
Kebangsaan, Dasar Pembangunan Nasional dan Program Transformasi Negara dan
Wawasan 2020. Tentunya, Dasar Periklanan Negara berpandukan aspirasi negara,
keperluan dan cita rasa masyarakat, sumber kekayaan negara, dan Perlembagaan
Negara yang menuntut kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Maka sudah
sampai masanya Majlis Iklan Negara (MIN) atau Suruhanajaya Periklanan Negara
(SPIN) dibentuk pada 2013 jika Wawasan 2020 mahu direalisasikan dengan jayanya.
Sumber
Utusan Malaysia
2 Januari 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan