JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



01 April 2011

ISU UMUM : RM3 JUTA SETAHUN UNTUK PEMBEKALAN MAKANAN KE WFP


Malaysia memperuntukkan RM3 juta setahun untuk pembekalan makanan bagi membantu Program Makanan Sedunia (WFP) melalui Depot Respons Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRD) melaksanakan kerja-kerja bantuan kemanusiaan di rantau Asia terutama kepada negara yang dilanda bencana. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain peruntukan tersebut, Malaysia juga sedang membina sebuah depot baru UNHRD yang bernilai RM17 juta bertempat di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang selepas perjanjian mengenai pembinaan depot baru tersebut dengan WFP ditandatangani pada 25 Februari 2010. Dengan pembinaan depot baru UNHRD yang dijangka siap penghujung tahun ini, Malaysia kini berbangga kerana dapat menyumbang dalam melakukan kerja-kerja kemanusiaan. 

Selain itu, dalam memenuhi keperluan bantuan kemanusiaan di rantau Asia, Malaysia adalah negara kelima yang membina depot UNHRD selepas Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Brindisi (Itali), Accra (Ghana) dan Panama City di Panama.  Ahmad Zahid berkata, kesiapsiagaan pasukan bantuan untuk WFP itu kini berada di tahap yang cukup tinggi dan depot baru yang dibina tersebut akan digunakan sebagai pusat pengagihan dan penghantaran barangan makanan yang disediakan kerajaan melalui peruntukan RM3 juta setiap tahun itu. Penyediaan bekalan makanan adalah kerjasama daripada pihak WFP dan pasar raya sedia ada melalui perjanjian dan rundingan yang kita adakan dengan kaedah penghantaran yang mendapat kerjasama TUDM dan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) jika ada tempat menerima bencana suatu tindakan segera akan dapat kita dilakukan. 

Insya-Allah kita berdoa semoga tidak ada tempat di dunia ini yang dilanda bencana alam. Bagaimanapun, kita sentiasa bersiap siaga untuk menentukan bahawa bekalan makanan ini akan sentiasa ada daripada Malaysia. Ahmad Zahid dalam pada itu berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) juga telah disediakan untuk semua pasar raya yang bekerjasama dengan depot itu di mana kualiti, kawalan, mutu serta tarikh luput semua bahan makanan yang dibekalkan perlu dijaga oleh pembekal. Sementara itu, Amir Mahmoud berkata, pemilihan Malaysia sebagai negara kelima untuk pembinaan depot baru UNHRD selaras dengan komitmen yang sering ditunjukkan negara itu dalam melakukan kerja-kerja bantuan kemanusiaan terutama di negara-negara yang dilanda bencana.

UTUSAN MALAYSIA
1 APRIL 2011

Tiada ulasan: