28 September 2012

TEKS UCAPAN BAJET 2013


Bantuan dan Insentif Rakyat
Tuan Yang di-Pertua,
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)


134. Sesungguhnya, Kerajaan ini adalah Kerajaan rakyat, dari rakyat untuk rakyat. Kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat adalah objektif tertinggi. Kerajaan ini tidak akan sekali-kali melakukan sebarang tindakan yang akan membahayakan masa depan orang ramai. Bukan seperti sesetengah pihak, yang sanggup mengatakan apa sahaja, ini percuma, itupun percuma, hutang tak perlu bayar, hatta menjanjikan syurga semata-mata untuk berkuasa. Namun, saya selaku Menteri Kewangan, tidak akan menyembunyikan kebenaran, sekalipun ia pahit. Pendek kata, Kerajaan ini tidak akan mengaburi mata rakyat.

135. Menyedari hakikat inilah, Kerajaan sedang melaksanakan inisiatif rasionalisasi subsidi dan mengalih secara berperingkat kaedah pemberian subsidi daripada subsidi pukal yang membawa kepada banyak ketirisan dan sehingga orang yang berada pun memperoleh, kepada subsidi yang bersasar. Di bawah prinsip ini, subsidi akan diteruskan tetapi akan diberi hanya kepada kelompok yang betul-betul memerlukannya. Hakikatnya, jika Kerajaan terus memberi subsidi secara pukal, ia akan menghancurkan kedudukan kewangan negara sehingga akhirnya rakyat menanggung akibat, seperti mana yang berlaku di sesetengah negara di dunia. Sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab, kita tidak rela perkara tersebut berlaku.

136. Bersesuaian dengan peralihan kepada dasar pelaksanaan subsidi bersasar, Kerajaan komited bagi memastikan setiap segmen rakyat Malaysia dapat mengongsi kemakmuran negara. Ini hanya akan berlaku, sekiranya ekonomi nasional terus tumbuh secara mapan dan kekayaan negara dapat terus dijana. Sukacita saya mengumumkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M 2.0. Kriteria penerima tetap sama iaitu ketua isi rumah yang berpendapatan 3,000 ringgit dan ke bawah. 

Sebagai tambahan, sukacita juga saya mengumumkan pemberian BR1M 2.0 ini diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi 2 ribu ringgit sebulan. Pemberian bantuan kepada individu bujang ini adalah sebanyak 250 ringgit.

137. Hakikatnya, bantuan kepada isi rumah dan individu bujang ini bukanlah satu langkah populis malah manifestasi sebuah Kerajaan bertanggungjawab dan mampu mengurus kewangan negara dengan berhemah. Ia memanfaatkan 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang melibatkan peruntukan 3 bilion ringgit. Ia akan dibayar mulai awal tahun 2013. Bagi memudahkan pelaksanaan, penerima BR1M sedia ada tidak lagi perlu mendaftar untuk kali kedua manakala pemohon baru boleh mula mendaftar mulai November 2012 secara atas talian atau melalui kaunter di Pejabat Pembangunan Negeri, Pejabat Daerah dan pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri seluruh negara.

138. Gula yang diambil secara berpatutan adalah baik, namun sekiranya diambil secara berlebihan ia mampu menjadi racun. Setakat ini, sekitar 2.6 juta rakyat Malaysia mengidap diabetes. Oleh itu, Kerajaan bercadang mengurangkan subsidi gula sebanyak 20 sen sekilogram mulai 29 September 2012. Kerajaan menyeru kepada para peniaga bahawa janganlah membebankan saudara se-Malaysia dengan kenaikan harga. Sebaliknya kurangkanlah kandungan gula.

139. Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan masih lagi menanggung subsidi gula sebanyak 34 sen satu kg yang melibatkan perbelanjaan sebanyak 278 juta ringgit. Malah pengurangan subsidi ini disokong oleh persatuan-persatuan pengguna dan pengamal kesihatan.

140. Selanjutnya, untuk menampung perbezaan harga dan kuota penggunaan minyak masak yang semakin meningkat, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 1.5 bilion ringgit bagi menstabilkan harga minyak masak di pasaran.

Penyeragaman Harga

141. Secara umumnya, harga barangan keperluan di Sabah dan Sarawak adalah lebih mahal berbanding di Semenanjung Malaysia disebabkan kos penghantaran dan pengagihan yang lebih tinggi. Bagi memastikan kos dan harga barangan dapat dikurangkan, Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk Program Penyeragaman Harga, pemberian subsidi pengangkutan serta pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia. Untuk ini, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 386 juta ringgit bagi memastikan harga barangan keperluan di Sabah dan Sarawak serta Labuan dijual pada harga yang lebih rendah dan lebih seragam dengan membuka sebanyak 57 buah KR1M dan menanggung kos penghantaran produk dari Semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak serta Labuan termasuk penghantaran ke kawasan pedalaman. 

Sebagai contoh di Ba’kalalan, Sarawak, harga gas memasak 14 kg setong dijual pada harga RM70. Dengan program penyeragaman harga, gas memasak tersebut boleh dibeli hanya dengan RM26.60 setong.

142. Sebagai tambahan, bagi meringankan beban rakyat yang berulang alik menggunakan perkhidmatan feri dari Labuan ke Sabah dan Sarawak, Kerajaan akan memberi diskaun tambang kepada semua penumpang sebanyak 50 peratus. Di samping itu, diskaun sebanyak 50 peratus turut diberi ke atas tambang feri untuk kenderaan komersial yang mengangkut barang keperluan asas dan binaan ke Labuan.

Mempermudah Ibadah Haji

143. Sekali lagi kita memasuki musim panggilan Haji menuju Baitullah. Dalam Bajet 2012, saya telah mengumumkan pencarum KWSP boleh membuat pendaftaran awal menunaikan rukun ke 5 ini melalui penghadangan Akaun 2 sebanyak 1,300 ringgit. Alhamdulillah, setakat ini, seramai 51,528 pencarum telah menggunakan inisiatif ini. Sebagai langkah tambahan untuk membantu bakal-bakal haji, saya ingin mengumumkan bahawa bakal-bakal haji yang mencarum di KWSP, kini dibenarkan mengeluarkan simpanan dari Akaun 2 mereka bagi menampung kekurangan kos tambang. Inisiatif ini terhad kepada jemaah muassasah dengan maksimum pengeluaran sehingga 3 ribu ringgit.

Kajian Semula Cukai Pendapatan Individu dan Koperasi

144. Kerajaan prihatin ke atas peningkatan kos sara hidup rakyat serta tanggungan cukai pendapatan mereka. Kerajaan telah pun menyediakan sebanyak 20 jenis pelepasan cukai individu dan 2 rebat cukai. Berikutan pelepasan dan rebat cukai ini, hanya 1.7 juta orang sahaja yang perlu membayar cukai berbanding keseluruhan guna tenaga iaitu seramai 12 juta orang.

145. Dalam proses peralihan daripada sistem cukai sedia ada yang berasaskan pendapatan kepada sistem cukai yang lebih adil dan saksama, Kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan individu diturunkan 1 mata peratusan bagi setiap kumpulan pendapatan bercukai tahunan melebihi 2,500 ringgit sehingga 50 ribu ringgit. Langkah ini akan mengeluarkan seramai 170 ribu pembayar cukai daripada membayar cukai serta pembayar cukai pendapatan sedia ada juga menikmati penjimatan bayaran cukai mereka. Sebagai contoh, golongan profesional muda yang belum berkahwin dengan pendapatan bulanan 5 ribu ringgit, akan menikmati penjimatan cukai pendapatan sehingga 425 ringgit seorang.

146. Pada masa yang sama, bagi terus memacu transformasi gerakan koperasi, Kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan koperasi juga dikurangkan antara 1 hingga 7 mata peratusan di semua kumpulan pendapatan bercukai. Dengan ini, seramai 7 juta ahli koperasi akan menikmati manfaat sebagai galakan untuk meningkatkan keupayaan keusahawanan dalam bidang perniagaan.

Meringankan Beban Pengusaha Bas Sekolah

147. Kerajaan mengambil berat akan keselamatan anak-anak yang menaiki bas ke sekolah dan pemandu-pemandu bas berikutan kualiti segelintir bas sekolah yang kurang memuaskan. Keadaan ini disebabkan pengusaha bas sekolah tidak dapat menampung beban kos penyelenggaraan yang semakin meningkat sedangkan sebahagian besar bas yang dimiliki telah melebihi jangka hayat ekonomi. Untuk itu, Kerajaan mencadangkan pengusaha bas sekolah diberi pertamanya, pemberian rebat tunai 10 ribu ringgit dan subsidi kadar faedah 2 peratus ke atas pinjaman penuh untuk menggantikan bas sekolah lama berusia melebihi 25 tahun kepada bas baru yang berkapasiti 12 hingga 18 tempat duduk. Skim pinjaman ini diuruskan oleh BSN ditawarkan untuk tempoh permohonan 2 tahun bermula 1 Januari 2013.

148. Keduanya, penyediaan Skim Perlindungan Insurans Kemalangan Diri, hilang upaya kekal dan kematian kepada semua murid sekolah yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah berpermit. Usaha ini akan memanfaatkan seramai 2 juta pelajar dengan perlindungan maksimum sebanyak 100 ribu ringgit dan kos premium sebanyak 40 juta ringgit untuk tempoh 2 tahun yang akan diselia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat.

Mengurangkan Kos Pembelajaran Pelajar

149. Kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan pelajar terutama mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah. Kerajaan sentiasa menyediakan peruntukan khusus kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang merangkumi bantuan geran per kapita, bantuan makanan asrama, Rancangan Makanan Tambahan, pembelian buku teks dan bantuan bayaran tambahan persekolahan. Untuk ini, sebanyak 2.6 bilion ringgit diperuntukkan pada tahun 2013.

150. Pada pembentangan Bajet 2012, saya telah mengumumkan bantuan persekolahan 100 ringgit kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah. Bagi meringankan beban persekolahan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, Kerajaan sekali lagi akan meneruskan pemberian bantuan persekolahan 100 ringgit kepada pelajar sekolah rendah dan menengah. Bantuan ini akan dibayar mulai Januari 2013 dan bermanfaat kepada 5.4 juta pelajar melibatkan peruntukan sebanyak 540 juta ringgit.

151. Kerajaan akan meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia kepada setiap pelajar IPT dan pra-universiti. Suka saya mengumumkan, bahawa nilai baucar akan ditingkatkan daripada 200 ringgit kepada 250 ringgit. Langkah ini melibatkan peruntukan 325 juta ringgit dan akan memanfaatkan seramai 1.3 juta pelajar di seluruh negara.

152. Kerajaan juga amat prihatin akan bebanan kos pendidikan tinggi anak-anak. Bagi membantu meringankan tanggungan kewangan ibu bapa, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai sedia ada bagi pendidikan tinggi anak-anak sebanyak 4,000 ringgit seorang sekarang ini, dinaikkan kepada 6,000 ringgit mulai tahun taksiran 2013. Langkah ini menunjukkan komitmen dan tumpuan Kerajaan ke atas pelaburan bagi meningkatkan tahap pendidikan generasi muda yang akan memberi manfaat kepada negara pada masa hadapan.

153. Bagi menggalakkan sikap menabung untuk pendidikan, sukacita juga saya mengumumkan di sini bahawa pelepasan cukai yang telah pun diberi sehingga 3,000 ringgit bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional dinaikkan kepada 6,000 ringgit.

154. Menurut hukum, hutang wajib dibayar. Pinjaman PTPTN satu amanah. Ia adalah satu keistimewaan, bukan satu hak. Jika hutang PTPTN tidak dibayar, ia akan menafikan hak-hak pelajar masa depan. Oleh itu, bagi memudahkan proses pembayaran balik, Kerajaan akan memperkenalkan beberapa insentif. Pertama, bagi peminjam yang menyelesaikan hutang sekali gus dalam tempoh setahun selepas pengumuman ini, bermula 1 Oktober 2012 hingga 30 September 2013, diskaun 20 peratus akan diberikan ke atas jumlah pinjaman mereka.

155. Manakala, bagi mereka yang membayar pinjaman secara konsisten mengikut jadual mulai 1 Oktober 2012, diskaun 10 peratus setahun akan diberikan. Kita tahu Tuan Yang di-Pertua, ada pihak yang mencadangkan supaya hutang keseluruhan hutang PTPTN dimansuhkan. Ini adalah satu perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab kerana jika dimansuhkan, siapa yang akan menanggung lebih 30 bilion ringgit hutang PTPTN. Bukankah yang akan terbeban adalah rakyat Malaysia? Bertanggungjawabkah jika kita yang berhutang masyarakat yang menanggung. Itulah persoalannya.

Program Jalur Lebar untuk Rakyat Termiskin di Bandar

156. Kerajaan akan menubuhkan 100 Pusat Internet 1Malaysia bagi Tahun 2013 hingga 2015 di dalam bandar seperti di kawasan perumahan rakyat. Pusat ini dilengkapi dengan kemudahan komputer dan perkhidmatan jalur lebar bagi kegunaan harian dan meningkatkan kegiatan sosioekonomi mereka. Untuk itu, SKMM akan menyediakan peruntukan sebanyak 150 juta ringgit.

Menggalakkan Aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)

157. Kerajaan berharap pihak swasta, badan korporat serta syarikat berkaitan Kerajaan dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan dan kesejahteraan rakyat melalui Tanggungjawab Sosial Korporat atau ‘Corporate Social Responsibility’. Bagi menyokong usaha Kerajaan untuk merancakkan aktiviti CSR, program yang akan dilaksanakan oleh GLC dan agensi termasuklah:

Pertama: Felda akan melaksana dan menyiapkan projek perumahan generasi baru sebanyak 20,000 unit untuk tempoh lima tahun di atas 5,000 ekar tanah dalam kawasan Felda. Projek ini akan menelan belanja sebanyak 1.5 billion ringgit dalam tempoh tersebut. Di samping itu, Felda telah memperuntukkan sebanyak 60 juta ringgit bagi membaiki rumah-rumah kampung tradisi di sekitar rancangan. Felda juga akan berbelanja sebanyak 100 juta ringgit setahun untuk program pendidikan dan latihan kemahiran serta biasiswa kepada 5000 anak generasi baru, 30 peratus atau 2,000 orang dari jumlah ini adalah terdiri dari anak-anak dari luar Felda;

Kedua: Yayasan 1MDB akan menyediakan 300 juta ringgit bagi pemberian geran pendidikan, bantuan kewangan, pembinaan rumah arau untuk pelajar pra-sekolah di pedalaman Sarawak, Klinik Bergerak 1Malaysia dan program membaiki rumah bagi golongan miskin dan daif; dan

Ketiga: Syarikat-syarikat GLIC dan GLC akan memperuntukkan hampir 500 juta ringgit untuk menjalankan CSR dalam bidang pembangunan komuniti, biasiswa, pendidikan, sukan dan alam persekitaran.

158. Sebaik manapun dasar yang telah digubal pihak Kerajaan tidak akan bermakna tanpa pelaksanaan yang cekap serta berkesan. Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam negara yang merupakan jentera pelaksanaan dasar negara sama ada yang berada di peringkat daerah, pihak berkuasa tempatan, negeri mahupun pusat.

159. Kerajaan juga ingin mengambil peluang ini untuk mengiktiraf peranan yang dimainkan Kementerian Kewangan sebagai pelaksana dasar fiskal negara, Bank Negara Malaysia yang bertanggungjawab terhadap dasar monetari negara dan Suruhanjaya Sekuriti yang mengawal keutuhan pasaran modal kebangsaan.

160. Makanya, sebagai Kerajaan yang mengenang budi, suka saya mengumumkan pemberian bonus sebanyak satu setengah bulan gaji. Seperti kita tahu, dari jumlah ini, setengah bulan telahpun diberikan menjelang perayaan Aidilfitri yang lepas, sejumlah setengah bulan gaji lagi akan diberikan pada bulan Disember kelak manakala setengah bulan lagi akan diberikan pada bulan Januari nanti. Diharapkan pemberian bonus ini akan mengurangkan beban para penjawat awam terutamanya yang berkeluarga sempena musim awal persekolahan.

Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails