MUHAMMAD AFIFI ABDUL RAZAK
Pensyarah sains politik di Pusat
Pengajian Antarabangsa,
Universiti Utara Malaysia.
Satu ketika dahulu, prestasi bola
sepak Malaysia boleh dikatakan setanding dengan pasukan seperti Korea Selatan,
Jepun, China dan beberapa negara Arab seperti Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu
dan Kuwait. Tetapi hari ini, semua pasukan tersebut sudah pun berjaya
melayakkan diri ke kejohanan berprestij seperti Piala Dunia, Piala Asia dan
Sukan Olimpik. Malaysia sebaliknya masih lagi ketinggalan dan terus berada di
takuk lama. Apakah kita harus berasa bangga dengan pencapaian pasukan bola
sepak Malaysia pada hari ini yang dahulunya pernah digeruni oleh banyak pasukan
bola sepak di negara-negara Asia? Apakah kita patut bangga dengan keupayaan
untuk mengekang pasukan Arsenal dengan jumlah jaringan satu gol kosong selama
lebih 40 minit? Apakah kita boleh berbangga dengan beberapa 'komen positif'
oleh pengurus dan jurulatih asing mengenai pemain Malaysia? Jika inilah yang
kita agung-agungkan, tiada makna lagi sukan bola sepak di Malaysia. Bola sepak
Malaysia mesti berubah untuk berjaya di peringkat antarabangsa. Perkara pertama
yang mesti berubah dalam hal ini adalah persepsi kita mengenai sukan bola sepak
itu sendiri. Persepsi kita, khasnya pihak pengurusan, pemain, serta mereka yang
mempunyai kepentingan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam sukan
bola sepak tidak pernah berubah.
Bola sepak di Malaysia selalu dianggap
sebagai satu daripada aktiviti sukan semata-mata yang dilakukan untuk
menyihatkan badan. Sementara penglibatan Malaysia dalam pertandingan bola sepak
di peringkat antarabangsa serta perkembangannya di peringkat nasional mahupun
negeri atau daerah adalah kerana ia telah menjadi satu budaya dan mengandungi
elemen-elemen 'prestij' yang boleh dimanfaatkan oleh Malaysia sebagai sebuah
negara anggota FIFA. Di sinilah silapnya. Bola sepak tidak seharusnya dianggap
demikian. Ia bukannya semata-mata satu aktiviti sukan malah ia lebih daripada
itu. Bolasepak sebenarnya adalah 'maruah negara'. Penglibatan negara-negara
dunia dalam banyak pertandingan bola sepak antarabangsa anjuran FIFA seperti
Piala Dunia dan Sukan Olimpik boleh diibaratkan sebagai 'peperangan' antara
negara-negara bagi merebut 'mahkota' sebagai 'juara dunia'. Oleh yang demikian,
tidak hairanlah apabila kita melihat negara-negara yang tersohor dalam sukan
bola sepak seperti Brazil, Argentina, England, Jerman dan Itali
bermatian-matian berjuang dalam banyak pertandingan antarabangsa.
Bola sepak juga boleh dilihat sebagai
satu bentuk industri yang mampu menjana bukan sahaja keuntungan dari segi nilai
imej dan prestij, tetapi juga nilai material dan ekonomi. Program bola sepak
untuk satu jangka masa panjang boleh menghasilkan pemain-pemain muda yang berkaliber
yang boleh 'dieksport' untuk bermain dengan kelab-kelab bola sepak terkemuka
dunia seperti Manchester United, Real Madrid, Bayern Munich, dan lain-lain.
Atau sekurang-kurangnya berpeluang bermain dengan kelab-kelab bola sepak
profesional yang bertaburan di benua Eropah dan Amerika Latin. Selain daripada
melatih bakat-bakat baru, pasukan bola sepak khasnya yang berstatus kelab boleh
menjana sumber ekonomi menerusi promosi dan penjualan barang-barang merchandise
berkaitan dengan pasukan atau kelab tersebut kepada para peminat dan orang
ramai. Di negara-negara Barat, semua ini wujud dan berkembang dengan pesat
sekali. Bola sepak di negara-negara Barat adalah satu bentuk industri yang
berprestij dan mampu membawa pulangan yang lumayan. Ia bukannya sukan untuk
memanas badan semata-mata. Pemain bola sepak di negara-negara Barat bermain
untuk 'hidup'. Bagi mereka, bola sepak adalah satu bentuk 'kerjaya profesional'
yang mana sekiranya seseorang pemain itu bermain dengan bersungguh-sungguh,
'hasil lumayan' pasti menanti mereka.
Demikianlah berbezanya persepsi sukan
bola sepak antara Malaysia dan negara-negara Barat. Maka tidak hairanlah kenapa
pasukan bola sepak mereka mampu menyaingi dan menewaskan Malaysia walaupun
terpaksa bermain dalam cuaca panas. Pun begitu, masih belum terlewat bagi
Malaysia mengorak langkah baru ke hadapan bagi menghadapi persaingan bola sepak
di peringkat serantau dan antarabangsa. Malaysia perlu merangka satu strategi
dan program jangka panjang untuk membangunkan semula sukan bola sepak di negara
ini. Pihak pengurusan bola sepak di Malaysia mungkin boleh memperkenalkan satu
idea baru dalam konteks pembangunan bola sepak Malaysia iaitu menjadikan semua
pasukan dalam Liga Malaysia daripada berstatus negeri kepada status kelab.
Sementara kelab-kelab bola sepak tempatan ini berkembang, persatuan bola sepak
negeri pula boleh menjadi pentadbir sukan tersebut di negeri masing-masing
sambil 'bernaung' di bawah Persatuan Bolasepak Malaysia. Kelab-kelab bola sepak
tersebut pula boleh menubuhkan syarikat bagi mengurus semua aktivitinya
termasuklah penubuhan akademi bola sepak, kedai menjual merchandise untuk
kelab, jualan tiket dan mungkin juga memiliki stesen radio atau televisyen
sendiri untuk manfaat peminat dan penyokong.
Dalam hal ini, Jepun dan Korea Selatan
boleh dijadikan contoh. Apabila liga-liga bola sepak di Jepun dan Korea Selatan
dirombak secara menyeluruh, ia menjadi sebuah liga bola sepak yang benar-benar
profesional sebagaimana di Barat. Kelab-kelab bola sepak di Jepun dan Korea
Selatan ditukar kepada nama-nama yang unik dan komersial seperti Nagoya Grampus
Eight, Yokohama Marinos, Albirex Niigata, Suwon Bluewings, Pohang Steelers, dan
bermacam-macam lagi nama hebat. Seperkara lagi yang mesti diberi perhatian
adalah aspek pengurusan bola sepak negara dan juga di negeri-negeri. Berilah
tugas mengurus dan mentadbir sukan bola sepak ini kepada mereka yang 'ahli' dan
tidak harus 'dipolitikkan'. Pihak pengurusan bola sepak di Malaysia perlu kerap
'turun padang' ke segenap ceruk rantau di Malaysia untuk menjejaki dan mengenal
pasti bakat-bakat baru yang boleh digilap dan diketengahkan sebagai 'bintang
bola sepak negara'. Bola sepak bukanlah sekadar sukan semata-mata, ia lebih
daripada itu. Bola sepak adalah industri dan maruah negara.
Sumber :
Utusan Malaysia
02 Ogos 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan