30 Ogos 2012

ISU PENDIDIKAN : CABARAN BERI TEMPAT IKUT MINAT


SESI akademik 2012 / 2013 yang akan bermula September ini menyaksikan seramai 85,247 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) / setaraf memulakan sesi pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Jumlah itu menunjukkan pertambahan lebih baik berbanding tahun lalu terutama membabitkan kemasukan ke aliran Sains iaitu sebanyak 57 peratus berbanding 55 peratus pada tahun lalu, iaitu menghampiri sasaran 60:40 antara aliran Sains dan Sastera.

Wartawan Utusan Malaysia, SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM menemu bual Menteri Pengajian Tinggi, DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN mengenai kemasukan pelajar baru ke IPTA dan isu-isu berkaitan dunia pengajian tinggi di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.


Boleh Datuk Seri jelaskan mengenai jumlah kemasukan sesi akademik 2012 / 2013 tahun ini?

MOHAMED KHALED: Sesi akademik 2012 / 2013 yang akan bermula September ini menyaksikan seramai 85,247 pelajar lepasan SPM, STPM / setaraf memulakan sesi pengajian di institut pengajian tinggi awam (IPTA). Jumlah itu melibatkan 46,698 (SPM/setaraf) dan 38,549 (STPM/setaraf) calon berjaya ditawarkan tempat pengajian berbanding jumlah permohonan yang diterima masing-masing sebanyak 218, 931 dan 101,864 pemohon. Boleh dikatakan pertambahan lebih baik dari tahun lalu, pertama dari segi memberi tempat kepada pelajar jurusan Sains berbanding Sastera. Jika dulu Sains tidak sampai 55 peratus tetapi kali ini kita capai keseluruhan 57 peratus, iaitu menghampiri sasaran 60:40. Begitu juga pertambahan pelajar lelaki, tetapi tidak bermakna mengurangkan tempat perempuan. Ia bagi menentukan lelaki juga adalah modal insan untuk negara, perkara ini akan diteruskan. Begitu juga pelajar luar bandar, seramai 13,484 pelajar dari kawasan tersebut berjaya ditawarkan tempat pengajian dan ia membuktikan usaha kita untuk memastikan tidak ada pelajar dari kawasan pedalaman tidak mendapat peluang.

Bagaimana pula jumlah kemasukan ke program teknikal?

Jumlah pelajar yang memohon dan ditawarkan kemasukan ke program teknikal dan teknologi menunjukkan peningkatan memberangsangkan iaitu seramai 1,555 pelajar berjaya ditempatkan mengikuti program itu berbanding 950 pelajar pada sesi akademik lalu. Indikator yang kita ukur selain gender, Sains dan Sastera, teknikal dan kemahiran juga diambil kira kerana untuk mencapai negara maju adalah dengan membuat pengimbangan baik antara pelajar teknikal bukan semata-mata akademik. Ia sekali gus membuktikan usaha kementerian untuk mengarus perdana program kemahiran apabila pelajar-pelajar yang mendapat keputusan baik juga memohon program ini sebagai pilihan utama, ini satu perkembangan baik.

Bagaimana pula langkah kementerian untuk memastikan semua pelajar yang memperolehi Purata Nilai Gred Keseluruhan ( PNGK ) 4.0 mendapat program pengajian mengikut pilihan pertama mereka?

Bermula tahun ini, seramai 600 pelajar cemerlang menjadi kumpulan pertama yang akan ditempatkan di institut pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi mengikuti program pengajian perubatan, pergigian dan farmasi. Langkah itu dibuat berikutan tiada kekosongan di IPTA sekali gus memenuhi impian pelajar yang memperolehi PNGK 4.0 untuk mengikuti program berkenaan memandangkan ia merupakan pilihan pertama mereka. Penempatan mereka di IPTS itu akan dibiayai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Apa yang penting seramai 3,536 pelajar yang memperolehi PNGK 4.0 sebahagian besarnya mendapat program pengajian mengikut pilihan pertama mereka. Kita mahu pelajar ini mempunyai kesungguhan, keghairahan dan komitmen untuk belajar sebab ia merupakan pilihan pertama mereka. Buat pertama kali juga kita turut memberi tempat kepada semua pelajar lepasan matrikulasi dan pusat asasi yang mendapat PNGK 2.8 ke atas, dengan syarat tidak memilih.

Pengambilan pelajar bagi peringkat Ijazah Pertama berkurangan berbanding tahun lalu, kenapa ia berlaku?

Ia berlaku berikutan tiada unjuran khusus untuk program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) oleh Kementerian Pelajaran selain penyelarasan unjuran Universiti Penyelidikan meningkatkan pelajar pasca siswazah. Bagaimanapun, kementerian merancang untuk menampung kekurangan tempat di Universiti Penyelidikan bagi peringkat Ijazah Pertama untuk ditempatkan di IPTA lain yang melibatkan perancangan, peruntukan dan kesediaan infrastruktur serta tenaga pengajar. Ketiadaan unjuran daripada Kementerian Pelajaran menyebabkan pelajar yang mengikuti program pendidikan di IPTA tiada jaminan pekerjaan apabila keluar kelak. Oleh itu, kita mengambil pelajar setakat 2,304 di sembilan IPTA berbanding 3,002 di 11 IPTA sesi sebelumnya.

Apakah sistem meritokrasi masih menjadi amalan dalam pengambilan pelajar kali ini?

Sistem meritokrasi ini kita akan kekalkan. Kita perlu terima hakikat bahawa pelajar luar bandar ada di kalangan mereka tidak mendapat keputusan yang begitu baik. Oleh itu, kalau sistem meritokrasi tidak diberi perhatian mungkin mereka akan tercicir, jadi kita mahu fikir bagaimana nak bantu golongan seperti ini. Setakat hari ini kita tidak berhadapan cabaran besar, kita berupaya untuk memberi tempat kepada pelajar mengikut bidang dan universiti yang mereka pilih. Cabaran kita adalah tidak cukup tempat terutama bidang kritikal. Bagaimanapun, masalah itu tidak boleh diatasi sewenang-wenangnya kerana ia tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang ditentukan oleh badan profesional masing-masing seperti bidang perubatan, farmasi, pergigian atau kejururawatan. Atas sebab itulah cabaran kita bukan semata-mata kepada asas yang kita gunakan iaitu meritokrasi.

Apakah nasihat Datuk Seri kepada pelajar setelah pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bakal dilaksanakan pada sesi akademik kali ini dan pilihan raya kampus yang akan diadakan September ini?

Pindaan AUKU membolehkan pelajar menyertai kegiatan politik kepartian di luar kampus dalam masa sama mereka perlu tahu universiti adalah tempat di mana proses pendidikan berjaya dilaksanakan. Universiti perlu bebas daripada politik kepartian. Pelajar perlu mematuhi akta itu supaya universiti tidak dijadikan gelanggang politik. Ia bagi membolehkan proses pendidikan dilaksanakan secara sempurna dalam universiti, oleh itu mereka perlu menghormati segala perkara yang ditetapkan pihak universiti. Begitu juga dengan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) melalui pilihan raya kampus September ini, saya percaya pelajar akan memilih yang boleh menjaga kedudukan dan kebajikan mereka, bukan ada hubung kait dengan perkara luar. Saya percaya MPP merupakan gerakan bebas dan bermaruah dan tidak membenarkan mana-mana pihak memperalat mereka.

Bagaimana akses pengajian tinggi di masa hadapan? Apakah IPT yang sedia ada mampu menampung permintaan?

Kita bernasib baik kerajaan melihat sektor pengajian tinggi sebagai satu pelaburan dan memberi fokus soal pembangunan modal insan dan meletakkan golongan muda sebagai sasaran fokus itu. Kerajaan juga berusaha untuk memberi peluang kepada pelajar kita dalam meneruskan pengajian di peringkat tinggi.

Ini bermakna soal akses itu menjadi satu perkara berterusan kerajaan sediakan. Dalam usaha ke arah itu kerajaan akan meningkatkan kedudukan IPTA sedia ada selain memberi peluang pihak swasta melengkapkan peranan kerajaan bagi membolehkan mereka mewujudkan institut pengajian tinggi swasta (IPTS). Selain itu, beberapa cawangan IPTA akan dibuka dan mewujudkan hab pendidikan di Pagoh, Johor serta menyiapkan beberapa politeknik baru. Kerajaan juga memberi jaminan kadar yuran pengajian di IPTA tidak akan dinaikkan termasuk mengekalkan subsidi 90 peratus untuk menanggung kos yuran pengajian itu dan mengekalkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai sebuah badan yang akan memberi pinjaman kepada pelajar bagi menampung kos yuran dan sara hidup pelajar.

Mengenai isu Unisel, ada sesetengah pihak berpendapat agar kementerian dapat mengambil alih pengurusan supaya masalah dapat diselesaikan, apa pendapat Datuk Seri?

IPTS diwujudkan berasaskan kepada kemampuan dan keupayaan pihak yang mewujudkannya, ini kerajaan negeri yang mewujudkan Unisel. Saya tidak lihat penyelesaian kepada semua itu adalah Kerajaan Pusat ambil alih. Jika begitu, kita tidak akan membangunkan kesungguhan dan keupayaan mencari penyelesaian masalah dan cabaran akhirnya longgok kepada Kerajaan Pusat. Kerajaan Selangor perlu ada kesungguhan dan komitmen untuk menentukan Unisel berdaya tahan dan berdaya saing agar terus kekal maju sebagai penyumbang kepada sektor pengajian tinggi negara. Kerajaan setakat ini akan membuat keputusan memindahkan pelajar ke IPTS lain jika keadaan memerlukan supaya mereka tidak teraniaya dan bukannya Kerajaan Pusat ambil alih sebab kita dah cukup dengan 20 IPTA. Sepatutnya isu ini tidak timbul apatah lagi ia dimiliki oleh kerajaan negeri dan sudah tentu dapat menyediakan kemudahan lebih baik. Saya percaya pelajar membuat bayaran mencukupi, jadi saya tidak nampak perkara ini tidak diurus dengan baik oleh kerajaan negeri.

Apa nasihat Datuk Seri terutama kepada pelajar baru yang bakal memasuki alam baru pengajian?

Saya berharap agar sepanjang mereka berada di IPT, mereka dapat mencapai apa matlamat mereka berada di universiti, apabila mereka keluar kelak dapat menjadi seorang yang sempurna, berguna kepada bangsa, agama dan negara. Saya berharap supaya mereka yakin dari segi segala kemudahan yang kerajaan sediakan dan peluang pembelajaran yang ada untuk mereka kerana mereka menjadi sebahagian daripada misi nasional iaitu modal insan yang berguna kepada negara sehingga membolehkan negara bersaing di peringkat dunia.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
30 Ogos 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails