26 Mac 2012

ISU PERTANIAN : TRANSFORMASI TANI RINGANKAN SARA HIDUP RAKYAT

Oleh Azman Anuar
rencana@utusan.com.my


Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Karisma) dan program Akhiri Zaman Miskin (1AZAM) adalah program untuk meringankan beban kehidupan golongan rakyat tertentu. Program seumpama ini diteruskan tanpa henti oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Seboleh-bolehnya kos sara hidup rakyat mahu diringankan. Melalui program Laman Agro masyarakat terutama di bandar digalakkan supaya terbabit dalam kegiatan pertanian. Walaupun kawasan tanah terhad, mereka masih boleh bercucuk tanam. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata Laman Agro boleh menarik orang bandar terbabit sama dalam aktiviti pertanian dengan menggalakkan mereka 'tanam apa yang dimakan, makan apa yang ditanam' bagi mengurangkan penggantungan kepada bekalan makanan yang diimport.

"Laman Agro adalah untuk mengurangkan bebanan kehidupan rakyat terutama yang tinggal di bandar. Caranya menggunakan kaedah pertanian moden seperti hidroponik untuk bercucuk tanam. Kementerian sendiri menyediakan bantuan berupa pasu, baca dan kelengkapan tanaman," kata Noh. Dalam projek pilot Laman Agro ini, peruntukan RM400,000 disediakan dengan melibatkan 100,000 peserta. Noh memberi contoh penglibatan penghuni pangsapuri atau flat yang boleh menanam sayur daripada jenis yang sama. Selain ia boleh sara diri, jika tanaman itu banyak dan berlebihan ia boleh dijual. Syarikat yang mengurus projek pilot itu akan membantu kerja memasarkan sayuran itu.

"Laman Agro beri peluang penduduk bandar melibatkan diri dalam pertanian. Kalau seorang peserta tanam cili dan menghasilkan 3 kilogram, bayangkan kalau 100,000 peserta maka hasil keseluruhannya mencecah 300,000 kilogram. "Selain mereka boleh guna sendiri dan boleh dijual, pada masa sama wujud kawasan hijau di kawasan rumah mereka," kata Noh. Selain tanaman, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pula merancang memperkenalkan konsep Ikan Rakyat 1Malaysia. Usaha ini untuk mengekalkan harga ikan pada kadar yang mampu dibeli oleh orang ramai. Noh berharap ikan-ikan dapat dijual pada harga yang murah. Oleh itu Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) turut dilibatkan secara langsung untuk menentukan ikan dijual lebih murah daripada tempat lain. "Nekmat sudah ada kemudahan dan logistik seperti bilik sejuk, lori, ahli yang ramai. Dengan cara ini peranan orang tengah dikurangkan," jelas menteri itu.

Hakikatnya itu adalah rancangan LKIM bagi membantu mengurangkan kos hidup rakyat kerana harga ikan kerap naik disebabkan peningkatan kos pengeluaran, cuaca, permintaan tinggi dan manipulasi harga. Dari segi harga ayam, Noh menjelaskan pihak Kementerian telah berbincang dengan Persatuan Penternak Ayam supaya mereka dapat berkerjasama membantu mengawal harga ayam di bawah RM7 sekilogram. Dengan cara ini diharap dapat meringankan beban rakyat yang bergantung pada sumber protein daripada ayam. Sumbangan daripada peniaga-peniaga Pasar Tani turut ditagih apabila Noh menggesa mereka membantu meringankan beban rakyat dengan menjual produk pada harga yang lebih rendah daripada pasar raya besar.

Untuk itu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah diberi tugas menyusun 450 Pasar Tani di seluruh negara supaya dapat menyelia harga paling rendah. Oleh itu, kerajaan berhasrat memberi insentif kos pengangkutan supaya peniaga Pasar Tani dapat menjual murah barangannya sebagaimana yang kita minta, kata Noh. Program Subsidi Beras untuk Rakyat (Subur) setakat ini belum dilaksanakan tetapi peruntukkan sebanyak RM448 juta masih diteruskan. Kajian oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mendapati keperluan sebenar beras ST15% oleh golongan sasar hanyalah sekitar 6,000 tan metrik sebulan, sedangkan pada masa ini (sejak 1 April 2009) sebanyak 40,000 tan metrik sebulan disubsidi oleh kerajaan.

Oleh itu, pada hakikat sebenarnya, adalah tidak tepat jika banyak pihak terus-terusan mendakwa bahawa bekalan beras ST15% tidak cukup di pasaran seandainya semua pihak memahami matlamat sebenar beras ST15% ini disubsidi oleh kerajaan. Program Subur adalah dasar baru untuk memastikan subsidi beras sampai sepenuhnya kepada golongan sasar bagi mengelak berlakunya ketirisan dengan memperkenalkan sistem baucer. Noh berkata kerajaan telah menyediakan kira-kira RM40 juta sebulan untuk memberi subsidi beras kepada golongan yang memerlukannya dengan membekalkan 60,000 tan beras ST15 peratus ke seluruh negara bagi memastikan beras itu dijual pada harga tidak lebih RM1.90 sekilogram. Jadi, demi rakyat berpendapatan rendah bantuan subsidi ini diteruskan.

Golongan petani selalu merungut hasil tanaman mereka sukar untuk dijual. Maklumlah hasil tanaman selalunya untuk kegunaan harian, yang selebihnya barulah untuk dijual. Begitu juga pihak pengusaha krepek ubi, pisang dan keladi mengeluh kerana bekalan bahan mentah itu tidak cukup dan sukar diperolehi. FAMA diberi peranan untuk menjadi 'jambatan' bagi mendekatkan jurang antara petani (pengeluar) dengan pengilang (industri). Untuk tujuan itu, Noh berkata kerajaan akan memberi subsidi 50 peratus untuk Program Motosikal Tiga Roda. Bermakna kerajaan membiayai separuh daripada harga kenderaan yang bernilai RM8,400, dengan separuh lagi dibayar sendiri oleh petani. Jadi dengan kenderaan itu tiada masalah petani hendak menjual tanaman mereka.

Selain bantuan motosikal tiga roda, kerajaan akan banyakkan pusat pengumpulan. Di pusat ini, agensi-agensi seperti FAMA, Lembaga Pertubuhan Peladang, Jabatan Pertanian dan syarikat pengumpul akan berbincang bagi mengelak bersaing antara sesama mereka. "Dengan adanya pusat pengumpulan maka hasil orang kampung akan diambil oleh motosikal itu untuk dihantar ke pusat pengumpulan," kata Noh. Ini salah satu mekanisma mengatasi kemiskinan dan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk luar bandar untuk meningkatkan pendapatan. Ia juga menggalakkan aktiviti pertanian yang diusahakan secara kecil-kecilan di kalangan orang kampung.

Paling penting ia mewujudkan pasaran dan usahawan baru di kawasan luar bandar dan pedalaman sebagai pengumpul hasil-hasil pertanian untuk dijual secara terus ke rangkaian Agrobazaar Kedai Rakyat, peserta Pasar Tani, Gerai Buah-buahan Segar (GBBS) atau jualan secara terus kepada pengguna. Ringkasnya apa yang diperkatakan oleh Noh, ia transformasi tani untuk meringankan beban sara hidup rakyat.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
23 Mac 2012

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails