19 Februari 2012

ISU UMUM : KEBIMBANGAN LELAKI BUJANG INDONESIA

Dari Jakarta


Cinta bukan sesuatu yang mudah untuk dicari. Kasih dan sayang juga bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa kerana ia hanya akan berakhir dengan kekecewaan seandainya diperlakukan sedemikian. Andai berhasrat untuk bernikah, lelaki juga harus mempersiapkan diri dengan wang yang banyak kerana untuk berkahwin hari ini kos semakin meningkat. Mengapa harus membebankan diri andai boleh tidur lena tanpa perlu memikirkan hal-hal berat itu. Demikian alasan yang diberikan oleh beberapa lelaki Indonesia yang ditemui ketika ditanya apakah alasan tidak berkahwin. Mereka ini bukan calang-calang lelaki. Berjawatan tinggi, memiliki kedudukan kewangan yang kukuh dan berwajah tampan. Biar sudah mendaki usia, namun masih belum memiliki pasangan mencetuskan banyak persoalan di kalangan masyarakat Indonesia. Tentu sekali isu ini bukan hanya terbatas dalam ruang lingkup rakyat Indonesia kerana sudah menjadi trend baru di kalangan negara-negara membangun, ramai yang memilih untuk berkahwin lewat. Sebetulnya bukan saja kaum lelaki yang memilih untuk tidak memiliki komitmen rumah tangga. Sebaliknya, kaum wanita juga mempunyai alasan yang serupa jika ditanya kenapa selesa hidup sendirian. Bagaimanapun, dari satu perspektif lain, bagi sebuah negara sebesar Indonesia yang dihuni oleh lebih 234 juta penduduk, apabila ramai rakyatnya memilih untuk tidak berkahwin, ia memberikan kesan yang cukup besar kepada negara itu.

Kebimbangan

Berdasarkan satu kajian yang dibuat pada 2010, hasilnya mencetuskan kebimbangan yang bukan kecil. Kebimbangan yang dimaksudkan ialah jumlah lelaki bujang di Indonesia semakin tinggi berbanding populasi kaum wanita. Data yang dikumpul oleh Agensi Statistik Pusat pada tahun 2010 menunjukkan populasi kaum lelaki Indonesia ialah seramai 119,507,580 berbanding jumlah kaum wanita seramai 118,048,783. Jumlah perbezaan penduduk lelaki dengan penduduk wanita ialah lebih 1.4 juta orang dan catatan ini memberikan indikator bahawa kaum lelaki sudah seharusnya lebih serius memikirkan masa untuk mencari calon isteri. Sekalipun, ada pandangan yang mendakwa jumlah ketidaksamaan ini tidak cukup signifikan untuk didebatkan, namun trend perbezaan jumlah populasi wanita dan lelaki di negara keempat di dunia yang memiliki jumlah penduduk ramai semakin meningkat setiap tahun.

Sedekad yang lalu, perbezaan penduduk dua jantina itu mencecah angka setengah juta dan ia meningkat tiga kali ganda dalam tempoh itu. Berteraskan trend yang berlaku hari ini, kegusaran di kalangan rakyat Indonesia ialah lelaki Indonesia berpotensi tidak kahwin sampai tua! Biarpun begitu, masih ada juga sebilangan kaum lelaki tempatan yang cukup risau bila mengetahui perbezaan populasi seperti yang dikeluarkan oleh Agensi Statistik Pusat itu. Kerisauan itu juga bakal tambah berganda kepada kaum lelaki Indonesia apabila sejak kebelakangan ini sudah ada budaya baru yang bercambah di negara ini. Trend ‘penghijrahan cinta’ oleh lelaki-lelaki kaya dari negara-negara asing datang ke Indonesia untuk melamar wanita-wanita tempatan bukan lagi perkara baru. Persaingan terbaru ini tentunya mencabar hak dan ego kaum lelaki Indonesia. Lalu, pilihan apa lagi yang ada pada lelaki-lelaki tempatan?

Kekurangan

Untuk bersaing dengan tauke-tauke kaya dari negara Taiwan dan China yang berebut mahu mencari wanita di Indonesia tentunya tidak mampu sama sekali. Laporan akhbar The Jakarta Post baru-baru ini mendedahkan trend penghijrahan cinta itu dilihat berlaku di Singkawang, Kalimantan Barat. Singkawang kini menjadi pusat kepada lelaki-lelaki bujang dan kaya dari Taiwan dan China untuk mencari calon isteri. Alasan kenapa lelaki China datang mencari cinta sejauh itu ialah kerana jumlah wanita di negara berkenaan tidak mencukupi untuk diseimbangkan dengan populasi kaum lelaki. Percaya atau tidak, statistik di negara China mendapati kekurangan wanita dapat dilihat menerusi nisbah jantina iaitu 1.05 (105 lelaki untuk 100 wanita). Di negara China berdasarkan polisi satu keluarga satu anak itu memperlihatkan kecenderungan sebilangan besar pasangan yang memilih untuk memiliki anak lelaki berbanding anak perempuan.

Akibat ketidakseimbangan populasi itu juga menyebabkan ramai lelaki bujang di negara itu digalakkan berhijrah ke negara luar untuk mencari wanita untuk dijadikan isteri. Justeru, situasi itu dilihat berlaku di Singkawang yang mana rakyatnya kebanyakannya miskin. Kesannya, ramai wanita di wilayah berkenaan yang memilih berkahwin dengan lelaki kaya dari negara China. Bukan sahaja penghijrahan cinta dari China, sebaliknya, lelaki-lelaki bujang dari India juga dilaporkan mencari cinta dari wanita bujang Indonesia. Di negara sebesar India itu pun, jumlah wanita bujang masih belum cukup untuk menampung keperluan lelaki bujang. Semua ini memberikan tamparan yang hebat buat lelaki-lelaki bujang Indonesia. Apabila pintu sudah terbuka luas untuk orang asing menagih cinta wanita tempatan, maka semakin terpinggirlah lelaki-lelaki bujang Indonesia.

Oh ya, lelaki-lelaki bujang (atau yang sudah berkahwin) dari Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Berdasarkan temu bual dan cerita daripada teman-teman rapat di sini, lelaki-lelaki Malaysia juga sangat berminat dengan wanita-wanita Indonesia. Lebih-lebih lagi wanita dari keturunan Sunda yang khabarnya memiliki kelebihan yang tiada tolak tandingnya dalam hal ehwal memberi kasih sayang kepada kaum lelaki. Mungkin lelaki-lelaki di Malaysia yang berpengalaman luas dalam perihal kisah cinta dengan wanita Sunda boleh berkongsi kisah berkenaan. Pada masa sama, golongan isteri yang membaca artikel ini juga tentunya akan lebih gelisah dan mula syak wasangka terhadap suami mereka bila membaca artikel ini. “Betulkah suami aku ke Indonesia untuk menghadiri mesyuarat atau bermain golf? Atau mungkinkah kerana...?” Tentunya tanda tanya itu kini bermain di fikiran para isteri. Kepada si suami, pandai-pandailah bagi jawapan ya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
19 FEBRUARI 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails