21 Februari 2012

ISU PENDIDIKAN : DUA ORANG PEMBULI DIHUKUM PENJARA


Dua pelajar sekolah menengah Korea Selatan dikenakan hukuman penjara kerana membuli rakan sekelas mereka yang kemudian membunuh diri. Mahkamah di bandar Daegu, tenggara negara itu menjatuhkan hukuman penjara tiga setengah tahun dan tiga tahun ke atas kedua-dua pelajar berusia 15 tahun itu. Mereka didapati bersalah memukul dan mencerca rakan sekelas mereka itu selama beberapa bulan. Mangsa mati selepas terjun dari sebuah apartmen Disember lalu, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai perbuatan membuli di sekolah. Hukuman penjara tidak boleh dielakkan kerana mahkamah tidak boleh memandang ringan dalam menangani kes mereka berikutan keganasan di sekolah semakin berleluasa, kata Hakim Yang Ji-Jeong dalam satu kenyataan yang dipetik oleh agensi berita Yonhap. Kedua-dua defendan bergilir-gilir memukul mangsa, mengganggu pelajarannya dan memaksa dia membenamkan muka ke dalam air dalam sinki atau memakan biskut yang dicampakkan ke tanah.

Sumber
Harian Metro
21 Februari 2012

KOMEN CIKGU ZUL

Cikgu Zul bersetuju dengan tindakan mengenakan hukuman penjara kepada pembuli yang kadang-kadang tindakan mereka amat keterlaluan ke atas pelajar-pelajar yang dibuli. Jika perkara ini terbongkar dan sekiranya kesalahan mereka didapati mendatangkan mudarat ke atas fizikal dan mental mangsa buli, mereka mesti dikenakan hukuman yang setimpal dengan perbuatan yang mereka lakukan. Rasionalnya, pelajar-pelajar harus sedar bahawa mereka semua mempunyai ibu bapa yang mengharapkan mereka menjadi manusia yang berguna kepada diri, bangsa dan negara. Itulah sebabnya mereka dihantar ke sekolah untuk memperoleh didikan dan ilmu daripada guru. Malangnya, apabila tiba di sekolah, mereka terdedah kepada bermacam-macam pengaruh yang kurang sihat terutamanya budaya samseng. Segala yang dibaca, dilihat, dan ditonton di media telah diimplemantasikan di sekolah sehingga mencetuskan pelbagai masalah disiplin termasuklah kes buli ini.

Mangsa buli tidak harus berdiam dan memendam kes buli ini. Jika anda dibuli, cubalah memberitahu guru dan rakan dengan menggunakan apa-apa sahaja cara agar anda tidak terus dibebani masalah buli yang menakutkan ini. Jangan tunduk dan takut kepada pembuli. Sekali anda tunduk dan mengalah, maka kesannya akan membarah di segenap ruang kehidupan anda kelak. Anda akan menjadi insan yang pemurung, sentiasa bersedih, selalu bermasalah jika terus membiarkan diri dibuli. Dalam kebanyakan kes pula, ada yang berakhir dengan kematian kerana tidak tahan dibuli. Oleh itu, pencegahan kes buli di peringkat awal amatlah perlu. Laporkan segera kepada pengawas atau guru jika ada sesiapa yang berani membuli anda. Jangan biarkan diri terpenjara dengan perangai pembuli yang tidak berperikemanusiaan.

Sebenarnya, pembuli ini hanya berani membuli jika ada kawan-kawan disisi untuk memberikan sokongan dan dorongan. Oleh itu, peranan pihak sekolah dan ibu bapa amatlah penting. Kesedaran harus disemai di jiwa pelajar-pelajar dari seawal usia lagi. Jangan dibiarkan mereka hidup dalam keadaan yang mengancam dan tertekan. Berikan kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya. Remaja yang berubah menjadi pembuli disebabkan pelbagai punca yang memang telah dikenal pasti. Oleh itu, gunakan kebijaksanaan untuk mengatasi dan membasmi kes buli di sekolah. Kita tidak dapat mengenal pasti siapa pembuli dan siapa pula yang kena buli, melainkan yang kena buli bertindak dengan berani melaporkan kes buli. Jika tidak, kita anggap keadaan sentiasa selamat untuk pelajar-pelajar kita.

AYUH, KATAKAN TIDAK KEPADA BULI!

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails