13 Mac 2015

TINGKATAN 6 BUKAN KELAS KEDUA!


Kita sering mendengar para pelajar dan ibu bapa mengatakan bahawa melanjutkan pelajaran di Tingkatan Enam merupakan pilihan terakhir. Golongan ini selalu mengatakan bahawa Tingkatan Enam tidak ada standard. Belajar di Tingkatan Enam tidak glamour. Kenyataan sebegini seolah-olah menyamakan dunia pendidikan dengan dunia artis yang dilimpahi dengan kontroversi dan glamour. Kadang-kadang saya berasa kasihan, apabila yang bercakap merupakan kawan-kawan sendiri yang berpendidikan dan berpelajaran. Mereka menjadi orang yang hebat dan berpangkat kerana menduduki peperiksaan STPM. Mereka menjejakkan kaki ke menara gading berbekalkan sijil STPM. Mereka bekerja sehingga menjawat jawatan penting pun disebabkan mereka memiliki sijil STPM. Malangnya, apabila mereka sudah berjaya mereka memperlekeh dan memandang sebelah mata dunia persekolahan di Tingkatan Enam.

Rata-rata pelajar yang meninggalkan Tingkatan Enam memberitahu bahawa belajar di Tingkatan Enam ini susah. Kebarangkalian gagal amat tinggi. Jika mereka belajar di kolej-kolej swasta, mereka tidak akan gagal, suasana pembelajaran juga lebih selesa, dan boleh mendapatkan pinjaman wang daripada PTPTN. Itu yang mereka nampaklah. Yang mereka tak nampak ialah kemaslahatan meneruskan pengajian di Tingkatan Enam. Alasan bahawa belajar di Tingkatan Enam adalah susah merupakan tuduhan serong dibuat tanpa fakta. Bagi orang yang rajin, mereka tidak akan gagal malahan mereka akan menganggap segala yang susah itu sebagai cabaran yang harus diatasi untuk terus mara ke hadapan. Tidak ada mana-mana sistem pendidikan di dunia ini yang mudah dan senang lulus! Semakin tinggi tahap pendidikan seseorang semakin susahlah tahap pembelajarannya. Jangan lupa bahawa sijil STPM yang dikatakan tidak standard dan tidak glamour itu setaraf dengan A Level yang dikeluarkan oleh UK.


Tingkatan Enam merupakan peringkat pengajian termurah selepas STPM. Kerajaan langsung tidak mengenakan bayaran bagi calon-calon sekolah untuk menduduki STPM kecuali jika mereka mengulang. Dengan ini, mereka tidak perlulah membuat pinjaman pendidikan PTPTN. Harus diingat, pinjaman PTPTN itu mesti dibayar. Jika selepas menamatkan pengajian, kita tidak bekerja selama beberapa bulan atau beberapa tahun. Macam mana caranya untuk kita membayar hutang PTPTN. Semakin banyak kita pinjam, semakin banyaklah jumlah yang perlu dibayar. Dalam dunia pendidikan, kita bukannya mengejar glamour, yang kita mahukan ialah ilmu. Kita harus ada perancangan dan cita-cita untuk mengubah nasib diri dan keluarga ke arah yang lebih baik. Apa gunanya kita belajar di kolej-kolej mewah jika kita meminjam dan terpaksa membayar pinjaman itu kelak. Jika kita ada pekerjaan tidak mengapa. Akan tetapi, jika kita menjadi penganggur terhormat selama beberapa tahun? Jawapannya, tepuk dada tanyalah selera.


Para pelajar dan ibu bapa harus tahu, mulai tahun 2012, kerajaan sudah mula memandang tinggi pengajian di Tingkatan Enam. Alangkah sayangnya tatkala orang lain melihat kelebihan melanjutkan pelajaran melalui tingkatan enam, kita pula melihat sebaliknya hanya kerana kita terpengaruh dengan kata-kata orang lain dan bukannya berdasarkan fakta dapatan kajian sendiri. Golongan inilah yang kebanyakannya tamat persekolahan pada usia muda kerana terlalu mempercayai khabar angin. Akhirnya, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran! Harus diingat, jika anda nak masuk Tingkatan kentut  dan mengambil subjek Bahasa Melayu anda haruslah bermula dari Penggal 1.Jika tidak kena tunggu peluang pada tahun berikutnya.

Cetusan minda seorang guru
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sacred Heart


Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails