14 November 2013

ISU SOSIAL : PENDERAAN KANAK-KANAN DI TAMAN ASUHAN, BELANJA LEBIH JAMINAN SELAMAT?

PENULIS RENCANA
NIZAM YATIM


Pada 1 November lalu, media cetak dan elektronik mendedahkan klip video yang memaparkan sekumpulan kanak-kanak di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Melati, Selangor ditampar dan dipukul oleh pengasuh. Klip video tersebut dirakamkan pada 18 Oktober lalu oleh seorang bapa yang meletakkan kamera tersembunyi di dalam beg sekolah anaknya setelah mengesyaki sesuatu tidak kena apabila kanak-kanak itu enggan dihantar ke taska tersebut. Ekoran kejadian itu, polis menahan dua wanita tempatan berusia 22 dan 31 tahun yang merupakan pekerja taska berkenaan untuk siasatan mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001.

Siasatan awal oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati taska itu tidak termasuk dalam senarai 2,910 taska yang berdaftar dengan pihaknya. Apa yang berlaku itu, menghimbau banyak kisah menyedihkan yang berlaku di taska termasuk kes seorang bayi perempuan berusia tiga bulan, Farisha Nur Hazreen Mohd. Fairuz yang meninggal dunia di sebuah taska di Putrajaya pada 2010 akibat tersedak susu yang diberikan pengasuhnya. Sehari sebelum itu seorang bayi perempuan juga berusia tiga bulan, Nur Azwa Safrina Khairul Anuar meninggal dunia ketika tidur dalam buaian di sebuah taska lain di Paroi, Seremban.

Bagi mengelak tragedi berkenaan berulang, para ibu bapa yang memberikan komen dalam media-media sosial telah mencadangkan supaya pelbagai penambahbaikan dibuat termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di taska dan dipastikan pekerja yang diambil berkemahiran. Bekas Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Shamsinah Che Shariff yang mengulas cadangan berkenaan berkata, para pengusaha taska kini sukar untuk melakukan penambahbaikan kerana kadar yuran yang disyorkan kerajaan dalam lingkungan RM350 seorang kanak-kanak adalah cukup rendah.

"Kadar yang disyorkan ini tidak mampu menampung kos operasi taska yang kini melambung tinggi ekoran pengenalan dasar gaji minimum RM900 yang perlu dibayar kepada pekerja. Ini belum dikira kos caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang perlu dibayar majikan. Bayangkan apa lagi yang tinggal kepada kami bagi digunakan untuk menyediakan peralatan, makan minum kanak-kanak dan mendapat sedikit keuntungan bagi pihak kami," jelasnya. Shamsinah berkata, berdasarkan pengalaman beliau yang telah memasang CCTV di taska miliknya, kos pemasangan adalah antara RM1,500 hingga RM3,000 berdasarkan jumlah CCTV dan kualiti video yang dirakam.

"Ini belum dikira kos elektrik yang digunakan dan juga belanja penyelengaraan CCTV yang perlu dijalankan dari masa ke semasa. Ibu bapa harus sedar caj elektrik di taska dikira mengikut kadar komersial yang lebih tinggi daripada caj kediaman," katanya. Beliau berkata, jika benar-benar ibu bapa mahukan penambahbaikan dilakukan, mereka seharusnya bersedia untuk membayar lebih seperti yang menjadi amalan di luar negara. "Berdasarkan kajian yang telah kita lakukan sebelum ini, kadar yuran munasabah yang perlu dibayar bagi seorang kanak-kanak adalah RM800," ujarnya.

Mengulas isu penderaan dan kes bayi tersedak susu di taska, beliau berkata, faktor utama kejadian itu berlaku kerana ibu bapa menghantar anak mereka ke taska tidak berdaftar dengan JKM dan tidak mempunyai pengasuh terlatih. Katanya, banyak kekurangan yang terdapat di taska tidak berdaftar dengan JKM termasuk jumlah pengasuh yang sedikit sehingga mereka menghadapi masalah bebanan kerja. "Kita mesti tahu, kerja untuk mengasuh bayi dan kanak-kanak adalah sesuatu yang amat berat. Jika ibu bapa hanya bekerja lapan jam di pejabat, terdapat para pengasuh yang terpaksa bekerja antara 10 hingga 12 jam sehari. Sepatut pengasuh diberikan waktu rehat dalam tempoh sehari itu dan jika ini tidak dibuat, terdapat kemungkinan mereka akan menghadapi tekanan dan tidak dapat mengawal emosi," katanya.

Menurut beliau, para pengusaha taska hendaklah mematuhi nisbah yang ditetapkan bagi setiap pengasuh berbanding kanak-kanak di bawah jagaan mereka bagi mengelak tekanan kerja. "Nisbahnya ialah seorang pengasuh bagi tiga bayi yang berusia di bawah setahun (1:3), 1:5 bagi kanak-kanak di bawah tiga tahun dan 1:10 bagi kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun. Untuk memenuhi nisbah yang ditetapkan cukup sukar. Saya sendiri menghadapi masalah mendapatkan pekerja mencukupi walaupun menawarkan gaji RM1,300 sebulan termasuk menyediakan kemudahan tempat tinggal dan kenderaan secara percuma," jelasnya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di beberapa taska di Selangor mendapati mereka sukar untuk menambah baik kemudahan dan perkhidmatan taska kerana kadar yuran yang dikenakan tidak mampu menampung kos operasi yang tinggi. Walaupun kerajaan telah menyediakan insentif geran penubuhan taska antara RM3,000 hingga RM20,000 sejak Bajet 2013, tetapi tidak ramai pengusaha yang berjaya mendapatnya kerana syarat ketat dikenakan JKM. Sebanyak RM3,000 diberikan kepada pengusaha taska di rumah yang berdaftar dengan JKM, RM10,000 untuk institusi taska yang mengambil antara 10 hingga 19 kanak- kanak dan RM20,000 bagi institusi yang mengambil kanak-kanak melebihi 20 orang.

Antara syarat berkenaan adalah kadar yuran pengasuhan yang dikenakan sebulan ke atas seorang kanak-kanak tidak boleh melebihi kadar maksimum yang ditetapkan dalam buku Garis Panduan Insentif Taska 2013 yang diterbitkan Bahagian Perundangan dan Advokasi JKM. Kadar itu adalah RM500 (Semenanjung Malaysia bandar), RM350 (Semenanjung Malaysia luar bandar), RM550 (Malaysia Timur bandar) dan RM450 (Malaysia Timur luar bandar). Antara perbelanjaan yang dibenarkan dengan menggunakan geran itu adalah untuk membeli perabot, mengecat premis, pemasangan CCTV, penggera keselamatan dan alat pemadam api. Ia juga melibatkan pembelian peralatan permainan dalam dan luar taska, kemudahan peti sejuk, pemanas air, pendingin hawa, kipas, televisyen, pemain video, alat tulis dan bahan bacaan.

Pengusaha juga boleh menggunakannya untuk membeli mesin perakam waktu, projektor, komputer, pencetak, mesin fotostat dan perbelanjaan latihan bagi meningkatkan kemahiran pengasuh, pengurusan taska serta bantuan kecemasan. Walaupun banyak manfaat yang boleh diperoleh daripada geran kerajaan yang keseluruhannya berjumlah RM15 juta itu, ia sudah tentu tidak berguna jika dibiarkan 'terperap' dan tidak disalurkan dengan segera kepada semua pengusaha taska terbabit. Yang perlu lebih diutamakan di sini adalah nyawa dan keselamatan anak-anak kecil yang tidak berdosa. Janganlah terlalu berkira demi keselamatan.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA
TARIKH : 13 NOVEMBER 2013

HARI : RABU
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails