07 Oktober 2012

ISU UMUM : MENERIMA HAKIKAT BAHAWA DUNIA HARI INI IALAH MODEN


Rencana ini ditulis oleh :
Zin Mahmud


Perkataan moden boleh ditakrifkan secara pelbagai dengan sudut pandangan berbeza yang boleh menyemarakkan perbahasan sehingga tidak ada penghujungnya. Akan tetapi untuk memudahkan perbincangan amat ringkas ini, tafsiran moden yang hendak ditetapkan adalah zaman apabila manusia menilai alam sekelilingnya menurut pemahaman sains. Sains juga mempunyai pelbagai takrifan. Ada yang menyamakan istilah sains dengan ilmu. Perkara ini juga tidak ada penghujungnya. Untuk memudahkan perbincangan, sains yang hendak diulas di sini merujuk kepada cara manusia memahami alam sekelilingnya melalui pemerhatian dan pertimbangan akalnya berdasarkan bukti uji kaji.

Lebih mudah untuk diperkatakan ialah sains merujuk kepada himpunan suatu usaha manusia yang timbul di sekitar kurun ke-16 dan 17 di Eropah khususnya di Britain. Pada masa itu berlakulah apa yang kini dikenali sebagai Revolusi Saintifik dengan nama-nama besar saintis, antaranya Isaac Newton. Dengan tercetusnya Revolusi Saintifik, maka berlakulah juga perubahan teknologi manusia yang kini dikenali sebagai Revolusi Industri. Kedua-dua ini adalah mercu tanda dunia moden. Maknanya apa yang dikatakan sebagai dunia moden boleh dikira dari ketika sains mula diamalkan. Maka, hari ini, ialah zaman moden. Sebelum itu disebut pra-moden. Semua manusia yang ada hari ini menjalankan kehidupan moden. Iaitu sekurang-kurangnya kebanyakan manusia di dunia.

Mungkin suku-suku kaum terpencil yang masih ada mengamalkan kehidupan pra-moden. Daripada mula Revolusi Sains dahulu, sedikit demi sedikit, akhirnya keseluruhan dunia menjadi moden dan mengambil sains sebagai pemahaman hidup ini. Sejak lahir, hampir keseluruhan manusia di dunia hari ini sudah menjadi moden dan menerima cara pemikiran sains. Dunia pra-moden sudah lama berlalu. Di Malaysia, bila masa mula penduduk negara ini menjadi moden dengan menerima cara pemikiran saintifik adalah suatu yang menarik untuk diketahui. Tetapi apa yang jelas ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaan diikuti dengan penubuhan Malaysia, rakyat negara ini sudah menjadi moden dan menerima sains sebagai cara untuk memahami dunia sekitarnya.

Progresif

Malah dalam Rukun Negara telah juga dinyatakan bahawa rakyat negara ini berhasrat membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden. Di Malaysia tidak pernah berlaku Revolusi Sains. Tetapi sains menjadi cara fikir rakyat ini secara halus dan menyeluruh tanpa begitu disedari. Oleh itu, rakyat negara ini turut menjadi moden secara perlahan, tanpa kontroversi dan polemik. Namun jika diteliti sejarah, pemikiran saintifik mula tersemai di negara ini melalui pertanian. Oleh kerana teras masyarakat negara ini adalah pertanian, maka di bidang inilah cara fikir sains diperkenalkan. Usaha kerajaan kolonial memperkenalkan tanaman getah di Tanah Melayu diperkukuhkan dengan penubuhan Jabatan Pertanian dan Sekolah Pertanian telah merintis kepada kesedaran cara berfikir sains di negara ini.

Maka perubahan dan cadangan untuk meningkatkan mutu penghasilan pertanian oleh kerajaan kolonial telah diterima baik oleh peladang dan petani tempatan. Dari sinilah kemajuan pertanian di negara ini berkembang meliputi penubuhan Sekolah Pertanian, yang kemudian menjadi Kolej Pertanian. Malaya tidak menoleh ke belakang. Sains, teknologi dan industri sudah diterima oleh rakyat negara ini. Serentak itu negara ini menjadi moden merentasi dari zaman pembangunan kepada impian wawasan. Tetapi otak manusia tidaklah bersifat saintifik secara semula jadi, serta merta dan sedia ada. Untuk berfikiran saintifik, ia memerlukan usaha yang memenatkan otak. Sains bukanlah sesuatu yang masuk akal (common sense). Tanpa tunjuk ajar yang mencelikkan otak seseorang, manusia lebih selesa untuk berada dalam mitos, syak wasangka dan fantasi.

Maknanya sifat kemodenan itu bukanlah suatu yang semula jadi. Tabir mitos perlu disingkap barulah otak dapat melihat rumus-rumus sains. Ia tidaklah mudah. Maka tidak menghairankan, walaupun mempelajari sains dari sejak sekolah rendah, dan terdedah dengan pemikiran saintifik dalam media massa, ditambah pula dengan kehidupan moden yang menggunakan teknologi, otak seseorang boleh terus diselubungi dengan mitos-mitos pra moden. Untuk menikmati mitos-mitos pra moden dengan menganggapnya sebagai hiburan dan warisan budaya, ia tidaklah sesuatu yang berbahaya. Tetapi jika seseorang menolak kemodenan dan cara fikir sains untuk hidup kembali ke dalam alam mitos kurun ke-16 atau sebelumnya, mereka pasti menemui jalan buntu. Kemodenan adalah realiti hari ini. Dalam banyak-banyak bidang sains, perubatan berasaskan buktilah yang banyak menyelamatkan nyawa.

Sumber :
Mingguan Malaysia
7 Oktober 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails