19 Mac 2012

ISU SOSIAL : SATU AMAH SATU TUGAS : JENAKA BANGSAWAN MODEN

Oleh
PROF. DR. MOHAMED YUSOFF ISMAIL
Perunding Antropologi dan bekas Dekan di Fakulti Sains Sosial Gunaan,
Open University Malaysia.


Dari sudut pengajian antropologi sosial, kemelut orang gaji 'satu amah, satu tugas' merupakan satu perkembangan yang agak 'menakjubkan' dalam pentafsiran semula konsep 'pembantu rumah' yang biasa kita fahami. Apakah sebenarnya konsep pembantu rumah itu? Pemerihalan kerja (job description) yang sering difahami agak berbeza-beza tetapi sudah tentulah ia merangkumi perkara asas seperti mengemas rumah, mencuci kain baju, memasak dan menjaga anak-anak. Lain orang lain pula keperluan kepada tugas yang diperlukan daripada seorang pembantu rumah. Konsep asas ini diamalkan biarpun di Indonesia sekalipun. Bahkan tugas pembantu rumah di Indonesia adalah lebih banyak dan lebih menekan daripada itu.

Kerja-kerja tambahan seperti mencuci kereta, mengurut badan dan kaki majikan, menjaga kedai majikan, membersih rumah ibu mertua dan kakak majikan, memberi makan dan memandikan anjing majikan, dan menjadi orang suruhan bagi saudara mara majikan yang datang bertandang ke rumahnya, adalah antara pemerihalan kerja tambahan yang membuka ruang untuk orang gaji ditindas secukup-cukupnya. Isu yang hangat sekarang menjurus kepada perlindungan hak orang gaji, dengan pentakrifan semula tugas hakikinya sehingga menimbulkan kesan negatif dan menekan pihak majikan. Kalau satu tugas, memasak sahaja misalnya, maka ini bukan merangkumi konsep 'pembantu rumah' yang menyeluruh, tetapi lebih mirip kepada kerja separuh masa atau tugasan khusus, kerana memasak bukan tugas 24 jam.

Kalau mencuci kain baju sahaja, ini pun bukan kerja sepenuh masa, sepanjang hari. Mungkin tugasannya melibatkan tiga atau empat jam sehari termasuk menyidai, menggosok dan melipat kain baju. Bebannya mungkin dapat diringankan lagi dengan adanya mesin basuh dan pengering kain - jika kita tidak mahu orang gaji kita terkena sinaran panas terik sang matahari. Selepas itu apa kerjanya lagi melainkan bersantai di rumah majikan sambil menonton program teledrama Indonesia di saluran-saluran TV Malaysia? Kalau menjaga kanak-kanak, ini pun mungkin dilakukan sewaktu kedua-dua ibu bapa keluar bekerja. Tugasnya selesai apabila ibu bapa pulang dari kerja. Semua tugas di atas bukan bersifat sepenuh masa, justeru pembantu tersebut tidak perlu tinggal dan menetap di rumah majikannya. Maka dia boleh tinggal di rumah sendiri (yang disewa dengan duit gajinya), makan minum ditanggung sendiri, tambang pergi-balik ke rumah majikan juga ditanggung olehnya, samalah seperti mereka yang bekerja di kedai dobi, di restoran dan di rumah asuhan kanak-kanak.

Persoalannya, dengan kerja separuh masa satu jenis ini berbaloikah majikan membayar RM700 sebulan? Terlalu tinggi jika kita mengambil kira bahawa majikan juga terpaksa menyediakan tempat tinggal dan menanggung kos makan minum amahnya. Apa penyelesaiannya? Baik kita hantar kain baju yang kotor ke kedai dobi - tak akan habis RM700 sebulan bagi satu keluarga kecil tujuh atau lapan orang. Pakaian dalam dan benda-benda kecil boleh dicuci sendiri. Cuma penatnya adalah dari segi menghantar longgokan kain kotor ke kedai dobi, tetapi ini boleh diatur dari segi urusan masa dan logistik seharian. Kalau dari segi keperluan memasak kita kena ubah paradigma sedikit, sama ada pesan makanan dari kedai (home delivery), bungkus bawa balik lauknya, nasinya masak sendiri. Sudah adapun khidmat seperti ini dalam konteks tiffin delivery (atau penghantaran "mangkuk lonjok") secara tetap.

Ramai orang Cina sudah lama berbuat demikian. Atau masak sendiri ala kadar, dengan suami sama-sama membantu. Lagipun terdapat banyak jenis bahan makanan yang separuh siap yang cuma memerlukan dibuka paketnya dan dicampak ke dalam kuali bersama sedikit air atau minyak. Bagi penjagaan kanak-kanak pula kita boleh gunakan khidmat taska atau hantar ke rumah jiran yang boleh dipercayai dengan bayaran yang berpatutan. Mengemas rumah sebenarnya bukan masalah besar. Yang bermasalah ialah kita yang tidak sanggup mengubah sikap atau paradigma tersebut. Kita kena sanggup membuat kerja mengemas rumah terutama pada hujung minggu (kita ada dua hari untuk berbuat demikian). Libatkan penyertaan anak-anak sebagai latihan untuk lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan bilik masing-masing, termasuk bilik air.

Cuba lihat dan bandingkan bagaimanakah pengurusan domestik di negara maju dan di Barat dilakukan. Kebanyakan kerja-kerja domestik dikongsi dan dilakukan bersama oleh suami isteri biarpun kedua-duanya bekerja dan mempunyai profesion masing-masing. Masalahnya di Malaysia, budayanya terlalu menjaga ego orang lelaki yang pantang masuk ke dapur, membantu isteri memasak atau memegang penyapu membersih rumah, apa lagi menyidai kain yang baru keluar dari mesin basuh. Kalau dia buat juga si suami jiran sebelah akan menyindirnya! Orang perempuan pula tidak mahu masuk ke dapur atau melakukan kerja-kerja domestik atas alasan dia juga bekerja untuk menjana pendapatan isi rumah. Yang lucunya ialah ada orang perempuan yang tak mahu mencuci pinggan, menyiang ikan dan sebagainya takut kalau-kalau kukunya yang siap digilap dan di sapu cutex itu patah! Kalau pemikiran seperti di atas dapat diubah, maka keperluan kepada orang gaji mungkin tidaklah begitu mendesak.

Bahkan di Barat masalah orang gaji tidak menjadi isu besar kerana terdapat pembahagian tugas yang sangat jelas dalam kerja-kerja domestik antara suami isteri. Hanya orang yang kaya melampau atau super-rich sahaja yang mampu menggunakan khidmat pembantu rumah, tetapi kebanyakannya tidak tinggal bersama di rumah majikan mereka. Mereka mempunyai jam dan waktu bekerja yang sudah ditetapkan. Selesai kerja, mereka pulang ke rumah masing-masing. Persoalan pokoknya, adakah kita benar-benar memerlukan orang gaji, tambah-tambah bagi wanita yang tidak bekerja dan menjadi suri rumah tangga sepenuh masa? Bahkan yang bermasalah sekarang ialah kita semua yang memaksa diri kita sendiri terlalu bergantung kepada orang gaji. Apabila permintaan kepada orang gaji terlalu mendesak, maka inilah peluang bagi Indonesia menekan kita dengan syarat-syarat yang tidakpun diguna pakai di seberang sana. Kita bukan lagi hidup dalam zaman batu. Kerja rumah banyak dipermudahkah dengan pelbagai peralatan untuk tugasan domestik-dari mesin basuh kain baju, mesin basuh pinggan mangkuk, penyedut hampa gas, pengilap lantai sehinggalah kepada pengisar dan pengadun, dapur gelombang mikro dan periuk nasi automatik. Maka tidak perlu lagi kita bergantung kepada lesung batu dan orang gaji berkepala batu.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
19 Mac 2012

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails