28 Mac 2012

ISU SOSIAL : BELAJAR, BERTINDAK UNTUK HIDUP BERSAMA

Oleh
Mohamad Abdullah
Timbalan Pendaftar,
Pejabat Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
rencana@hmetro.cpm.my


Setiap hari kita belajar sesuatu dari kehidupan dengan pelbagai kejadian dan peristiwa, interaksi bersama pelbagai kumpulan masyarakat serta proses sosialisasi yang menambahkan kita dengan pengalaman dan ilmu pengetahuan. Sebanyak mana pun ilmu pengetahuan yang diperoleh di sekolah dan dewan kuliah, ia tetap tidak sama dengan proses sosialisasi yang berlaku melalui interaksi dan pergaulan seharian.  Ia bukan saja berlaku secara bersemuka, tapi juga melalui teknologi termasuk media sosial dan proses lain yang berlaku di persekitaran.  Dalam keadaan ini, kesilapan kecil yang berlaku cepat saja menimbulkan ketegangan dan krisis jika tidak berhati-hati. Pengetahuan mengenai kepelbagaian budaya, saling menghormati dan bertolak ansur akan menjadi penentu dalam kelangsungan sesuatu kelompok masyarakat, penganut agama, bangsa mahu pun negara.

Pertengkaran peribadi yang kecil atau bersikap naif terhadap amalan agama dan budaya sudah cukup untuk menjadi ketegangan yang tidak terkawal. Pengalaman di banyak negara lain walau pun hidup dalam satu negara yang majoriti amalan agama atau bangsanya menunjukkan bagaimana hal ini boleh terjadi. Malah, di kebanyakan negara yang dilanda masalah dan krisis, punca sebenarnya bermula daripada pertelingkahan kecil serta pertelagahan isu yang mempunyai kepentingan berbeza dan tidak dapat lagi bertolak ansur.  Apatah lagi jika api kebencian disemarakkan oleh hasutan dan mengadu domba oleh mereka yang berkepentingan akhirnya membawa kepada kehancuran. Sesetengahnya pula berakhir dengan kejatuhan sistem politik, ekonomi dan sosial yang membawa kemusnahan berpanjangan.

Kita perlu belajar dan mengajar mengenai nilai tolak ansur dan saling menghormati kepelbagaian agama, budaya dan amalan hidup dalam kalangan anak seawal usia. Bukan saja melalui kurikulum di dalam bilik darjah, tapi juga proses sosialisasi yang berlaku. Anak-anak harus diajar untuk menerima hakikat bahawa kita perlu hidup bersama di mana jua berada. Dalam mengajar remaja, mereka yang dewasa dan lebih lama menjalani kehidupan perlu menunjukkan contoh boleh diikuti. Tentunya tidak betul jika tatkala kita bercakap mengenai perpaduan dan perasaan hormati, golongan dewasa yang dipengaruhi pegangan politik dan kepentingan tertentu termasuk ketaksuban terhadap kepercayaan menanamkan kebencian dan sikap menolak yang ketara.

Dalam pelbagai keadaan, terdapat pihak yang menuding jari kepada banyak perkara seperti dasar yang dianggap tidak memihak kepada apa dipercayai, mempertikaikan kewibawaan individu dan apabila pandangannya tidak diterima, mula menzahirkan kebencian, ketaksuban dan mengajak mengambil tindakan di luar adab dan kesusilaan yang akhirnya akan mewujudkan api kebencian berterusan. Jika kita percaya kepada demokrasi, menerima Rukun Negara sebagai rukun hidup yang menghormati kepelbagaian maka perbezaan pendapat boleh diterima, bukan ke tahap kebencian dan kemarahan hanya kerana perbezaan pandangan.  Kita perlu belajar hidup bersama dan menerima apa jua yang dipersetujui secara majoriti bersama. Kita belajar mengenali antara satu sama lain dan bersetuju serta tidak bersetuju terhadap perkara-perkara tertentu dengan hakikat setiap kita mempunyai cita rasa dan prinsip hidup berbeza.

Kita tersentuh tiap kali melihat peserta pelbagai kaum berpelukan, menangis hiba tatkala rakan-rakan diundi keluar atau saling menolong untuk mencapai matlamat yang ingin dicapai dalam i program realiti televisyen. Kita tahu mereka bukan berlakon. Kita menonton sinema Cina dari Hong Kong, India baik Hindi, Telegu mahu pun Tamil dan tidak berganjak dari kaca televisyen sama ada dari Thailand, Indonesia, Filipina mahu pun negara-negara lain tanpa prasangka. Kita bergelak ketawa melihat aksi pelawak di kaca televisyen yang pelbagai kaum. Malah, di sekolah, universiti dan di tempat kerja, kita menerima kehadiran rakan daripada kaum lain sebagai sebahagian dari komuniti yang ada, bersama-sama meraikan kejayaan dan sedih apabila ditimpa masalah dan musibah.

Satu ketika dulu, kita sangat seronok menghantar pelbagai kad perayaan, Hari ini, kita berkongsi kegembiraan itu dengan pelbagai cara yang mungkin jauh berbeza dari dulu namun dalam hati, kita sama-sama merasakan kemeriahan yang ada. Tidak ada penghalang perarakan di jalan raya apabila sesuatu kumpulan masyarakat ingin meraikan sesuatu sambutan, termasuklah perarakan panjang membawa jenazah, tokong atau persembahan tertentu, walau pun mengganggu jalan raya, lalu lintas atau ketenteraman bersama. Mercun dan bunga api walaupun diharamkan, kebanyakan kita tidak ambil kisah, malah sesetengahnya ternanti-nanti dentuman tengah malam sepanjang perayaan. Sebenarnya di Malaysia, sikap dan semangat toleransi amat tinggi. Perasaan saling menghormati sentiasa ada malah dalam kalangan golongan marhaen, termasuk peniaga kecil, perasaan membantu tampak jelas.

Oleh yang demikian, kelangsungan hidup kita bersama pada masa depan bergantung sepenuhnya kepada kesediaan untuk terus belajar dan memahami antara satu sama lain termasuk menerima dan menghormati nilai-nilai bersama dalam pelbagai aspek kehidupan. Kejahilan dalam pengetahuan mengenai budaya, amalan agama dan kepercayaan sudah kita lalui apabila ada yang mempertikaikan azan amalan agama tertentu yang dianggap sensitif, memaksa kepercayaan peribadi terhadap orang lain dan taksub kepada pemimpin tertentu yang akhirnya mengancam kelangsungan dan kelestarian masyarakat dan negara. Anak-anak muda yang sebahagian besarnya kini mempunyai tahap ilmu pengetahuan tinggi adalah generasi pelapis yang harus menanam dan mengamalkan nilai-nilai baru yang terbuka untuk melakukan perubahan demi pembangunan masyarakat dan negara.

Kita secara bersama memainkan peranan tanpa prasangka. Selagi ia adalah sesuatu yang baik, berteraskan nilai sejagat dan universal, ia mampu memberi impak positif dalam menangani pelbagai isu sedia ada termasuk alam sekitar, keselamatan di jalan raya dan sebagainya yang sebahagian besarnya berpunca dari keegoan dan kelalaian masyarakat sendiri.  Belajar hidup bersama juga bermakna bertindak kita saling bertoleransi dan menyokong mengatasi masalah dan isu bersama demi kesejahteraan bersama.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Harian Metro
26 Mac 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails