JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



07 Januari 2012

ISU UMUM : DINASTI PENYATU NEGARA KOMUNIS

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my


Apabila  disebut dinasti, ia merujuk kepada mereka yang mempunyai pertalian darah yang memerintah sesebuah negara secara turun-temurun. Pada zaman moden ini tidak banyak pemerintah daripada keluarga sama dapat kekal mentadbir berikutan perubahan pemikiran rakyat yang mahukan sistem pemerintahan lebih demokratik dengan pemimpin dipilih menerusi proses pilihan raya. Dinasti yang tidak mahu beralah seperti di Libya, Tunisia dan Mesir terpaksa menghadapi kebangkitan rakyat yang akhirnya menyaksikan keluarga berkenaan ditumbangkan secara kekerasan. Bagaimanapun, ada juga dinasti yang masih kekal berkuasa seperti di Korea Utara dan Cuba.

CUBA : Fidel Castro

Fidel Alejandro Castro Ruz, 86, yang dilahirkan pada 1926 telah memerintah Cuba hampir 50 tahun selepas berjaya menggulingkan Presiden yang disokong AS, Fulgencio Batista dalam Gerakan 26 Julai 1959. Kejayaan itu adalah hasil bantuan adiknya, Raul Castro dan pejuang revolusi Argentina berfahaman Marxis, Ernesto Che Guevara. Sebagai pemimpin utama Revolusi Cuba, Fidel yang berkelulusan undang-undang dari Universiti Havana menjadi Perdana Menteri negara itu dari 1959 hingga 1976 dan Presiden sehingga 18 Februari 2008. Beliau yang berketurunan Sepanyol daripada sebelah bapa dan Cuba di sebelah ibu mengumumkan persaraannya setelah menghadapi masalah usus yang akut dengan pendarahan berterusan. Bagaimanapun, Fidel masih kekal dengan jawatan ‘Panglima Revolusi Cuba’ yang bertaraf penasihat kerajaan. Ketika pemerintahannya, Fidel mengubah Cuba menjadi negara komunis dengan memperkenalkan reformasi tanah, aktiviti pertanian kolektif, memiliki negara industri Cuba dan menyediakan kemudahan kesihatan serta pendidikan percuma kepada rakyat. Beliau yang berperwatakan antiimperialis menganggap dirinya pengikut nilai-nilai Kristian berkaitan keadilan sosial tetapi bukanlah penganut agama itu.

Raul Castro

Raul Modesto Castro Ruz, 80, dilahirkan pada 1931 ialah adik kepada Fidel Castro. Beliau mengambil alih semua jawatan utama negara setelah abangnya mengambil keputusan untuk bersara. Raul yang berfahaman ateis dilantik secara rasmi sebagai Presiden Cuba pada 24 Februari 2008. Beliau yang terpengaruh dengan pembaharuan ekonomi di China telah bertindak menghapuskan aktiviti pertanian kolektif dan menggalakkan pelaburan asing. Beliau juga memberikan lebih banyak autonomi kepada sektor swasta dan menghapuskan perintah melarang rakyat menggunakan telefon bimbit dan membeli pemain cakera padat digital (DVD), komputer dan ketuhar gelombang mikro. Berikutan usianya yang agak lanjut, timbul persoalan siapa yang akan menggantikannya dan ada penganalisis politik berpendapat selepas Raul, Cuba akan diperintah secara kolektif oleh pegawai kanan tentera. Terdapat juga penganalisis yang menjangkakan kekosongan jawatan itu akan diisi oleh anak lelaki tunggal Raul, Alejandro Castro Espín, 47 yang berkelulusan dalam bidang kejuruteraan dan perhubungan antarabangsa.


Korea Utara : Kim Il-sung

Beliau diingati oleh 24 juta rakyat Republik Rakyat Demokratik Korea kerana terlibat secara langsung mengetuai pasukan gerila bagi membebaskan negara itu daripada penaklukan Jepun. Il-sung ialah pemimpin Korea Utara sejak penubuhan negara itu pada 1948. Beliau yang dilahirkan pada 1912 telah memegang jawatan Perdana Menteri dari 1948 ke 1972 dan jawatan Presiden dari 1972 hingga 1994. Beliau dilahirkan di Chonju dan mempunyai datuk sebelah ibu dan ayah yang taat menganut agama Kristian daripada mazhab Presbyterian. Il-sung yang juga Setiausaha Agung Parti Pekerja Korea memerintah secara autokratik dan mahu rakyat memujanya dengan gelaran ‘Pemimpin Yang Hebat’ ketika hidup dan selepas mati digelar ‘Presiden Abadi’. Pada 1950, beliau mengarahkan tentera menyerang Korea Selatan yang turut menyaksikan campur tangan Amerika Syarikat (AS) dan China. Perang tamat pada 1953 dengan dua juta tentera dan orang awam terbunuh. Beliau meninggal pada 8 Julai 1994 ketika berusia 82 tahun, akibat serangan sakit jantung.

Kim Jong-il

Beliau  yang dilahirkan dengan nama Yuri Irsenovich Kim pada 1942 ialah anak hasil perkahwinan bapanya dengan isteri pertama, Kim Jong-suk. Pemimpin Agung Korea Utara yang mula memerintah selepas kematian bapanya mendapat pendidikan di Universiti Kim Il-sung dan turut mengikuti pengajian bahasa Inggeris di Universiti Malta. Ketika pemerintahannya Korea Utara menghadapi banjir besar pada 1995 dan 1996, diikuti kemarau dahsyat selama beberapa tahun bermula 1997 yang menyebabkan lebih 900,000 orang mati. Beliau memperkenalkan dasar ‘Songun’ yang mengutamakan tentera dalam semua aspek termasuk ketika pengagihan bajet. Dia turut meniru pembaharuan ekonomi China dengan mewujudkan Taman Perindustrian Kaesong di kawasan sempadan pada 2003 dengan sasaran penyertaan 250 syarikat Korea Selatan. Jong-il dikritik oleh masyarakat antarabangsa kerana meneruskan program penghasilan senjata nuklear, menahan lebih 200,000 tahanan politik dan mengarahkan kapal selam negara itu menenggelamkan kapal perang Korea Selatan dengan tembakan torpedo yang menyebabkan 46 terbunuh pada Mac 2010. Jong-il yang mempunyai empat anak ialah individu yang bercita rasa mewah termasuk mempunyai bilik bawah tanah yang boleh menampung lebih 10,000 botol wain dari Perancis. Seperti ayahnya, beliau fobia untuk menaiki kapal terbang dan mempunyai perwatakan antisosial. Beliau meninggal dunia pada 17 Disember 2011 ketika berusia 69 tahun akibat serangan jantung ketika menaiki kereta api ke suatu tempat di luar Pyongyang.

Kim Jong-un

KIM Jong-un, 28, diisytiharkan sebagai Pemimpin Agung Korea Utara yang baru selepas pengebumian mayat bapanya. Beliau merupakan anak lelaki bongsu hasil perkahwinan Jong-il dan isterinya, Ko Young-hee. Di upacara peringatan Jong-il; Presiden Korea Utara, Kim Yong-nam mengisytiharkan Jong-un mewarisi fahaman, kepimpinan, keperibadian, nilai-nilai murni, kecekalan hati dan keberanian bapanya. Dalam Tentera Rakyat Korea, beliau berpangkat Daejang yang bersamaan dengan Jeneral. Jong-un belajar bahasa Inggeris di sekolah antarabangsa di Bern, Switzerland. Beliau belajar pengajian sains komputer secara persendirian di Korea Utara dan memiliki dua ijazah termasuk satu dalam bidang fizik dari Universiti Kim Il-sung dan Akademi Tentera Kim Il-sung. Jong-un ialah seorang pemalu dan sering mengelak untuk bercakap dengan orang yang tidak dikenali. Beliau juga peminat sukan bola keranjang dan menjadikan Michael Jordan sebagai idola.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
7 JANUARI 2012

Tiada ulasan: